Setiap kali melihat posting selebriti kepada dua cahayamata, Anzalna Nasir mengenai kecintaannya terhadap fesyen abaya dari Timur Tengah, ramai yang memuji kejelitaannya menggayakan abaya dari Dubai itu.
Malah, Anzalna sendiri sering berkongsi ‘kegilaan’ dirinya membeli abaya dari Dubai yang disifatkan nampak sopan, elegan dan fashionable untuk wanita mengenakan hijab.
Isteri kepada Hanif Zaki ini sudah lama menyatakan hasrat untuk memiliki jenama fesyennya sendiri. Namun hasratnya itu terpaksa dibiarkan seketika kerana ingin memberi tumpuan penuh terhadap dua orang putera tersayang, Mohamad Eidrees dan Mohamad Emirhan.
Anzalna memilih untuk tidak terlibat dengan projek drama kerana mahu menjaga anak-anak sendiri dan membesar di depan mata. Pelakon berusia 34 tahun itu memikul tugas tersebut bersama suami tersayang, Hanif Zaki tidak kira sama ada mempunyai pembantu rumah ataupun tidak.
Dalam kesibukan menjalani kehidupan sebagai ibu dan isteri, Anzalna sempat melahirkan jenama fesyennya sendiri yang diberi nama @anzalna.vestiaire.
Jenama fesyen Anzalna Nasir sempena kedatangan Ramadan dan Syawal ini mendapat sentuhan peribadi Anzalna yang sememangnya amat mencintai dunia fesyen terutamanya selepas mengenakan hijab.
“Dari segi rekaan, saya berkongsi idea dengan pereka fesyen terkenal iaitu Ashraff Zainal yang juga merupakan salah seorang pereka fesyen yang saya kenali sejak tahun 2015. Hasil gabungan idea dan olahan Ashraff Zainal telah menghasilkan koleksi Anzalna Vestiaire yang menepati citarasa saya,” ujar Anzalna yang rancak bercerita mengenai cinta terbaharunya itu.
“Finally I can wear my own clothing brand,” ujar Anzalna yang gemarkan potongan abaya moden dan menjadikan abaya dari Dubai sebagai sumber inspirasi dirinya sebagai wanita yang baharu mengenakan hijab, tetapi tetap mengekalkan ciri-ciri bergaya dan moden.
Tambah Anzalna lagi, abaya yang dihasilkan menepati keperluan hijabista yang mementingkan abaya yang longgar, mudah untuk dibawa solat dan berwudhuk. Selain itu, Anzalna turut berkolaborasi dengan jenama Les Anggun untuk busana raya ibu dan anak.
Ketika ditanya mengenai perancangan untuk membuka butik sendiri sekiranya langkah awalnya dalam bidang fesyen ini berjaya, pelakon Dendam Aurora ini turut memasang angan-angan untuk memiliki perniagaan fesyennya sendiri tetapi dia lebih selesa untuk memperkenalkan abaya ini untuk memenuhi permintaan para peminat yang sering mengikuti gaya fesyen yang digayakannya.
Melihat perkongsian di laman Instagram miliknya, ternyata Anzalna terharu dengan sambutan yang diterima dari para peminatnya yang teruja dengan koleksi abaya yang dihasilkan.
“Doakan semoga langkah awal saya berkongsi citarasa fesyen dengan para peminat ini diterima sebaiknya,” ujar Anzalna yang berkongsi keterujaannya dalam dunia fesyen di laman sosial miliknya.