
Nama Nurul Zuriantie Shamsul menjadi bualan selepas tersenarai sebagai salah sorang finalis Miss Universe New Zealand (Ratu Cantik NZ) 2018. Lebih-lebih lagi apabila penampilan Nurul yang berhijab sebaris dengan finalis lain.
Peristiwa berdarah insiden tembakan rambang di dua buah masjid iaitu Masjid di Hagley Park dan Masjid di Linwood, Christchurch telah menggemparkan dunia termasuk Nurul yang menetap di Morrinsville, New Zealand.
Cerita Nurul kala dihubungi, “Ketika insiden tembakan rambang di dua buah masjid Christchurh tersebut, saya berkeseorangan mendirikan solat zohor di dalam sebuah masjid berdekatan kediaman saya. Saya hanya dapat tahu sejurus selepas 10 minit peristiwa itu berlaku.
Saya terkejut dan tegak bulu roma membaca berita yang tidak pernah disangka lebih-lebih lagi apabila turut berada dalam masjid juga. Timbul rasa takut dan bimbang mereka berada di masjid yang saya kunjungi. Apabila saya bangun tidur pagi ini terasa seperti apa yang berlaku umpama mimpi ngeri,” tutur Nurul yang bekerja di Hamilton, North Island kira-kira 677 kilometer dari Christchurch, New Zealand ini.
Tambahnya lagi, “Secara jujurnya saya tidak tahu bagaimana mahu menzahirkan emosi saya ketika ini. So many thoughts and emotions. Situasi di sini agak tegang dan dalam langkah berjaga-jaga.
Apabila melihat polis bersenjata berlegar-legar di sekitar New Zealand di depan mata sendiri yang mana tidak pernah berlaku sebelum ini memberi pengalaman baharu. Saya tidak dapat membayangkan bagaimana rasa takut saudara seislam kita di negara yang bergolak seperti Syria dan Palestin,” ujar Top 5 Miss Universe New Zealand berketurunan Melayu yang berusia 21 ini.
Nurul yang sudah 16 tahun menetap bersama keluarganya di negara itu berkata seluruh masjid di sana diarahkan tutup buat sementara sehingga keadaan pulih seperti sedia kala.
Kongsi Nurul yang pernah melawat Christchurch beberapa tahun lalu, “This was me in Christchurch (gambar di atas). A few years back. The place holds a special place in my heart. I felt so much hope at the time I was at Christchurch last time,” akhiri Nurul yang berharap keadaan cepat pulih.
Ketika serangan tersebut dikatakan seorang lelaki bersenjata melepaskan tembakan di masjid di Christchurch, New Zealand yang menyebabkan 40 jemaah maut dan lebih 20 cedera. Malah terdapat tiga orang rakyat Malaysia turut dilaporkan cedera dalam serangan tersebut.
YUKA KHARISMA Pernah Jadi Juara Tilawah ZON UTARA!

Suara penyanyi kelahiran Indonesia, Yuka Kharisma begitu lantang dan besar. Bila dengar alunan suaranya, membuatkan kita teringat pada penyanyi Anggun, yang juga kelahiran Indonesia. Rupa-rupanya ibu kepada Ahmad Avisenna ini bukan calang-calang orangnya. Kehidupannya yang sering berpindah-randah dek kerana mengikut ayah telah menonjolkan bakat lain Yuka sehingga menjadi johan tilawah al-Quran!
Walaupun sibuk dengan perniagaan, karier nyanyian tetap menjadi keutamaan. Dari kecil lagi bakat nyanyian Yuka sudah dipertontonkan di hadapan orang ramai. Keretakan rumahtangga yang berlaku di antara ibu bapanya membuatkan Yuka terpaksa mengharungi hidup bersendirian.
https://www.instagram.com/p/CBk-uPGhKVJ/
“Di usia remaja lagi saya sudah tinggal sendirian. Saya menetap di sebuah rumah sewa di Jakarta manakala Mama dan Papa juga masing-masing di Bandung. Kami empat beradik tinggal di tempat yang berbeza dan ketika itu apa yang saya harapkan adalah untuk mencari rezeki demi menyekolahkan kedua-dua abang dan adik bongsu.
Ketika apa yang saya tahu hanya menyanyi. Dari jam lapan malam sehingga ke 12 tengah malam pada setiap hari Rabu hingga Ahad sehingga Isnin sudah tidak ada suara. Saya menyanyi di kafe dan hotel. Ada yang dibayar penuh, ada juga dibayar hanya RM70. Tapi saya tetap terima kerana tanggungan saya adalah adik-beradik lain yang ingin menyambung pengajian.
