Peningkatan pengguna TikTok berikutan pandemik COVID-19, melahirkan ramai ‘content creators’ tempatan yang berbakat, berani mencabar batasan kreatif, menjadi sumber inspirasi kepada komuniti serta mencorak industri penciptaan kandungan. Buat julung kalinya di Malaysia, platform video mudah alih berformat pendek ini juga bakal menganjurkan Majlis Anugerah TikTok pada bulan kebangsaan.
Bertempat di Pusat Pameran & Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) Kuala Lumpur, Majlis Anugerah TikTok Malaysia dijangka berlangsung tepat jam 9.00 malam, 27 Ogos 2023 di saluran TV3.
Bakal menjadi acara tahunan untuk menghimpunkan ‘content creators’ terbaik, Majlis Anugerah TikTok ini turut dianjurkan pada bulan kebangsaan sebagai cara meraikan bakat-bakat tempatan.
Nona turut berkesempatan menemu bual beberapa ‘content creators’ TikTok yang popular sempena majlis sidang media yang diadakan di The Godown KL, semalam.
Anugerah ini akan dibahagikan kepada Pilihan Juri (Judge’s Pick) dan Pilihan Popular (People’s Choice). Bagi Pilihan Juri, para calon dipilih berdasarkan kriteria yang ditetapkan dan keputusan akan dibuat oleh sebuah panel eksekutif yang membariskan Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof; artis prolifik, Hael Husaini; serta Pengurus Besar Operasi & Pemasaran TikTok, Asia Tenggara, Angga Anugrah Putra.
Untuk Pilihan Popular, TikTok akan membuka undian untuk orang awam, dan para peminat boleh menunjukkan sokongan mereka dengan mengundi pencipta kegemaran mereka.
Para calon dalam enam kategori (Kecantikan & Fesyen, Pendidikan, Hiburan, Sukan, Permainan, dan Makanan) telah diumumkan di sidang akhbar Majlis Anugerah TikTok yang diadakan sebelum ini.
Undian umum bagi tujuh kategori (Creator of the Year, Rising Star of the Year, Popular Creator of the Year, Popular Animation Account of the Year, Celebrity of the Year, Live Creator of the Year dan TikTok Shop Creator of the Year) bermula dari 15 Ogos, 10:00 malam hingga 26 Ogos 2023, 11:59 malam, dan undian boleh dibuat di link ini (klik).
Tidak lengkaplah sebuah majlis anugerah tanpa aspek fesyen yang bakal menyerikan lagi acara ini. Dengan itu, TikTok juga akan menyampaikan Anugerah Busana Terbaik (Best Dressed Awards) kepada peserta yang mendapat markah tertinggi dari sudut gaya dan originaliti.
Majlis anugerah ini akan dimeriahkan oleh para selebriti dan warga pencipta pujaan ramai termasuk Dato’ Yusof Haslam, Bell Ngasri, Amber Chia, Farah Ann Abdul Hadi dan ramai lagi yang akan menyampaikan anugerah di atas pentas.
Para penonton juga bakal disajikan dengan persembahan yang mengasyikkan daripada Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Ziana Zain, Zeppo, DOLLA, Marsha Milan, Ernie Zakri, Alyph dan ramai lagi! Acara Utama TikTok Awards akan dihoskan oleh Izzue Islam, Sherry Alhadad dan Amelia Henderson, manakala acara ‘Red Carpet’ akan dihoskan oleh Ceddy dan Sissy Imann. Detik belakang pentas pula akan dihoskan oleh Jaa Suzuran dan Neeta Manis.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/usia-40-bapa-anak-dua-kenali-ceo-tiktok-shou-zi-chew-asal-singapura-ini/
This website uses cookies.