
Melihat posting Instagram milik Anzalna Nasir yang kini sedang menikmati momen percutian bersama keluarga kecilnya ke Dubai, pasti akan tersenyum kagum melihat penampilan ibu kepada dua orang cahayamata ini.
Dubai menjadi lokasi percutian di kalangan selebriti tanahair antaranya termasuklah Dato’ Sri Siti Nurhaliza, Mira Filzah, Noor Nabila dan beberapa lagi selebriti tanahair.
Mana tidaknya, Anzalan tampil cantik, gorgeous dan style ketika bercuti walaupun dengan kehadiran dua anak kecil! Anzalna Nasir sememangnya seorang wanita yang bukan saja memiliki raut wajah sempurna bahkan mempunyai cita rasa fesyen elegan dan sofistikated. Walaupun mengenakan hijab, apa saja yang tersarung di tubuhnya nampak cantik terletak!
Walaupun ketika menikmati percutian, nampaknya Anzalna bijak menentukan gaya agar tidak kelihatan keterlaluan. Pendek kata, from head to toe menarik. Apatah lagi pemilihan gaya disesuaikan dengan suami tersayang, Hanif Zaki dan dua orang putera kesayangannya, Eidrees dan Emirhan.
Mempunyai 3.3 juta followers di Instagram, perkongsian foto percutian Anzalna ke Dubai baru-baru ini meraih perhatian peminat. Ibu kepada dua orang cahaya mata ini mendapat pujian di kalangan netizen di posting instagram miliknya di mana para peminat memuji kecantikannya yang bijak bergaya walaupun mengenakan hijab.
Menurut Anzalna, percutain keluarga ini merupakan percutian sempena sambutan hari lahirnya ke 35 baru-baru ini di samping usia anak keduanya, Emirhan mencecah usia 8 bulan. Anzalna turut berkongsi mengenai dua anak lelakinya memberi ‘kerjasama’ yang terbaik sepanjang percutian keluarga tersebut.
“Happy 8 months old Emirhan! Senang betul jaga Emirhan tak meragam bawa dia pi holiday. Baik macam mommy dia waktu kecil. Nakkk jugaaaaaa angkat bakul! hahahahhahahahah”- Anzalna Nasir
Untuk rekod, Anzalna atau nama penuhnya Nur Anzalna Md Nasir berkahwin dengan ahli perniagaan Hanif Zaki pada 2016 dan turut dikurniakan anak sulung, Mohamad Eidrees yang kini berusia dua tahun.
Penangan SQUID GAME, Populariti Pelakon Ini Naik Mendadak & Dilantik Duta Louis Vuitton!

Luar biasa penangan drama bersiri popular Squid Game! Mencatat drama paling laris di Netflix, kebanyakan pelakon Squid Game hari ini meraih populariti tidak disangka-sangka. Ada yang sudah pun menerima pelbagai tawaran lumayan selepas kejayaan drama tersebut. Malah mereka juga mempunyai ramai peminat.
Salah seorang pelakon Squid Game yang meraih populariti mendadak ialah Jung Ho Yeon. Dia yang melakonkan watak sebagai Kang Sae Byeok merupakan pemain nombor 067 dalam drama bersiri berkenaan.
Secara tiba-tiba Ho Yeon menjadi pelakon Korea Selatan yang mempunyai paling ramai pengikut dalam masa yang singkat di Instagram.
Media Korea melaporkan, sekurang-kurangnya sejumlah 400 ribu hingga 1.4 juta pengikut telah dicatatkan Ho Yeon di laman media sosial itu hanya selepas beberapa hari drama Squid Game ditayangkan.
Terkini, Ho Yeon memiliki lebih 16 juta followers di Instagram.
Walau dalam siri TV itu Ho Yeon digambarkan seorang wanita yang misteri, kasar dan polos namun realitinya dia seorang yang ceria, cantik dan mempunyai cita rasa fesyen yang tinggi.
Bahkan, sebelum bergelar pelakon Ho Yeon ialah seorang peragawati yang sering menggayakan fesyen berjenama mewah. Dia dikatakan mula menceburi bidang peragaan sejak berusia 16 tahun dan menyertai Korea’s Next Top Model Musim 4 pada 2013. Di samping menyertai banyak pertunjukan fesyen melibatkan label terkemuka dunia termasuk Louis Vuitton.
