Siapa yang tak mengenali penghibur dan usahawan ternama dunia, Rihanna bukan? Bukan sekadar seorang penyanyi dan pelakon, malah bakat Rihanna dalam bidang perniagaan juga turut diperakui malah dirinya pernah dinobatkan wanita termuda dan terkaya di Amerika Syarikat.
Mengasaskan bisnes pakaian dalam seksi Savage x Fenty pada tahun 2018, Rihanna telah membuktikan tiada apa yang mustahil. Pada bulan Ogos 2021, Forbes menganggarkan jenama ini bernilai sebanyak AS$2 bilion.
Namun Rihanna baru-baru ini mengumumkan yang dia akan mengundur diri dari memegang jawatan CEO dan akan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada individu lain.
Walau tidak dinyatakan sebab utama Rihanna mengundurkan diri, namun warga maya mengesyaki yang Rihanna ingin memfokuskan kepada keluarga apatah lagi dirinya kini hamil anak kedua dan beliau baru saja bergelar ibu.
Menurut sumber E! News, Rihanna melantik Hillary Super, yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Anthropologie Group.
Menerusi satu kenyataan bertulis yang ddikongsikan oleh Rihanna kepada Vogue Business. “Kami teruja menyaksikan visi kami di Savage X Fenty telah memberi kesan yang besar kepada industri sejak lima tahun yang lalu. Namun ini hanyalah permulaan bagi kami, dan kami akan terus berevolusi dan sentiasa berhubung dengan pengguna,” katanya.
Berkongsi keterujaannya untuk masa depan jenama hasil ideanya, pemenang Anugerah Grammy itu menambah bahawa beliau sangat berterima kasih dan teruja untuk mengalu-alukan Hillary Super sebagai CEO baharu syarikatnya.
“Beliau adalah pemimpin yang kuat dan boleh memberi tumpuan untuk membawa jenama ini ke tahap yang baru,” ujar Rihanna.
***
Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
***
“Kami Segan Sebab Penampilan Kami” – Pramugari Menangis Jumpa Ustazah Asma’ Harun!
Sebaknya baca perkongsian Ustazah Asma’ Harun sewaktu dalam penerbangan beliau ke Ghana, Afrika. Sebelum bermulanya misi kemanusiaan di sana lagi, pertemuan manis asatizah ini dengan pramugari bertugas menjadi mukadimah terindah.
Cerita Ustazah Asma’, beliau bertemu dengan dua orang pramugari dari Malaysia itu yang bertugas dengan syarikat penerbangan antarabangsa. Penerbangan tersebut membawa team NGO Sahabat Amal Care (SAC) yang berlepas dari KLIA pada 7 Februari lepas.
Dalam gambar yang dikongsi di Facebook, kedua-dua pramugari ini sebetulnya tidak bertudung tetapi telah diedit sebagai tanda hormat dan sayang keduanya.
“Ketika dalam perjalanan menuju ke Ghana, saya bertemu dengan dua orang pramugari Malaysia, pramugari tersebut menyapa dengan penuh teruja.
‘Ustazah, saya tak pernah rasa teruja macam ni.’ Sambil air mata mengalir, saya terus peluk dengan seikhlas hati.
Cerita mereka, ‘Kebiasaannya kami yang bertugas sebagai pramugari akan berjumpa dengan ramai orang yang terkenal seperti selebriti, perdana menteri dari seluruh dunia, dan ramai lagi orang ternama.
Namun kami tak pernah sangat teruja seperti ini, saat bertemu dengan ustazah, tapi kami segan sebab penampilan kami.
Syukur ustazah tidak langsung memandang kami berbeza, itu membuatkan kami sangat terharu.’ Saya peluk keduanya sekali lagi.
Cerita mereka, sudah 20 tahun berikhtiar untuk mencari pekerjaan lain sambil menitiskan air mata, namun sehingga saat ini, belum rezeki.
Bahkan, kebanyakan pramugari di syarikat penerbangan itu juga bukan Muslim. Pengakuan begini bukanlah kali pertama, para pramugari tempatan juga kerap luahkan perkara yang sama.
Allahu Akbar, sambungnya lagi, ‘Ustazah, kenapa kami tetap bertahan sehingga kini, antaranya… kerana jika bukan kami yang bertugas, bagaimana dengan penumpang Muslim yang akan bertanya setiap kali penerbangan terutamanya soalan tentang waktu solat, arah kiblat, kerana itulah kami tetap bertahan.’