Mungkin Allah tahu saya malas belajar maka Allah beri saya kekuatan dan bakat untuk mencari rezeki demi keluarga. Akhirnya, abang sulung saya bergelar arkitek manakala arwah abang kedua dan adik bongsu saya bergelar jurutera. Kejayaan mereka adalah hasil usaha mereka yang rajin belajar,”ujarnya.
Pada awal pertemuan, Yuka tampak penuh keyakinan. Penulis sangkakan wanita beranak satu ini tegas dan mungkin bersifat garang. Namun, masing-masing tidak kering gusi tatkala Yuka berkongsi kisah zaman persekolahan.
https://www.instagram.com/p/B-zOlZyBDvl/
“Saya dulu malas sekolah. Sebaik tamat SPM, saya teruskan kerjaya menyanyi dan lebih menumpukan kepada matlamat utama saya iaitu membantu adik-beradik lain mencapai cita-cita mereka. Menyanyi pun hanyalah hobi, bukan satu impian yang saya idamkan.
Sewaktu mengikut Papa pindah atas urusan kerja, kami pernah menetap di Kedah. Bayangkan seorang gadis Indonesia mengambil SPM di sebuah negara asing, ditambah pula dengan loghat yang sukar difahami!
Saya pernah ponteng sekolah selama 30 hari tau kerana stres tak dapat memahami apa yang diajar di sekolah! Mungkin cikgu-cikgu memahami situasi saya dan mereka tidak pernah menghubungi keluarga ketika itu.
Paling kelakar, guru kaunseling beritahu cukuplah sekiranya saya lulus setiap subjek dalam SPM kerana saya lebih cenderung menjadi seorang penyanyi. Ya Allah, terkedu juga saya dan nyata kata-katanya jadi kenyataan!”tawa Yuka.
https://www.instagram.com/p/B70XPv5BdEU/
Walaupun sibuk dengan nyanyian dan bidang seni, Yuka pernah menjadi kebanggaan sekolah apabila dinobatkan sebagai juara qariah peringkat zon utara. Dia sendiri tidak menyangka mampu membawa nama sekolahnya ke peringkat zon kerana sebelum ini belum ada lagi kejuaraan qariah dari sekolah itu.
“Alhamdulilah dari kecil lagi saya sudah dididik mengaji al-Quran. Mama berasal dari Acheh dan sebagaimana kita tahu, Acheh cukup kuat dengan pegangan agamanya. Ketika itu kelas mengaji saya tidak pernah ponteng. Mungkin kerana didikan itu, salah seorang guru di sekolah pernah terdengar bacaan saya lantas dicadangkan agar saya menyertai pertandingan tersebut. Saya sendiri tidak sangka akan menang.
Walaupun dulu di sekolah saya sering ‘ghaib’, tetapi tiap kali ada acara seni, saya pasti menonjolkan diri. Bila ada lawatan dari Menteri atau sesiapa sahaja, pasti saya juga akan menjadi salah seorang pelajar yang akan membuat persembahan,” ujarnya lagi.
Tak Sangka Rupanya Deepika Padukone Pun Pernah Jadi Mangsa Kemurungan

Deepika Padukone dilahirkan dalam sebuah keluarga yang baik. Tetapi, kejayaan yang dikecapnya bukan semudah yang disangka. Ramai yang membuat andaian kejayaan yang dikecap oleh Deepika Padukone kini hanya semata-mata bersandarkan rupa parasnya serta personalitinya yang menarik.
Sebenarnya Deepika bermula dari bawah dengan laluan yang agak sukar. Rintangan untuk berjaya ditempuh dengan kepayahan dan tangisan yang disembunyikannya. Deepika mula melangkah ke dunia modelling dalam usia yang terlalu muda. Deepika bersungguh-sungguh dalam membentuk kerjayanya sehingga menjadi model yang terkenal.
Atas sebab tersebut Deepika telah nekad untuk menamatkan zaman persekolahan lebih awal iaitu ketika dirinya berada dalam Gred 12. Nampaknya pilihan yang telah dibuat Deepika itu berhasil dan dia telah berjaya membentuk kerjayanya.