Terbaharu, bersandarkan rupa paras cantik dan populariti Ho Yeon… dia dilantik sebagai duta global bagi jenama fesyen mewah Perancis, Louis Vuitton.
Ini sekaligus menjadikan dia selebriti Korea Selatan kedua menerima tawaran itu selepas kumpulan terkenal BTS.
“Minda & Sikap Saya On & Off. Tak Suka Bawa Masalah Politik Balik Rumah”-DATUK SERI DR AHMAD ZAHID HAMIDI

Figura bapa disifatkan sebagai seorang hero kepada anak-anaknya. Lelaki yang menjadi pelindung dan membuatkan si anak rasa selamat di sisinya. Tular di media sosial baru-baru ini apabila wajah Timbalan PM, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi kelihatan sedikit berbeza apabila muncul di kaca TV menerusi Buletin Utama, menyaksikan mata beliau yang kelihatan sedikit bengkak dan lebam.
Malah dalam posting Instagram milik Timbalan Perdana Menteri itu 2 minggu lalu, beliau lebih banyak mengenakan kaca mata hitam. Tidak gelabah dengan spekulasi yang dilemparkan, anak sulungnya Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid dengan tenang tampil menjelaskan bapanya mengalami kerosakan saraf optik dan memerlukan pembedahan.
“Saraf mata dia tak function (berfungsi). Sebab tu mata dia jadi ‘jatuh’. Buat muka buat apa, bukan super star pun. Kalau sampai mudarat sebab saraf mata, kena la buat sesuatu. Tapi biasalah orang lagi seronok fitnah daripada tahu perkara sebenar,” tulisnya membalas komen netizen di Instagram.
Bukan itu sahaja, Nurulhidayah menjelaskan bahawa sebagai ahli politik, ayahnya perlu kuatkan semangat dan tetap bertugas demi rakyat dan negara walaupun sakit kerana ayahnya memikul satu tanggungjawab besar yang diamanahkan.
Nurulhidayah berkata bapanya masih dalam proses pemulihan dan tidak berehat lama selepas pembedahan mata. Pada 22 Jun lalu, Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution mengesahkan Zahid bercuti selama dua minggu.
Nona bertandang ke kediaman Datuk Nurulhidayah Ahmad Zahid atau Datuk Nurul pada awal Mei lalu sambil ditemani bapanya secara eksklusif, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Tiada kasih sayang yang lebih besar daripada kasih sayang ibu bapa terhadap permata sulungnya. Anak pertama yang mendidik kita erti keluarga bahagia dan menjadi harapan menjaga adik-beradik yang lain. Selain ibu dan isteri, anak perempuan sulung juga cinta hati sebenar seorang insan bergelar bapa.
Sebagai Timbalan Perdana Menteri Malaysia, bukan mudah untuk mengatur temu janji apatah lagi dengan kepadatan jadual beliau dalam pelbagai urusan pentadbiran negara.
Namun demi memenuhi permintaan Nona yang ingin mendekati keperibadian Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai seorang bapa, segalanya bagai dipermudahkan. Keluar daripada limelight sebagai ahli politik, NONA menyelami kasih sayang seorang bapa dalam diri pemimpin nombor dua negara ini.
KEPADATAN JADUAL
Pada usia menjangkau 70 tahun, Dato’ Seri Ahmad Zahid jujur mengakui sukar membahagikan masa untuk keluarga terutama sekali sebagai bapa untuk anak-anak tersayang.
“Sejak 1 Oktober 1987, saya akui berlaku ketidakadilan untuk anak-anak sepanjang saya bergiat aktif dalam politik secara sepenuh masa. Ketika itu saya dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Menteri Belia dan Sukan.
Tapi Alhamdulillah isteri, anak-anak dan cucu-cucu faham. Yang penting, sebagai seorang bapa dan datuk, saya perlu bijak bahagikan masa untuk mereka. Mungkin masa tidak panjang, tapi saya manfaatkan masa tersebut sebaik mungkin bersama-sama,” ujar Dato’ Seri Ahmad Zahid memulakan bicara.
Kata bapa kepada 5 cahaya mata itu lagi, keperibadian dirinya banyak dipengaruhi oleh bapa tersayang, Raden Hamidi Abdul Fatah yang menjadi role model kehidupannya.