Mereka ada juga bertanya kepada saya tentang solat jamak, ‘Ustazah, rumah saya di Dubai, setiap hari akan sentiasa musafir ke luar negara. Jadi, bolehkan saya solat jamak setiap kali bertugas?’
Jawapan saya, ‘boleh, selagi mana dalam perjalanan dan tidak ada niat menetap melebihi 3 hari, namun jika sudah ada perancangan menetap melebihi 3 hari (tidak termasuk hari pergi dan pulang) maka hanya dibolehkan jamak ketika perjalanan musafir sahaja, dan apabila sampai di rumah tidak boleh melakukan solat jamak.’
Tersenyum dan mengangguk pramugari itu mendengar penjelasan saya, tanda dirinya faham.
Saya titipkan nasihat buat mereka berdua supaya terus sabar dengan ujian ini, tidak redha dengan pakaian ini – bermaksud di dalam hati tidaklah gembira, tetap usaha menutup aurat diluar kerja, meneruskan ikhtiar untuk mencari pekerjaan lain, InsyaAllah semua usaha itu akan dipandang oleh Allah.
Bukan itu saja, mereka juga perlu untuk berusaha menyampaikan isu ini kepada pihak atasan supaya diberikan pilihan kepada pramugari Islam untuk memakai pakaian sesuai semasa bertugas.
Dua orang pramugari ini kelihatan sangat manis, dengan tasbih sentiasa ada bersama digantung pada telefon bimbit. Jujurnya dalam hati sangat kagum dan malu dengan mereka berdua.
Mereka berjuang dan bertahan demi memastikan Islam terus tersebar dan dipelihara, sedangkan kita sering terleka dan selesa dengan apa yang ada.
Semoga Allah sentiasa bersama mereka, dipermudahkan segala urusan untuk berhadapan dengan ujian ini.
Muhasabah bersama, jangan kita mudah bersangka tidak baik kepada orang lain, elakkan menghukum sesiapa yang kita lihat di sekeliling, namun latihlah diri untuk mendoakan kebaikan serta berilah saranan dan nasihat yang terbaik, semoga Allah permudahkan dan buka jalan keluar buat mereka.
Marilah kita mendoakan satu hari nanti, semua syarikat penerbangan memberi pilihan kepada para pramugari Muslimah untuk memakai pakaian indah menutup aurat dan patuh syariah. Allahumma aamin.” Ustazah Asma’ Harun
*****************
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang (link)
*****************
SELAMAT TIBA
Antara objektif misi kemanusiaan di Benua Afrika ini antaranya adalah untuk mendapatkan kemudahan asas seperti bekalan air dan elektrik; membaik pulih dan membina surau untuk keselesaan beribadah; membaik pulih dan membina bangunan sekolah untuk pendidikan serta menyebar luaskan kepada masyarakat tentang keperluan membantu masyarakat Ghana.
Ikuti catatan perjalanan Ustazah Asma’ Harun dan team SAC yang kini masih berada di Ghana melalui Facebook beliau (klik sini).
Tetap Taat Perintah Allah Walau Hidup Serba Daif, HALIZA HASHIM Kongsi Pengalaman Bertemu Etnik ROHINGYA!
Krisis kemanusiaan melibatkan pelarian Rohingya seakan tiada kesudahannya. Secara umumnya, Rohingya merupakan kelompok minoriti Islam di Myanmar. Sebahagian besar orang Rohingya menetap di Arakan (kini dikenali Rakhine) terutamanya di sekitar Maungdaw, Buthidaung, Rathedaung, Sittwe dan Kyauktaw.
Terpanggil membantu pelarian Rohingya mengharungi kehidupan yang serba kekurangan, MERCY Malaysia UK telah bekerjasama dengan Mercy Malaysia untuk misi bantuan perubatan dan kemanusiaan di Cox’s Bazar, Bangladesh. Statistik terkini mencatat jumlah pelarian Rohingya di Bangladesh seramai 860,000. Keluasan kem Kutupalong kini menjangkau 800 hektar. Ia adalah antara kem pelarian yang terbesar didunia. Persekitaran kem dengan longkang terbuka, air bertakung, sampah dan sisa pembuangan pasti mengundang wabak penyakit.
