Foto Mesra FARID KAMIL & ACHA Di Samping Anwar Dan Wan Azizah Tular Peminat Akui Teruja!

Dek cara bercakap dan bertutur Farid Kamil dalam loghat utara ketika beraksi di layar perak ataupun dalam percakapan hariannya dilihat sesuai untuk dirinya membawakan watak Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi filem terbarunya yang akan ditayangkan kelak. Farid Kamil kini dilaporkan akan membawa watak Presiden Parti Keadilan Rakyat itu, dan filem tersebut merupakan kerjasama produksi Malaysia dan Indonesia di mana filem tersebut akan memaparkan kisah hidup dan jatuh bangun tokoh politik tersebut.

Manakala pelakon terkenal Indonesia, Acha Septriasa pula akan mengalas tanggungjawab membawakan watak isteri kepada Anwar Ibrahim, iaitu Datin Seri Wan Azizah.

Acha Septriasa yang terkenal menerusi filem Heart menyifatkan peluang melakonkan watak bekas timbalan perdana menteri Malaysia Wan Azizah Ismail sebagai satu penghormatan. Malah, katanya, dia kini dapat merasai kasih sayang Azizah dan suaminya Anwar Ibrahim.

“Kasih sayang mereka sebagai suami isteri dan bagaimana mereka tunaikan tanggungjawab kepada negara amat memberikan inspirasi,” katanya kepada Malaysiakini

.

Keterujaan peminat pula mulai terasa apabila kelmarin foto mesra Farid dan Acha di samping Anwar dan Wan Azizah mulai tular, mengesahkan yang mereka berdua sudahpun menemui dan bersemuka dengan pasangan figura politik popular berkenaan.

Di hantaran Instagram Farid Kamil pula, ramai peminat-peminatnya meninggalkan komen dan menyatakan yang mereka sudah tidak sabar untuk ke pawagam bagi menonton filem biografi tersebut.

Filem dengan tajuk Jalan Masih Panjang itu bakal diarahkan oleh Viva Westi selain turut menampilkan pelakon Hasnul Rahmat yang dijangka membawakan watak Tun Dr. Mahathir Mohamad berdasarkan pemilihan pakaian yang dikenakan aktor terbabit.

***

Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

Share
Published by
Wan Firdaus