Setiap kali tibanya 1 Syawal, pasti persiapan baju raya selebriti menjadi sorotan utama buat para peminat. Momen raya dan persiapan raya selebriti tidak lengkap tanpa menjengah ke laman Instagram milik pelakon Rozita Che Wan atau mesra disapa dengan panggilan Che Ta.
Setiap kali lebaran, Che Ta pasti tidak terlepas daripada menjadi tumpuan lensa kamera. Tentunya jumlah persalinan raya yang digayakan wanita yang juga merupakan usahawan berjaya itu juga tidak pernah membosankan untuk dilayari ketika sedang menikmati suasana Hari Raya.
Menurut Che Ta, persiapan raya bagi dirinya dan keluarga tidak banyak berubah dan tradisi bergambar kenangan bersama keluarga menjadi momen indah untuk mereka kenang sepanjang hayat.
Tahun ini, untuk 1 Syawal, Che Ta sekeluarga mengenakan persalinan biru sentuhan pereka fesyen FIZIWOO. Manakala pada hari raya kedua, Che Ta sekeluarga mengenakan pakaian rona ungu rekaan Rizman Ruzaini. Syawqal ketiga pula menyaksikan rekaan Rizman Ruzaini dan Man Kajang menjadi pilihan keluarga ini.
Menurut Che Ta, tidak semua pakaian raya tahun ini merupakan baju yang baharu ditempah memandangkan terdapat baju raya tahun lalu yang masih belum sempat digayakan.
“Tentang persalinan baju raya sama sahaja macam koleksi tahun lepas. Tapi, baju tahun lepas pun banyak lagi yang tak sempat pakai.
“Jadi, kita sambung pakai baju raya tahun lepas. Tetap bergaya sebab raya ini bukan hari-hari. Kita sambut dengan rasa teruja, namun pada masa sama, tetap ingat orang yang memerlukan,” ujar isteri kepada Zain Saidin ini.
Meskipun raya tahun ini disambut dengan penuh kemeriahan bersama keluarga tercinta, Che Ta turut menzahirkan raya sedih kerana tidak berkesempatan menunaikan umrah dalam bulan Ramadan. Untuk rekod, rakan baik dan rakan perniagaan Che Ta, Anas Zahrin menghadiahkan pakej umrah untuk dirinya beberapa bulan lalu tetapi belum berkesempatan mengunjungi bumi Mekah dan Madinah lantaran sibuk menguruskan perniagaan dan urusan-urusan lain yang telah direncanakan.
“Hajat menghabiskan 10 Ramadan terakhir di Tanah Suci bagi mengerjakan umrah tidak terlaksana. Kalau ikut perancangan awal, nak pergi umrah 10 malam (Ramadan) terakhir tapi tiada rezeki. Sebab tak rancang betul-betul.
“Tapi, tidak mengapa mungkin kita panjangkan niat tersebut untuk hari mendatang. Insya-Allah. Ada rezeki dan kelapangan pada kemudian hari.
Selebriti berusia 52 tahun ini menyambut Aidilfitri di Alor Setar Kedah pada tahun ini. Teruja dapat berkumpul bersama adik-beradik di Aidilfitri, Che Ta turut mengambil kesempatan mengucapkan Selamat Hari Raya buat seluruh umat Islam di seluruh negara.
This website uses cookies.