Klik: https://www.nona.my/video/kita-buat-apa-yang-allah-suka-datuk-nurul-zahid/
“Tak seperti anak-anak lain yang dapat selalu berjumpa bapa setiap hari, saya pula kurang bernasib baik. Sebaik menamatkan persekolahan darjah enam, saya ‘melangkah keluar rumah’ untuk menyambung pelajaran di peringkat menengah dan seterusnya sehingga menamatkan pengajian di universiti. Tetapi arwah bapa merupakan seorang guru agama yang tegas dalam mendidik anak-anak. Dalam ketegasan itu, penuh sifat kasih sayang.
Saya masih ingat kenangan ketika ‘mengubah suai’ motor yang beliau gunakan untuk pergi mengajar. Tanpa background mekanikal, saya dan adik overhaul motor tersebut.
Bila arwah tahu, kami kena marah tapi itulah momen yang tak boleh saya lupakan,” imbau beliau sambil tersenyum mengingati momen bersama bapanya yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 91 tahun, 9 tahun yang lalu.
PANGLIMA KELUARGA
Sering dilabel sebagai individu lantang di media sosial, sosok Datuk Nurul Zahid sememangnya menjadi sebutan apabila timbul isu berkait dengan bapanya. Melihat keakraban dua beranak ini sepanjang sesi fotografi berlangsung, tidak hairanlah mengapa kedua-duanya mempunyai bonding yang kuat dan menyokong antara satu sama lain.
Melihat kesibukan jadual tugas sang bapa, Datuk Nurul Zahid mempunyai pandangannya tersendiri. Beliau menyifatkan sudah menjadi lumrah seorang bapa untuk mencari rezeki untuk keluarga. Justeru, wanita hebat ini cukup mengagumi pengorbanan lelaki bergelar bapa di mana-mana sahaja.
Klik: https://www.youtube.com/watch?v=OW5TjnpT-8Q
“Sebenarnya Abah selalu berlaku adil pada kami. Kalau bukan ahli politik pun, Abah tetap akan sibuk dengan kerjaya. Jadi sebagai ‘panglima’ keluarga, saya akan ke depan untuk menjaga air muka dan maruah keluarga kami. Saya ambil pendekatan saya sendiri yang lebih mengetahui tentang keluarga serta tak endah dengan kata-kata orang,” akui Datuk Nurul Zahid tanpa berselindung.
Ketika ditanya tentang penglibatan anak perempuan sendiri dalam dunia politik, sebagai seorang bapa, Dato’ Seri Ahmad Zahid mempunyai pandangan yang tersendiri.
“Saya tak galakkan Nurul masuk politik, tapi tak juga melarang. Malah saya juga selalu melarang dia daripada bersusah-payah mempertahankan diri saya. Biarkan masyarakat melihat realiti sebenar. Bagi saya, yang penting realiti politik yang sangat dinamik dan tiada batas sempadan. Kebebasan media perlu ada etika,” tutur si bapa sambil melirik anak kesayangan yang mesra disapa Kak Long dalam keluarga itu.
Tambah Dato’ Seri lagi, sempena Aidilfitri lalu, ramai yang datang memohon maaf pada beliau secara terbuka, mungkin kerana terlajak mengatanya secara terang-terangan tanpa perasaan.
“Maka sempena sambutan Aidiladha ini, saya maafkan semua. Asalkan tak buat lagi,” pinta Dato’ Seri Ahmad Zahid yang turut mengambil pendekatan memaafkan lebih besar ertinya dalam kehidupan.
Ketika ditanya mengenai perangai mereka yang saling mempengaruhi satu sama lain, dua beranak ini rupa-rupanya mempunyai persepsi yang tulus mengenai perwatakan yang banyak mempengaruhi keperibadian keluarga ini.
“Minda dan sikap saya on & off… Saya tak suka bawa masalah politik balik ke rumah dan sebaliknya. Alhamdulillah saya dapat tidur dengan lena. Saya tak fikirkan masalah,” ujar Dato’ Seri Dr Ahmad Zahid.
“Pada pandangan saya pula, Abah merupakan seorang yang pandai reset perasaan. Dia sangat profesional terutamanya dari segi emosi. Saya juga banyak mengikut cara Abah dari segi priority hidup. Utamakan apa yang penting dalam kehidupan iaitu mak, abah, suami dan keluarga,” balas Datuk Nurul Zahid.
Generasi berganti, harapan Datuk Nurul Zahid sebagai seorang anak ini mencuit perasaan.
“Abah sudah menjangkau usia 70 tahun. Kalau boleh saya nak Abah hidup tenang dan habiskan sisa hidupnya di samping anak-anak. Kami adik-beradik boleh berbakti untuk Mak dan Abah.