Tanpa bekalan elektrik atau air, warga kem amat bergantung kepada air bawah tanah yang diambil dari telaga tiub. Di mana-mana kelihatan kanak-kanak dan kaum wanita beratur untuk mengambil air. Namun jumlah pam masih tidak mencukupi untuk menampung kegunaan puluhan ribu pelarian.
“Rata-rata kemudahan asas seperti bekalan air bersih, sistem perparitan, tempat pembuangan sisa dan kumbahan masih tidak sempurna namun masalah ini telah dikenal pasti oleh badan dunia. Mercy Malaysia misalnya membantu membina 20 tandas komuniti di sini. Setiap unit mempunyai 2 bilik mandi dan 4 tandas. Walaupun Bangladesh amat bermurah hati membenarkan kawasan hutan simpan ini dijadikan perkampungan kaum Rohingya hakikatnya pertubuhan perubatan dan kemanusiaan antarabangsa termasuk dari Malaysia menjadi penyambung nadi mereka.
Saban hari di pusat pengagihan makanan terdapat ratusan orang yg beratur untuk mengambil bantuan. Mereka menggunakan sistem kupon. Beras, tepung, minyak masak, sabun, selimut, tikar dan tong air antara yang diberikan. Berduyun-duyun mereka turun dari bukit ke food distribution centre pertubuhan antarabangsa. Berbanding dengan apa yang kita lihat pada September tahun lalu di mana mereka merebut-rebut untuk dapatkan sekampit beras, kali ini sistem pengagihan lebih teratur,” ujar Haliza lagi.
Haliza Hashim yang juga pemegang amanah MERCY Malaysia UK telah berkunjung ke kem pelarian Rohingya di Bangladesh bersama dua orang doktor yang berpengkalan di London, Dr Zehan Rahim dan Dr Thomas McKearney.
Pada hari pertama memasuki kem pelarian, jelas kelihatan warga tua, ibu hamil dan kanak-kanak mengalami masalah kesihatan seperti kekurangan zat makanan dan sebagainya. Malah, ada di antara mereka sanggup berjalan kaki hampir satu jam untuk sampai ke klinik dan menunggu sehingga tiga jam untuk berjumpa dengan doktor.
“Kaum wanita Rohingya amat pemalu. Mereka akan menoleh apabila saya menghalakan camera ke arah mereka walaupun dari jarak jauh. Mereka sering duduk di dalam rumah. Saya banyak buat kawan dengan kanak-kanak. Sebab mereka sering bermain di luar. Saya joined sekumpulan teenage girls main batu seremban. Saya tunjukkan taktik saya, tetapi mereka tunjukkan style mereka yang lebih cekap!
Antara pengalaman yang tidak dapat saya lupakan apabila melihat betapa masyarakat Rohingya ini amat menepati waktu solat. Ketika azan Zohor mula berkumandang, sahut-menyahut dari beberapa masjid dan madrasah di kem pelarian mula kedengaran. Dari atas bukit saya nampak anak-anak kecil berlari-lari ke telaga tiub untuk mengambil wuduk. Yang dewasa pula berjalan laju merebut giliran. Warga emas mengheret kaki turun dari lereng bukit untuk ke masjid atau madrasah. Subhanallah!” ujar Haliza seraya mengakhiri perkongsian bersama majalah NONA.
Haliza Hashim adalah pemegang amanah MERCY Malaysia UK dan juga wartawan TV3/Media Prima di London.
Kahwin & Mula Berniaga Di Usia Muda, YM TENGKU NORHANIM Kini Usahawan Berjaya
Siapa kata berkahwin pada usia muda tak menjamin masa depan. Kalau dipandang dari sudut positif, pasangan dapat merancang masa depan keluarga lebih awal seterusnya menjadikan seseorang itu lebih bertanggungjawab dan matang.
YM Tengku Norhanim Tengku Othman dan suami, Faiz Hussamuddin berjaya membuktikan berkahwin pada usia muda banyak hikmahnya. Apa yang penting masing-masing perlu saling menghormati dan sabar dalam melayari bahtera rumantangga.
“Saya dan suami kenal dalam masa yang singkat. Kami berkahwin pada tahun 2012. Waktu itu saya masih menuntut di universiti dan suami pula baru tamat pengajian Diploma. Selepas berkahwin bermulah fasa mengenali hati budi masing-masing. Bergaduh dan salah faham perkara biasa dalam proses mengenali.