Namun, langkahnya tidak berhenti di situ sahaja dan mahukan yang lebih daripada itu. Deepika mencabar dirinya dengan melangkah ke dunia lakonan pula. Nampaknya bakat lakonan yang tersembunyi dalam dirinya telah menyerlahkan potensi dirinya.
Watak yang dilakonkan bersama aktor terkenal Bollywood Shah Rukh Khan dalam filem Om Shanti Om telah merubah kehidupannya sebagai seorang pelakon. Peminat seni di seluruh dunia memuji lakonannya dalam filem tersebut.
Kemudian Deepika tidak menoleh ke belakang lagi dan terus melangkah dan mengecap kejayaan sama ada di Bollywood mahupun Hollywood. Namun kejayaan yang telah dicapainya masih belum membuatkan pelakon cantik ini berpuas hati.
Deepika Padukone, antara aktres menerima bayaran termahal di India dan pernah membintangi filem Hollywood, ‘xXx: Return of Xander Cage’, di samping Vin Diesel.
Bagaimana pun pada tahun 2014, Deepika telah didiagnos dengan kemurungan secara klinikal. Walaupun mempunyai masalah kemurungan namun Deepika merupakan wanita yang kuat semangat dan mampu berdiri teguh di atas kaki sendiri.
“Suatu hari saya bangun daripada tidur dan rasa tidak punya arah tuju. Saya tak tahu ke mana hendak pergi dan tak tahu nak buat apa,” tutur Deepika.
Sehubungan dengan itu Deepika berusaha meningkatkan kesedaran tentang kesihatan mental. Apa yang dilakukan oleh Deepika ini telah menyuntik inspirasi kepada ramai orang.
Dalam proses memulihkan dirinya daripada penyakit kesihatan mental tersebut, tanpa disedari Deepika telah jatuh cinta dengan pelakon terkenal Bollywood, Ranveer Singh. Mereka dilaporkan mula menjalinkan hubungan tetapi merahsiakan cinta mereka.
Sokongan dan kasih sayang yang dicurahkan oleh Ranveer telah membantu Deepika untuk mengenali siapakah dirinya dan pulih secara beransur-ansur.
“Ranvver adalah lelaki yang sebenar dan sangat sensitif. Dia adalah seorang lelaki yang tak takut atau malu untuk menangis dan atas sebab itu, saya terlalu menyintainya,” kata Deepika.
Pasangan bintang popular Bollywood, Deepika Padukone dan Ranveer Singh, berkahwin di Itali. Mereka berkahwin dalam majlis peribadi di Lake Como.
Menyingkap kisah Deepika ini banyak mengajar kita untuk jangan berputus asa dengan kehidupan yang ditempuh. Tempuhi kehidupan dengan seadanya dan sentiasa bersyukur.
Bina Keluarga Bahagia ‘Tiru’ Acuan Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Dan Ustaz Wan Akashah

Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah Mahamood, ikon pendakwah wanita yang amat dikagumi. Agak lama Ustazah Nor Bahyah menyepikan diri daripada dunia media sosial. Walaupun begitu Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah masih terus ‘menyengat’ dalam dunia dakwah sama ada melalui dunia maya dan juga pentas ceramah. Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah aktif di Facebook beliau yang mempunyai pengikut lebih daripada 2 juta.
Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah yang sering membahasakan dirinya dengan panggilan Ustazah mengakui bahawa beliau memang kurang melibatkan diri dalam program-program di layar kaca dan juga radio. Beliau kini lebih selesa bersama cucu-cucu berumur antara 1 hingga 9 tahun.
“Masa saya banyak dengan cucu-cucu lebih-lebih lagi cucu saya yang kembar. Jadi biarlah saya beri peluang kepada generasi muda pula untuk berdakwah melalui medium media sosial agar mereka dapat bersama-sama menyumbangkan ilmu anugerah Allah dan mendidik ummah.
“Seperti biasa saya menerima undangan ceramah di seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak serta Singapura. Selain itu saya juga akan mengadakan seminar atau kem motivasi pada musim cuti sekolah November dan Disember ini. Jika tiada jemputan atau undangan untuk menyampaikan ceramah, saya akan meluangkan masa bersama keluarga memandangkan sekarang ini saya mempunyai lima orang cucu yang tinggal bersama,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah membuka bicara kata.
Tidak dapat dinafikan kelibat Datuk Ustazah Siti Nor Bahyah dan imamnya, Ustaz Wan Akashah Wan Abdul Hamid dalam rancangan Semanis Kurma amat dirindui. Rancangan yang berlangsung selama lapan tahun berturut-turut sejak 2008 itu benar-benar meninggalkan impak yang berkesan dan berpanjangan kepada penonton.
