Maya Karin memang ada gaya dan tarikan tersendiri. Sesiapa saja yang pernah bertentang mata dengan figura ini pasti terpikat dek kecantikan semula jadi Maya. Sering tampil tanpa sebarang solekan, Maya tetap kelihatan yakin dengan diri sendiri.
29 Oktober lalu, pemilik nama Maya Karin Roelcke ini mencecah usia 44 tahun. Dia dilahirkan pada 29 Oktober 1979 di Bayreuth, Bavaria, Jerman.
Bapanya, Gottfried Roelcke berasal dari Jerman. Sementara ibunya pula, Che Zan berasal dari Malaysia.
Tak hairanlah, bintang filem Pontianak Harum Sundal Malam ini cantik, ada darah campuran Jerman dan Melayu!
Difahamkan Maya membesar di Indonesia sehingga umur 17 tahun sebelum berhijrah ke Malaysia. Dia berkelulusan dalam bidang media dan pemasaran dari Lim Kok Wing University.
Maya merupakan anak sulung daripada tiga adik-beradik dan dia mula aktif menceburi industri hiburan sejak tahun 2001.
Lakonan mantap Maya mendapat pujian ramai terutamanya menerusi filem Waris Jari Hantu, Majika, Ombak Rindu dan Munafik 2.
Selain bergelar pelakon, nama Maya juga dikenali sebagai pengacara, model dan duta produk. Malah, Maya sebelum ini pernah menerbitkan beberapa lagu termasuk Erti Cinta dan Teka-Teki.
Selebriti ini bukan hanya dikurniakan wajah cantik dan berbakat besar dalam industri seni bahkan memiliki kepakaran dalam mengusahakan perniagaan.
Sebelum ini Maya pernah terlibat dalam bidang hartanah dan berbakat dalam bidang masakan.
Lihat sahaja bagaimana dia mengendalikan bisnes Burger Bakar secara kecil-kecilan waktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) tidak lama dulu, sampai berjaya membuka beberapa cawangan di Lembah Klang.
Namun, perancangan untuk mengembangkan perniagaan burger bakar tersebut ‘putus’ di tengah jalan selepas Maya mengakui ada pihak cuba mengambil kesempatan atas kejayaan itu.
Aktres jelita ini tidak sepenuhnya bergantung pendapatan sebagai pelakon dan penyanyi semata-mata. Sebaliknya, Maya kreatif menjana pendapatan daripada pelbagai bidang.
Paling penting, tiada sedikit pun istilah malu terbit dalam dirinya untuk mencari rezeki halal. Kagum!
Maya juga sebelum ini mendedahkan pernah berkerja di sebuah kedai kek selepas tamat zaman persekolahan suatu masa dulu.
Sudahlah cantik dan pandai cari duit sendiri, karakter Maya yang penyayang juga dikagumi. Maya yang merupakan aktivis alam sekitar yang cukup merendah diri dan tidak kisah pergi ke sesuatu destinasi walau hanya menaiki pengangkutan awam.
Dalam usia 40an Maya masih kekal anggun dan menawan biarpun tanpa solekan tebal di wajah.
Artikel berkaitan https://www.nona.my/pakej-lengkap-bijak-irina-roelcke-pernah-jadi-peguam-di-london-wajah-cantik-raih-perhatian/
This website uses cookies.