Foto SHAH RUKH KHAN Tunai Umrah Pertama Kali Tersebar, Ramai Peminat Titip Doa Agar Kekal Istiqamah

Pelakon terkenal serta Raja Bollywood, Shah Rukh Khan dikhabarkan kini sedang menunaikan umrah di Tanah Suci di mana gambar-gambar pelakon itu yang berada di Makkah tular di media sosial sejak semalam. Menerusi foto-foto yang tersebar, Shah Rukh Khan kelihatan memakai pakaian ihram dengan memakai pelitup muka berwarna biru.

Dalam gambar-gambar tersebut, kelihatan Shah Rukh Khan sedang menunggu sesuatu dan beliau juga dilihat ditemani beberapa orang yang dipercayai pengawal peribadinya.

Menerusi laman web Hindustan Times, Shah Rukh Khan menunaikan umrah selepas selesai menjalani penggambaran filem Dunki di Arab Saudi. Selepas menunaikan umrah, Shah Rukh Khan dilaporkan akan menyertai Festival Filem Laut Merah di Jeddah.

Perkhabaran Shah Rukh Khan menunaikan ibadah umrah disambut baik peminat dan rata-rata memberikan komen positif mereka mendoakan agar ibadah pelakon itu terlaksana dan diterima Allah S.W.T.

Dalam satu temubual bersama Times of India sebelum ini, Shah Rukh mengakui bahawa dia tidak pernah menunaikan umrah sebelum ini. “Menunaikan ibadah itu sudah semestinya ada dalam agenda saya. Saya teringin ke sana bersama anak lelaki saya Aryan dan anak perempuan Suhana.” Namun tidak diketahui sama ada keluarga Shah Rukh Khan menemaninya menunai umrah atau tidak.

“Sangat gembira melihat beliau menunaikan umrah dengan hasrat melawat tempat suci ini,” kata salah seorang peminatnya.

Sumber: Hindustan Times 

***

Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona

***

Share
Published by
Wan Firdaus