“Terima kasih kepada pihak TV9 kerana memberi kepercayaan kepada saya dan Ustaz untuk mengacarakan rancangan Semanis Kurma. Rancangan semanis kurma di TV9 habis kontraknya pada 2016. Memang menjadi cita-cita saya dan Ustaz untuk menghidupkan kembali rancangan Semanis Kurma kerana rancangan ini menjadi sumber inspirasi dan juga menjadi pedoman dalam membina keluarga bahagia. Alhamdulillah ke mana-mana saya pergi, orang akan memanggil saya dan Ustaz dengan panggilan Semanis Kurma. Semoga ada penaja untuk rancangan ini diteruskan,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Jadual beliau agak padat dengan undangan ceramah-ceramah agama. Kebiasaannya dalam seminggu tiga hingga empat kali. Ada ceramah pada waktu siang hari dan ada juga pada malam hari.
“Kebanyakan ceramah di luar kawasan terutamanya di Terengganu. Setiap bulan saya akan ke sana bagi menyampaikan ceramah atas undangan dari Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu sejak tahun 2000. Saya juga kerap pergi ke Singapura, Sabah dan Sarawak serta Brunei. Ada juga undangan daripada pelajar dari luar negara seperti Jepun, Korea, Australia, Amerika Syarikat dan United Kingdom. Saya juga banyak turun padang ke kawasan pendalaman seperti kampung-kampung dan Felda-Felda,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
CABARAN BERDAKWAH
Dicungkil tentang cabaran sepanjang berkecimpung dalam dunia kerjaya sebagai seorang penceramah, jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, cabaran datang dalam dua bentuk iaitu luaran dan dalaman.
“Antara cabaran biasa ialah tempat ceramah yang agak jauh sehingga terpaksa memandu antara dua hingga empat jam. Begitu juga cabaran yang agak berat bagi saya iaitu apabila terpaksa meninggalkan anak-anak serta cucu-cucu tiga hingga empat hari dalam sebulan.
“Namun begitu cabaran paling utama ialah Iblis dan syaitan serta manusia yang bersifat mazmumah. Ia merupakan penghalang utama seorang pendakwah selain cabaran daripada fahaman sekularisme yang telah tersebar. Fahaman ini yang dibawa oleh barat sedang melanda umat Islam dan menjadi wabak yang menghakis komitmen kepada nilai-nilai agama,”tutur Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Fitrah seorang wanita bergelar isteri dan ibu, amat penting mengagihkan masa antara kerjaya dan juga keluarga. Bagi diri Ustazah Nor Bahyah jika sekiranya tiada aktiviti di luar, waktu pagi sehingga tengahari beliau akan memperuntukkan masa menguruskan rumah seperti menyediakan sarapan untuk keluarga, mengemas rumah dan memasak.
“Di sebelah petang saya akan memberi tumpuan dalam kerjaya seperti menjawab persoalan daripada facebook dan e-mel, persediaan untuk ceramah dan juga menulis untuk majalah dan buku. Pada sebelah malam akan bersama keluarga tercinta.
“Hobi saya sejak dari kecil sampai sekarang ialah membaca. Masa kecil-kecil dahulu saya sanggup berada berjam-jam di perpustakaan awam semata-mata untuk membaca. Alhamdulillah setakat ini tidak ada hari yang berlalu tanpa saya membaca. Saya tidak dapat tidur tanpa membaca terlebih dahulu. Pada masa lapang saya akan menggubah bunga, bercuti, memasak dan membawa keluarga membeli belah,”jelas Ustazah Nor Bahyah yang gemar memasak tomyam, nasi daging, daging masak kicap, kari ikan merah dan sambal belacan kegemaran keluarganya.
RAHSIA KELUARGA BAHAGIA
Keakraban dan kemesraan beliau bersama keluarga agak dicemburui. Sebenarnya banyak aktiviti yang dilakukan oleh Datuk Ustazah Nor Bahyah bersama keluarga bagi merapatkan hubungan kekeluargaan.
“Sekiranya saya tidak berceramah di luar kawasan, kami akan solat berjemaah setiap hari terutama sekali waktu maghrib. Selain itu aktiviti membaca Al-Quran terutama membaca surah Yaasin pada hari Khamis malam Jumaat turut diamalkan. Ia dilanjutkan dengan mengadakan usrah keluarga yang mana saya dan Ustaz akan memberikan nasihat dan panduan kepada anak-anak, menantu-menantu dan cucu-cucu.
