Irma Hasmie bukanlah nama baru, kehadiran dirinya dalam industri seni satu ketika dahulu cukup meninggalkan kesan dengan penampilannya yang cantik dan popular sebagai pelakon, pengacara serta model, Irma mengumpul peminatnya yang tersendiri.
Bagaimanapun, sejak mendirikan rumahtangga pada 2012 dan bergelar ibu kepada dua orang cahaya mata nama Irma Hasmie terus tenggelam dari industri hiburan tanah air.
Malah, kini Irma lebih selesa menumpukan perhatian kepada keluarga, serta fokusnya lebih tertumpu kepada kerja-kerja sukarelawan Islam, mengacara dan juga menyediakan modul latihan.
NONA berkesempatan menemubual personaliti jelita ini mengenai perkembangan terbaharunya, serta sudut pandang dirinya dalam melalui perubahan dalam kehidupan.
Sudah berhijab sejak 2011, Irma berkongsi tentang kisah perubahan serta penghijrahan ke arah lebih baik yang dimiliki olehnya.
“Fitrah manusia hendak jadi lebih baik, tiada manusia yang hendak jadi lebih jahat. Kalau dia sudah baik pun dia mahu menjadi lebih baik. Perasaan itu sentiasa ada bagaimana kita hendak upgrade diri kita.
“Perubahan ini subjektif, bukan hanya dari bertudung kepada tidak bertudung, sebenarnya ia merangkumi semua aspek dari segi performance dan kerja, peribadi dan pendidikan. Kita sentiasa hendak jadi lebih baik,” kongsinya penuh makna.
Kebiasaan yang biasa kita dengar, apabila seseorang berubah ke arah lebih baik, sering dilabel sebagai bertuah kerana berjaya memperoleh serta dikurniakan hidayah dari Allah SWT.
Namun, lain pula persepsi bagi wanita anggun ini. Menurut Irma hidayah itu sifatnya lebih berharga dan akan dihargai apabila kita berusaha sebaik mungkin untuk mencarinya.
“Ada sesetengah orang rezeki mereka sangat indah dan baik yang mana mereka tidak perlu mencari hidayah. Cumanya, kalau mereka tidak mencari hidayah, adakah mereka grab peluang itu atau tidak.
“Kadang-kadang kita terlepas sebab kita tak ambil peluang sewaktu Allah petunjuk dan hidayah. Pada orang yang berusaha pula apabila mendapat hidayah dan petunjuk mereka merangkul peluang tersebut.
“Bagi saya perkara itu mungkin lebih baik, mungkin kerana ada pro dan kontra dalam perjalanan kehidupan. Dalam agama pun ada mengajar kita takkan boleh ubah seseorang kecuali dia ubah diri dia sendiri. Jadi nak berjaya kita kena ubah diri kita,” ujarnya.
Sekadar info, artikel ini merupakan artikel olahan semula dari HIJABISTA
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kami sekarang di SINI!
Sumber: Instagram Irma Hasmie
This website uses cookies.