Generasi 90-an tentu masih ingat fenomena Moero Attack, siri drama TV Jepun paling popular ketika itu. Drama yang mengisahkan pasukan bola tampar wanita Jepun itu dibintangi Yumiko Araki yang membawa watak Kojika Joon.
Ingat lagi teknik popular ‘Somersoult Berpusing’? Lebih 30 tahun berlalu namun siri drama Moero Attack seperti masih segar di ingatan. Kalau anda masih ingat, dialog semasa bermain bola tampar khususnya ketika membuat pukulan spike pasti ada begini… “Joon/Chun! Somersault!”
Kemudian ada lagi beberapa teknik seperti servis piring terbang, servis tinggi, pukulan spike berkembar somersault…
ah, nostalgia sungguh kalau dikenang semula!
Dengan ketinggian 153cm, kejelitaan Yumiko Araki pantas meniti bibir ke bibir. Dilahirkan pada 25 Januari 1960 di Saga, Jepun, beliau mula menceburi dunia seni iaitu berlakon dan menyanyi pada usia 18 tahun.
Watak pelajar sekolah tinggi, Kojika Joon sebagai pemain bola tampar menyuntik semangat kesukanan, sekaligus membakar semangat penonton terhadap sukan tersebut. Kojika melalui pelbagai cabaran untuk mara sebagai pemain skuad kebangsaan bola tampar Jepun.
Kojika ingin menunaikan hasrat ibunya yang ingin melihat beliau mewakili Jepun dalam acara bola tampar di temasya Sukan Olimpik. Ibunya telah meninggal dunia semasa Kojika masih bayi lagi dan tak tahu apa-apa langsung tentang sukan bola tampar.
Hendak dijadikan cerita, Ibu Kojika telah mewasiatkan sebuah buku lama yang mengandungi lakaran taktik-taktik akrobatik dalam bermain bola tampar kepada anaknya. Macam mana nak buat semua taktik-taktik tu, itu Kojika kenalah fikir sendiri.
Namun dengan saiz tubuhnya yang kecil dan rendah berbanding ketinggian pemain bola tampar yang sebenar, krew penggambaran terpaksa ‘merendahkan’ jaring sesuai dengan tubuh Kojika.
Dikatakan juga banyak kecederaan berlaku sewaktu penggambaran Moero Attack, antaranya kaki pelakon terkehel dan retak tulang.
SEKARANG
Pada zaman drama Moero Attack ditayangkan di RTM 1 pada 1989-1990, ramai wanita muda yang terinspirasi dengan kecantikan serta bakat lakonan Kojika Joon. Mungkin ketika inilah perkataan ‘Cun’ untuk gadis cantik diguna pakai oleh masyarakat Malaysia gara-gara tertawan kecantikan Yumiko Araki.
Namun Yumiko Araki memilih untuk bersara ketika namanya di puncak. Keputusan itu mengejutkan banyak pihak namun katanya…
“Sewaktu kecil saya ingin bergelar selebriti dan juga seorang pengantin…” Yumiko Araki
Sejak itu Yumiko Araki berkahwin dengan jejaka pilihan hatinya serta memberi tumpuan penuh kepada keluarga. Sayang sekali, beliau telah didiagnosis menghidap kanser namun berjaya melalui fasa menyakitkan itu sekarang.
Pada usia 63 tahun, wajah wanita yang pernah menjadi igauan ramai ini kelihatan begitu ceria dan sihat. Agak sukar mendapatkan perkembangan terbaharunya sejak beliau memilih untuk menyepi, namun yang pasti watak Kojika Joon yang pernah dipegangnya dahulu kekal di memori!
This website uses cookies.