Dinobatkan sebagai juara Ikon Pencarian Wanita Melayu 2015 menjadikan empunya nama Nurul Ayu Alwani Bt Harris kian dikenali ramai. Mempunyai jumlah pengikut seramai 122,000 di laman Instagram, wanita kelahiran Kelantan yang lebih mesra disapa Ayu Harris merupakan graduan jurusan rekaan fesyen dari Universiti Teknologi Mara (UiTM). Memiliki dan menguruskan perniagaan sendiri iaitu palazo @byayuharriss , liptint @yalla.cosmetics dan tudung @tamareed menjadikan Ayu seorang wanita yang cukup sibuk dengan rutin harian.
BAGAIMANA ANDA MEMBAWA IMEJ SEBAGAI IKON WANITA MELAYU?
Sebagai ikon wanita melayu, saya harus bijak membawa diri tambahan pula saya membawa imej wanita berhijab. Setiap apa yang saya pakai, saya akan pastikan ia sentiasa terjaga dan tidak keterlaluan walaupun fesyen dunia semakin moden. Walaupun membawa imej berhijab, saya tetap yakin untuk membawa imej ini dan menjadi contoh orang diluar sana sekaligus membuktikan wanita berhijab juga boleh Berjaya.
APAKAH PERASAAN ANDA MENGENAI DUNIA PERAGAAN YANG ANDA CEBURI?
Sejujurnya saya amat mencintai dengan dunia peragaan yang saya ceburi. Saya ingin menjadi contoh ataupun ikon buat remaja diluar sana terutamanya buat mereka yang memakai hijab. Banyak yang saya pelajari dalam bidang ini dan menjadikan saya lebih matang hari demi hari. Saya berjumpa dengan ramai orang dan membuatkan saya lebih terbuka dan membuka ruang untuk saya mempelajari sesuatu yang baru.
TERANGKAN TENTANG STAIL ANDA
Saya gemarkan fesyen yang ringkas namun tampak elegan. Fesyen yang saya gayakan setiap hari ialah dengan memakai baju besar, labuh dan seluar skinny. Ia memberikan keselesaan dan memudahkan saya untuk melakukan kerja. Selain itu, saya sering melihat fesyen wanita arab dan menjadikan ia sebagai sumber inspirasi saya dalam mencipta gaya. Walaupun mereka memakai pakaian seperti jubah dan longgar, namun tetap nampak moden dan menawan. Dalam pada masa yang sama masih menutup aurat.
RUTIN KECANTIKAN ANDA
Saya seorang yang suka mengenakan mekap saat keluar dari rumah. Namun selepas pulang ke rumah, saya akan pastikan saya mencuci mekap sebelum tidur agar kulit wajah saya sentiasa terjaga. Selain itu, saya mengamalkan minum air suam setiap pagi dan sebelum tidur. Jika ada masa terluang, saya akan buat rawatan wajah sendiri dirumah seperti menggunakan bahan-bahan semulajadi untuk dijadikan mask wajah.
BAGAIMANA ANDA MENJAGA PENAMPILAN AGAR TAMPAK TRENDY DAN SIAPAKAH IKON FESYEN PILIHAN ANDA?
Saya menjaga penampilan saya dengan mengayakan pakaian mengikut trend terkini. Selain itu, saya memilih rona yang sesuai dengan personaliti saya agar tampil lebih berkeyakinan. Ikon fesyen pilihan saya ialah Dalalid iaitu ikon fesyen dan penulis blog di Kuwait, Arab. Saya meminati beliau kerana gaya beliau yang elegan dan classy. Penampilan Daladid cukup berbeza dengan fashionista-fashionista yang lain dan beliau juga berani bermain dengan rona-rona yang terang dan menyerlah.
This website uses cookies.