Mengambil latar kehidupan penghuni rumah pangsa yang sebenar dan realiti anak rantau bekerja di negeri orang, Nu Ideaktiv memeriahkan sambutan Aidilfitri tahun ini dengan sebuah filem pendek Raya berjudul PANGSA buat julung kalinya.
Dengan membawa mesej utama mengenai kepentingan silaturahim di dalam komuniti walau berbeza budaya, bangsa dan agama, topik ini jujurnya begitu dekat dengan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Filem pendek Raya ini mengisahkan bagaimana Amir yang berasal dari Sarawak, hidup di perantauan dan menyewa di sebuah unit rumah ‘PANGSA’, di Semenanjung Malaysia.
PANGSA, bermaksud petak, atau bahagian bahagian di dalam buah buahan, atau ruang kediaman, boleh membawa pelbagai interpretasi mengikut naratif yang mahu diceritakan.
Watak Amir yang dibintangi oleh Ideen Azman, menceritakan bagaimana seorang pemuda yang pendiam, dan sentiasa bersendirian, tinggal di rumah pangsa yang dihuni oleh sebuah komuniti majmuk yang mengambil berat tentang satu sama lain, dengan cara dan keunikan sifat yang tersendiri.
Mula ditayangkan pada 14 April 2023 lalu, tonton filem PANGSA di bawah ni…
Di pengakhiran filem pendek ini, Amir akhirnya sedar akan kepentingan untuk ber-Silaturahim, dan merapatkan jurang di dalam komuniti.
Menurut Ketua Unit Penyelidikan, Pembangunan dan Kandungan Strategik Nu Ideaktiv Sdn Bhd, yang juga merupakan Pengarah Lakonlayar PANGSA, jalan cerita filem pendek ini tampak mudah dan selari, namun ianya tidaklah selurus yang disangka.
“PANGSA membawa segumpal rasa yang mempunyai banyak percikan warna dan emosi di dalamnya. Bagaimana di dalam sebuah ruang, terdapat banyak rasa yang terkumpul dan bagaimana pula di celahan keriuhan itu, wujud sifat emosi yang bungkam, yang hanya mahu teruskan kehidupan berseorangan, dan kalau boleh, tidak mahu ber-Silaturahim, namun, tetap diraikan.
Filem pendek ini juga memaparkan isu yang begitu dekat dengan generasi muda kini, terutamanya setelah kita melalui fasa COVID-19. Ramai orang lebih memilih untuk bersendiri dan tidak berkongsi rasa dan kesukaran hidup dengan orang lain dan sejurus itu membawa kepada pelbagai masalah kesihatan mental yang lain.
Selain itu, kami juga sebaik mungkin cuba lakarkan kecantikan dan kehalusan peribadi budaya kaum lain yang sudah lama hidup harmoni dan penuh dengan sifat toleransi bersama sama. Saya berharap agar penonton dapat mengupas nilai-nilai murni yang kami terapkan di dalam filem pendek ini.” Che’ Az
PANGSA turut menyentuh isu dalaman individu yang berpotensi untuk membawa kepada masalah kesihatan mental lain seperti, kemurungan, keresahan (anxiety), dan kejanggalan untuk bergaul dengan masyarakat.
“Di dalam filem pendek ini, kita tonjolkan karakter Amir sebagai seorang yang introvert iaitu pendiam, pemalu dan tidak bergaul dengan jiran tetangganya. Amir cuba untuk menghadkan pergaulan dan perbualannya dengan jiran jiran lain, dan hanya buat hal sendiri sahaja.
Namun, tanpa Amir sedari, sebenarnya mereka ini (jiran tetangga), amat prihatin akan keadaan Amir yang berjauhan dari keluarga dan cuba untuk mengisi kekosongan itu. Menariknya di dalam filem ini, kita boleh lihat bagaimana kepentingan Silaturahim dapat mewarnai kehidupan Amir yang dulunya sunyi dan sentiasa bersendirian.
Saya juga ingin menekankan bahawa inilah yang menjadi tunjang kami di Nu Ideaktiv, kami ingin memberi inspirasi yang membina komuniti melalui program, mahupun kandungan portal yang positif dan menyeluruh kepada semua lapisan masyarakat, meliputi seluruh Nusantara.” Ketua Pegawai Eksekutif Nu Ideaktiv Sdn Bhd, Syamil Fahim Mohamed Fahim
Filem pendek arahan bersama, Zuhdee Zaid dan Che’AZ ini, secara keseluruhannya digarap dengan menyelitkan nilai-nilai murni yang sarat dengan emosi yang menterjemahkan kepentingan cakna dengan keadaan sekeliling dan betapa pentingnya menjaga dan mengeratkan silaturahim di kalangan rakyat Malaysia yang berbilang kaum.
Silaturahim itu mendekatkan yang jauh, menumbuhkan rasa kecintaan di dalam hati, bertamu di mata, dan selamanya di jiwa. Jangan lupa tonton dan rasai sendiri kehangatan emosi di dalam filem pendek Raya PANGSA ini.
***************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
***************
This website uses cookies.