From TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor, Buku ‘My First Year Journey’ Dedah Sisi Peribadi Tengku Permaisuri Norashikin!

Pesona Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Tengku Permaisuri Selangor sudah mula menyerlah ketika baginda masih bertugas sebagai Penyampai Berita lagi. Kecantikan wajah dan butir bicara yang jelas tatkala menyampaikan berita membuatkan penonton tidak jemu dan terus ‘melekat’ di kaca televisyen.

Tidak hairanlah, Tengku Permaisuri Norashikin berjaya menggondol Anugerah Penyampai Berita TV Terbaik di Anugerah Seri Angkasa 2005 kerana bakat yang dimiliki. Lahir sebagai seorang rakyat jelata, kompas hidup Tengku Permaisuri Norashikin berubah sepenuhnya apabila baginda berkahwin dengan DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj pada penghujung bulan Ogos 2016.

Kini selepas lebih tiga tahun bergelar DYMM Tengku Permaisuri Selangor, baginda akhirnya berkenan berkongsi sisi peribadi kepada umum menerusi naskhah ‘My First Year Journey – From TV News Anchor to Tengku Permaisuri Selangor – An Anecdotal Experience’. Buku eksklusif cetakan terhad ini baru sahaja dilancarkan pada 16 Disember lalu di Pustaka Raja Tun Uda, Shah Alam. DYMM Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah dan DYTM Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah berkenan berangkat ke majlis pelancaran buku berkenaan.

Menariknya, buku ini memuatkan gambar-gambar eksklusif baginda yang belum pernah disiarkan sebelum ini dan buku ‘My First Year Journey’ ditulis oleh kakak DYMM Tengku Permaisuri Norashikin iaitu Yang Berbahagia Datin Dr Norely Abdul Rahman.

Pada majlis pelancaran, Tengku Permaisuri Selangor bertitah, “Saya ingin memanjatkan rasa syukur ke hadrat Allah SWT di atas majlis pelancaran buku pada petang yang berbahagia ini. Sesungguhnya saya berasa amat berbesar hati dan teruja dengan penerbitan buku “My First Year Journey” ini walaupun pada masa sama perasaan saya bercampur baur dan kadangkala berbelah-bahagi, apatah lagi saya seorang yang tidak gemar untuk berkongsi kisah kehidupan dan peribadi saya sejak dahulu lagi.

Jadi penerbitan buku ini sebenarnya mengambil masa yang agak lama kerana setiap kali ditanya oleh penulis buku ini iaitu kakak saya sendiri, Yang Berbahagia Datin Dr. Norely Abdul Rahman, saya seringkali menangguhkan permintaan beliau itu. Oleh kerana saya juga seorang yang teliti, jadi saya mahu setiap penceritaan itu ditulis secara terperinci tanpa ditokok tambah dan berdasarkan peristiwa-peristiwa yang benar-benar berlaku. Alhamdulillah selepas hampir 3 tahun buku ini berjaya disiapkan.

Buku ini sebenarnya bertujuan untuk berkongsi pengalaman saya menempuhi pelbagai pengalaman baharu buat pertama kali, khususnya membabitkan protokol istana dan adat istiadat di dalam Balairung Seri. Namun lebih menarik, tujuan saya adalah untuk turut membawa pembaca merasai pengalaman yang saya lalui dan memperoleh pengetahuan baharu mengenai adat istiadat, bahasa istana dan susur galur sejarah Kesultanan Selangor.

Saya juga amat terharu dan berbesar hati dengan sokongan dan input yang diberikan oleh DYMM Tuanku Sultan khususnya yang membabitkan hal-hal berkaitan adat istiadat istana. Menjunjung kasih Tuanku.

Life is about learning. I am happy to share with everybody the learning curve that I had to go through, while settling in this new role of mine. This book is intended to spread positivity and to emphasize that I am only human and in no way, shape or form, perfect. I hope this book will be well received by everyone and I am happy to announce that part of the proceeds from the sales of this book will go to the charity that is closest to my heart, SPCA Selangor.”

Buku kisah perjalanan hidup Tengku Permaisuri Norashikin, seorang Permaisuri yang lahirnya sebagai seorang rakyat jelata adalah sebuah naskhah yang pastinya dapat memberi inspirasi kepada semua pembaca. Buku ini berharga RM160 senaskhah dan sebahagian hasil jualan daripada buku ini akan disumbangkan untuk tujuan kebajikan kepada SPCA Selangor.

Sumber: Selangor Royal Official

Share
Published by
Zehan Suziana Abu Daud