Maklumlah semasa bercinta lain, selepas berkahwin lain pula kisahnya. Tetapi kami cuba elak bermasam muka lebih daripada satu hari. Alhamdulillah walaupun kahwin muda, perkahwinan kami masih bertahan dan bahagia. Tahun ini genaplah 9 tahun usia perkahwinan kami,” kongsi Tengku Hanim.
Tak dinafikan kahwin muda banyak dugaannya. Masing-masing ada ego tetapi suami mempunyai tahap kesabaran yang tinggi. Ketenangan itulah yang menyejukkan jiwa saya. Kalau saya ada buat silap suamilah teman paling rapat. Saya seorang yang mudah menerima teguran positif. Saya juga tak pernah menyesal atau merungut dengan kehidupan kami kerana masing-masing saling melengkapi.
Selain bertolak ansur kami juga saling mempercayai dan jujur dalam perhubungan. Itulah salah satu rahsia kebahagiaan rumahtangga kami. Jika berselisih faham biasanya kami akan tunggu keadaan kembali reda kemudian barulah berbincang secara berhemah,” ungkap anak jati Kelantan berusia 30 tahun ini yang merupakan ibu 2 anak.
SUAMI PENYAYANG & SUKA BERGURAU
“Walaupun cerewet, suami seorang yang sangat penyayang. Sikap suami yang suka berjenaka dan bergurau senda menjadi ‘penambah rasa’ dalam rumahtangga kami. Bagi saya untuk kekal bahagia, seorang suami perlu tahu apa kekuatan dalam rumahtangga.
Selain itu, saya amat bersyukur kerana dikurniakan seorang suami yang sangat faham dengan kesibukan saya sebagai usahawan. Contohnya kalau saya tak sempat memasak, suami tak pernah memaksa. Sebaliknya, suami menyediakan pembantu rumah bagi meringankan beban saya.
PENTINGKAN DIDIKAN ANAK-ANAK
Sesibuk mana pun, Hanim dan suami tetap akan meluangkan masa berkualiti bersama anak-anak. Justeru, dengan memilih perniagaan sebagai fokus utama adalah sangat tepat. Setidak-tidaknya dapatlah mereka memanfaatkan masa yang lebih fleksibel bersama keluarga.
“Saya dan suami sangat mementingkan pendidikan anak-anak sejak mereka kecil. Contohnya, ketika Adelea berusia 4 tahun kami hantar ke playschool. Setelah usianya 5 tahun kami dedahkan Adelea lebih kepada pendidikan. Kami juga tak akan memaksa anak-anak untuk bergelar usahawan suatu hari nanti. Terserah kepada minat mereka. Namun, saya dan suami sentiasa memberi bimbingan agar mereka menjadi orang berjaya di dunia dan akhirat.
Saya mengambil inspirasi bagaimana cara ibu saya dan ibu mertua mendidik anak. Keluarga saya sendiri lebih menitikberatkan soal agama. Latar belakang agama sangat kuat kerana ibu saya seorang Ustazah. Maka dalam mendidik ibu menitikberatkan soal agama,” jelas ibu 2 anak ini.
BISNES
Tengku Hanim atau nama sebenarnya, Tengku Norhanim Tengku Othman cukup bertuah kerana dalam usia muda sudah pun memiliki sebuah keluarga yang bahagia di samping bisnes sendiri iaitu NIMS Crispy Choco Tub yang kian mendapat sambutan hangat di pasaran.
“Bisnes ini nadi kepada kesungguhan saya dan suami sejak beberapa tahun lalu. Secara tak langsung, masa bersama anak-anak pun dapat dirancang dengan baik. Kami kejar betul-betul peluang yang ada di depan mata selain bekerja keras agar dapat berkongsi rezeki dengan orang-orang yang memerlukan. Contohnya, memberi peluang menjana pendapatan dengan menjadi agen dan stokis.
Alhamdulillah produk kami menjadi sumber rezeki buat mereka yang mahu mengubah nasib diri dan keluarga kepada lebih baik,” kongsi graduan Ijazah Sarjana Muda Pengajian Asia Timur, Universiti Malaya. Tengku Hanim dan suami menjadikan ibu bapa mereka sebagai sumber inspirasi serta idola sebenar untuk sukses dalam perniagaan. Bagi Tengku Hanim tanpa keluarga pasti mereka tidak akan ke mana.
Kredit: Instagram Tengku Norhanim Tengku Othman