Fokus Kehamilan & Keluarga, RIHANNA Undur Diri Jadi CEO Savage X Fenty & Hilary Super Ambil Alih!

Siapa yang tak mengenali penghibur dan usahawan ternama dunia, Rihanna bukan? Bukan sekadar seorang penyanyi dan pelakon, malah bakat Rihanna dalam bidang perniagaan juga turut diperakui malah dirinya pernah dinobatkan wanita termuda dan terkaya di Amerika Syarikat.

Mengasaskan bisnes pakaian dalam seksi Savage x Fenty pada tahun 2018, Rihanna telah membuktikan tiada apa yang mustahil.  Pada bulan Ogos 2021, Forbes menganggarkan jenama ini bernilai sebanyak AS$2 bilion.

Namun Rihanna baru-baru ini mengumumkan yang dia akan mengundur diri dari memegang jawatan CEO dan akan menyerahkan tanggungjawab tersebut kepada individu lain.

Walau tidak dinyatakan sebab utama Rihanna mengundurkan diri, namun warga maya mengesyaki yang Rihanna ingin memfokuskan kepada keluarga apatah lagi dirinya kini hamil anak kedua dan beliau baru saja bergelar ibu.

Menurut sumber E! News, Rihanna melantik Hillary Super, yang sebelum ini merupakan Ketua Pegawai Eksekutif Anthropologie Group.

Menerusi satu kenyataan bertulis yang ddikongsikan oleh Rihanna kepada Vogue Business. “Kami teruja menyaksikan visi kami di Savage X Fenty telah memberi kesan yang besar kepada industri sejak lima tahun yang lalu. Namun ini hanyalah permulaan bagi kami, dan kami akan terus berevolusi dan sentiasa berhubung dengan pengguna,” katanya.

Berkongsi keterujaannya untuk masa depan jenama hasil ideanya, pemenang Anugerah Grammy itu menambah bahawa beliau sangat berterima kasih dan teruja untuk mengalu-alukan Hillary Super sebagai CEO baharu syarikatnya.

“Beliau adalah pemimpin yang kuat dan boleh memberi tumpuan untuk membawa jenama ini ke tahap yang baru,” ujar Rihanna.

***

Majalah Nona juga ada di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

 

Share
Published by
Wan Firdaus