Tubuh kecil molek yang dimiliki oleh Mariana Mohammad sememangnya menjadi kelebihan untuk dirinya bergiat secara aktif dalam sukan berbasikal. Mana tidaknya, wanita yang telah menjengah usia 39 tahun ini dahulunya pernah mewakili negara dalam sukan berbasikal sejak berusia 19 tahun sehingga mengambil keputusan untuk bersara dari sukan tersebut pada tahun 2014.
Walaupun tidak lagi mewakili pasukan berbasikal negara, minat yang mendalam dalam sukan berbasikal tidak pernah padam dalam diri Mariana. Malah, kini lebih selesa menyertai pelbagai acara berbasikal peringkat kebangsaan mahupun peringkat antarabangsa bagi memenuhi minatnya yang mendalam dalam aktiviti sukan yang begitu dekat di hatinya. Keputusan untuk bersara dan mendirikan rumahtangga serta memperolehi cahayamata yang kini sudah meningkat remaja tidak pernah memadamkan semangat Mariana meneruskan aktiviti berbasikal.
Ketika ditanya mengenai penglibatan awalnya dalam sukan tersebut, jelas Mariana ketika berusia 19 tahun, dia berminat untuk menceburi sukan triathlon yang mengkehendaki gabungan acara berbasikal dan berenang di dalam masa yang sama.
“Ketika di usia remaja, saya amat meminati sukan-sukan ekstrem seperti acara triathlon. Untuk memasuki acara seperti itu, kemahiran berenang dan berbasikal amat diperlukan. Jadi, saya tekad untuk mempelajari teknik berbasikal dan selepas beberapa bulan memahami teknik berbasikal yang betul, barulah saya mencuba sukan ini dan terus jatuh cinta,. Berbasikal memang sentiasa dekat di hati saya, malah saya mula berbasikal sejak dari bangku sekolah lagi,” ujar wanita kelahiran Kota Kinabalu, Sabah ini yang menyertai beberapa pertangdingan peringkat antarabangsa dan mewakili negara di bawah kelolaan Majlis Sukan Negara.
Jelas Mariana, sepanjang melibatkan diri dalam sukan berbasikal, banyak perkara positif yang dipelajarinya dalam membentuk keperibadian serta memperbaiki postur tubuh dan tahap kesihatan yang baik. Pada pandangannya, berbasikal bukan sahaja dapat memberi kecergasan, malah dapat mengurangkan tekanan serta membolehkan dirinya berfikiran positif dalam pelbagai perkara.
“Bagi saya berbasikal adalah salah satu gaya hidup sihat yang dapat membentuk kecergasan fizikal dan menjadi satu latihan yang akan mengurangkan ketegangan fikiran. Di samping dapat menguatkan otot dan membakar kalori, aktiviti berbasikal juga menyumbang ke arah kesihatan secara efektif. Ia sesuai untuk semua peringkat umur malah dapat mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan aktiviti luar bersama keluarga,” ujar Mariana lagi.
Tambah Mariana lagi, berbasikal memberi satu kepuasan kepadanya kerana ia melibatkan pengembaraan dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain. Dari segi kecergasan pula, berbasikal meningkatkan tahap metabolisme dan stamina tubuh.
“Aktiviti yang mengeluarkan peluh ini menunjukkan bahawa organ dan tubuh saya berfungsi dengan baik dan ini memberi suatu kepuasan. Di samping itu, berbasikal dapat menambah kenalan dan meningkatkan tahap komunikasi dengan semua ahli berbasikal yang lain. Bak kata orang jauh perjalanan luas pemandangan,” katanya yang mengakui jarang jatuh sakit kerana tubuhnya berada dalam keadaan sihat dan bertenaga.
Kebaikan berbasikal dari aspek kesihatan
Mariana amat mengesyorkan aktiviti berbasikal untuk kaum wanita kerana berbasikal mampu menguatkan otot dan membina stamina. Tambahnya lagi, melalui aktiviti berbasikal bukan anggota kaki sahaja yang terlibat apabila basikal malah keseluruhan tubuh terlibat apabila berbasikal.
“Dengan berbasikal juga risiko terseliuh dikurangkan malah mempertingkatkan proses penguatan otot. Berbasikal paling baik untuk membina kekuatan paha dan sendi lutut. Apabila seseorang berbasikal secara rutin anda akan dapati bentuk otot di bahagian kaki anda akan lebih kemas. Jadi, untuk wanita jika mahu postur dan tubuh badan yang lebih menarik, aktiviti ini amat disyorkan,” ujarnya.
Berbasikal memang satu cara yang terbaik juga untuk membina stamina, ini kerana ia boleh dijalankan dalam masa yang lama tanpa membosankan dan begitu memenatkan. Siapa pun tidak akan sedar sejauh mana mereka telah berbasikal dan telah mendapat manfaatnya juga.
“Denyutan jantung seseorang yang berbasikal juga akan menjadi lebih baik dan sekali gus mempertingkatkan kesihatan sistem kardiovaskular. Kajian menunjukkan bahawa kesihatan kardiovaskular seseorang akan meningkat sebanyak tiga hingga tujuh peratus dengan berbasikal,” ujarnya.
Berbasikal juga boleh membakar kalori dan dengan berbasikal selama sejam setiap hari anda boleh membakar kira-kira 300 kalori. Berbasikal memperbaiki koordinasi anggota kiri dan kanan dan yang lebih utama, apa-apa senaman boleh mengurangkan tekanan dan kemurungan dan meningkatkan kesejahteraan dan harga diri.
Berbasikal di luar rumah juga merupakan cara yang baik untuk menjadi satu dengan alam dan untuk merasakan nafas bumi. Ia mengambil minda seseorang daripada tekanan setiap hari kehidupan dan meremajakan jiwa,” ujarnya yang kelihatan begitu bertenaga dalam menjalani kehidupan sehariannya.
Sukan ini bukan sahaja memberi fokus terhadap basikal tersebut, tetapi apa yang lebih penting adalah cara kita mengawal mental untuk menerima tekanan ketika mengayuh, mempunyai hati yang cekal untuk sentiasa kekal positif dan tidak mudah putus asa serta melatih fizikal menjadi lebih sihat dan cergas,” katanya yang menyimpan banyak piala kemenangannya di kedai basikal sebagai tanda penghargaan di atas tajaan basikal dan peralatannya.
Ketika ditanya mengenai aspek keselamatan, tambah Mariana, sukan ini menggalakkan seseorang mencabar kemampuan diri tetapi dalam masa yang sama, ikut kemampuan diri agar tidak terlalu memaksa untuk melakukan sesuatu teknik di luar jangkaan sendiri.
““Kita perlu mempunyai kelengkapan basikal dan pakaian yang sesuai untuk berbasikal terutamanya di jalan raya atau lebuhraya. Yang penting kita perlu berani mencabar diri sendiri barulah diri serasi untuk melakukan sukan berbasikal seperti ini,” katanya seraya mengakhiri perbualan.
Solekan: Ann Karim
This website uses cookies.