Seandainya Allah bagi ujian Mak atau Abah sakit, saya sendiri akan berkorban menjaga mereka hingga ke akhir hayat. Sebab bagi saya, tak guna jika kita ada harta di dunia tapi tak boleh berbakti dan beri kasih sayang pada ibu bapa.
Saya tahu dari segi harta, Abah boleh cari sendiri. Apa sahaja Abah dan Mak boleh cari sendiri. Tapi kasih sayang anak memang Abah dan Mak tak boleh cari di mana-mana. Dan saya juga tak boleh dapat Abah atau Mak seperti itu kerana mereka tiada galang gantinya,” akhiri Datuk Nurul Zahid seraya mengakhiri perbualan.
TEKS: ROSMAH IDAYU ABU SAMAH @rosmahidayu_as
FOTO: NURUL AKMAR AZIMI @ownakmarazimi
SOLEKAN: AYANG KAMELL @ayangkamell
Diuji Fibroid, Nora Danish Tak Serik Mengandung Lagi & Impi Anak Perempuan Sebelum Umur 40

Tidak berkelip mata setiap kali melihat kelibat figura yang cantik menawan ini. Nora Danish sentiasa tampil menawan dan bijak mengadun gaya yang sesuai dengannya. Berkesempatan bertemu dengan ibu kepada tiga orang anak ini, Nona tidak melepaskan peluang untuk bertanya khabar.
Nora khabarnya baharu sahaja selesai penggambaran filem terbaharunya. “Saya baharu sahaja shooting filem Polis Evo 3 dan selepas ini saya akan masuk set semula untuk sebuah telemovie dengan Osman Ali (ketika temu bual ini berlangsung),” tutur Nora Danish lembut.
Menurut Nora Danish selain berlakon pelakon berkulit putih ini sibuk menguruskan dua perniagaan iaitu Salun Karva dan jenama pakaian OwlbyNd. “OwlbyNd kini sedang sibuk dengan Raya Collection dan sekarang saya juga ada keluarkan produk terbaharu iaitu Tara V-mist. Jadi sekarang saya sedang tumpukan perhatian pada produk tersebut,” kata Nora Danish.
Bila ditanya tentang keinginan Nora Danish untuk tambah anak, sambil tersenyum jawab Nora Danish, “Itu lah seperti mana kata orang, seorang ibu selalu lupa kesakitan masa melahirkan sebab bila tengok anak dah besar rasa rindu nak ada baby balik.
Macam sekarang, anak saya dah berusia dua tahun, rasa macam cepat masa berlalu. Daripada baby kemudian dah boleh berjalan. Rindu nak ada baby especially baby girl sebab saya dah ada 3 anak lelaki. Kalau diberikan rezeki Nora nak anak perempuan. Insyaallah sebelum berumur 40 tahun ni,” ucap pelakon yang berusia 37 tahun ini.
Menyingkap kisah kelahiran Nora Danish terdahulu, “Kalau ikutkan saya ada rasa takut nak mengandung lagi sebab lastest baby lahir di usia 8 bulan sebab ada komplikasi fibroid. Saya ada pendarahan yang sangat teruk, so memang takut. Takut tapi macam nak juga, macam mana?” tutur Nora Danish berseloroh.
Nora Danish sempat menitipkan nasihat kepada semua wanita agar sentiasa menjaga kesihatan, “Nasihat saya kepada semua wanita agar selalu buat medical check up, pap smear dan sebagainya.
Ini penting supaya kita tahu tahap kesihatan dalaman. Kalau ada benda-benda (ketumbuhan) macam tu elok kita buang sebab takut boleh mendorong kepada kanser. Sentiasa buat check up sekurang-kurangnya setahun sekali.
Saya sendiri tak buat check up sebab tu tak tahu ada fibroid. Jangan amalkan sikap selalu ambil sambil lewa tahap kesihatan kita. Ingatan ini penting terutama wanita yang lepas melahirkan anak wajib buat check up,” ungkap Nora Danish yang sudah membuang fibroidnya.
Nora Danish sentiasa berpenampilan cantik, ketika diajukan sukarkah untuk kelihatan cantik, ujarnya, “Susah, memang susah. Paling susah untuk saya nak jaga berat badan. Sebab lepas melahirkan anak makan sikit saja tapi berat badan cepat naik,” bicara Nora Danish mengakhiri perbualan kami.