“Kami juga akan luangkan masa untuk bercuti bersama. Dalam setahun antara dua hingga empat kali. Di samping itu juga sentiasa makan bersama lebih-lebih lagi pada hujung minggu. Resipi keluarga bahagia bagi saya ialah suami isteri dan anak anak mestilah menjadi seorang yang beriman dan bertakwa dan mempunyai sifat kasih sayang sesama ahli keluarga.
“Sifat kasih sayang itu terbentuk melalui lima perkara iaitu sentiasa mengeluarkan perkataan yang baik-baik dan positif, sentiasa memberi hadiah terutama pada tarikh hari kelahiran, melalui sentuhan seperti bersalam salaman, ciuman dan pelukan, sentiasa mengadakan aktiviti bersama seperti solat berjemaah, makan berjemaah dan bercuti berjemaah dan sedia berkhidmat seperti tolong-menolong antara suami isteri, ibu bapa dan anak anak,”kongsi Datuk Ustazah Nor Bahyah yang amat menekankan solat lima waktu dalam mendidik anak-anak dan cucu-cucunya.
Melihatkan kesibukan jadual harian beliau nescaya pasti terdetik dibenak fikiran, bagaimana pendakwah wanita yang wajahnya sentiasa dibungai dengan senyuman ini mengekalkan stamina. Tidak lokek berkongsi rahsia, antara elemen penting ialah mendapatkan tidur yang mencukupi enam hingga lapan jam sehari.
“Saya juga menjaga makan dan minum supaya berat badan tidak bertambah. Di samping itu juga saya sentiasa melakukan aktiviti yang dapat mengeluarkan peluh seperti menyapu sampah, berjalan-jalan dan bersenam,”jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah.
Sebelum menutup kalam, sempat ditanya pendapat beliau tentang peranan wanita sebagai nadi pembangunan dalam sesebuah institusi kekeluargaan. Jelas Datuk Ustazah Nor Bahyah, wanita perlu sentiasa menjadikan dirinya teladan yang boleh dicontohi anak-anak dalam segala hal yang dilakukan di dalam urusan rumah tangga.
“Wanita juga berperanan sebagai penolong dan teman hidup pasangannya di kala suka dan duka. Melayani suami merupakan kewajipan sebagai seorang isteri. Isteri juga adalah teman untuk berbincang sebelum sesuatu keputusan diambil oleh suami sebagai ketua rumahtangga. Sebagai isteri mungkin pendapat kadang-kala berbeza tetapi apabila keputusan sudah dibuat oleh suami, isteri harus menyokong keputusan tersebut. Ini kerana di dalam sebuah kapal hanya ada seorang nakhoda dan begitu juga di dalam sebuah rumahtangga hanya ada satu ketua keluarga.
“Pujangga Arab ada mengatakan wanita itu adalah tiang negara. Seandainya wanita itu baik, majulah negara, seandainya wanita itu rosak akhlak maka mundurlah negara. Demikian juga kata penyair Arab, Ahmad Syauqi, ibu itu adalah umpama sebuah sekolah. Jika anda memberikan peluang kepadanya nescaya ia akan memberikan kepada anda satu bangsa yang berakar umbi baik. Jadilah wanita yang hebat dan bijaksana. Cantikkan diri dengan akhlak, bijak menambat hati suami serta mendidik anak-anak dengan iman dan takwa kepada Allah,”ujar Datuk Ustazah Nor Bahyah mengakhiri bicara.
TIP KEKALKAN KEMESRAAN DENGAN SUAMI AGAR RUMAH TANGGA BAHAGIA
1. Curahkan kasih sayang dengan sepenuh hati.
2. Patuhlah kepada suami dengan apa adanya
3. Mendengar kata-kata suami dengan baik disertai ketaatan.
4. Sentiasalah isteri mempertahankan pandangan mata suami dengan memakai pakaian yang baik-baik
5. Sentiasa menjaga ‘hidung’ suami dengan memakai bau-bauan yang wangi.
6. Sentiasa memperhatikan waktu tidur suami
7. Sentiasa menjaga makan minum suami.
8. Jagalah harta benda suami dengan sebaik-baiknya
9. Isteri perlulah menjaga keluarga dan anak anak dengan baik.
10. Jangan sesekali menyebarkan rahsia suami.