Frontliners Luah Kebimbangan, Ramal Terima Pesakit COVID-19 Lebih Ramai Musim Raya Ini

Tatkala kebanyakan daripada kita bersiap sedia untuk kembali bekerja Isnin ini, majoriti frontliners pula rata-ratanya meluahkan rasa bimbang terhadap keputusan kerajaan melonggarkan Perintah Kawalan Pergerakan yang berkuatkuasa sejak 18 Mac lalu.

Salah satu hantaran Facebook yang ditulis Dr Ahmad Samhan (klik) ini mendapat reaksi tertinggi dengan hampir 4,000 likes dan 2,500 perkongsian. Beliau merupakan salah satu frontliner perubatan negara dari Jabatan Kecemasan & Trauma, Hospital Kuala Lumpur.

Kebanyakannya bersetuju dengan perkiraan dan ramalan beliau tentang bahaya PKPB ini jika tidak mendapat kerjasama sepatutnya daripada rakyat Malaysia.

Nampak gaya ramai akan beraya di hospital.

Kita boleh lihat angka kes baru sudah seminggu lebih berada di angka 2 digit.

Ini adalah kesan daripada PKP fasa satu hingga tiga.

Bila lebih ramai duduk rumah berbanding bilangan keluar rumah,lengkungan semakin landai. Daripada kajian dibuat, purata bilangan kontak kurang dari seorang dalam sehari.

Jadi jika 4 Mei ini PKPB dilaksanakan apakah jangkaan yang akan berlaku? Simulasi yang dibuat oleh Team Prediction COVID-19 UTM menjangkakan 3 kemungkinan:

  • Purata bilangan kontak 1 hingga 3 orang sehari

Wabak akan semakin turun tetapi jauh lebih lambat dari jangkaan. Mungkin lebih 3 bulan.

  • Purata bilangan kontak lebih 5 orang

Wabak akan berterusan dan bilangan kes aktif akan meningkat kepada 1700+- sehari. Sukar untuk turun untuk beberapa bulan tetapi masih terkawal.

  • Purata bilangan kontak lebih 7 orang

Kes aktif akan naik mendadak dan kita akan menghadapi satu lagi gelombang besar!

Jadi bila semua sektor dibuka serentak, berapa jangkaan purata kontak bagi setiap hari? Sudah bersediakah rakyat Malaysia untuk kawal berjumpa orang tak lebih 3 orang sehari? Satu ofis mesti lebih 3 orang kan?

Bila kesan akan dapat dilihat? Dalam 2 hingga 3 minggu. Maksudnya masa raya!

Mereka yang terdedah akan mula dapat gejala 14 hari dari tarikh 4 Mei.

Kalau kena kuarantin di rumah masih boleh diterima. Kalau kena isolasi di hospital? Jawabnya berayalah di hospital. Tiada pelawat dibenarkan masuk. Beraya seorang diri. Sedih!

Kita sudah berusaha selama 6 minggu, kenapa nak hentikan secara mendadak? Benar PKP perlu ditamatkan tapi perlu dihentikan secara berperingkat bukan mendadak.

Nak landing kapal terbang pun perlahan-lahan. Kalau tak, semua penumpang akan rasa gegarannya. Betul tak?

Mulakan dengan sektor ekonomi secara berperingkat. Buat persiapan. Majikan perlu buat persiapan, pekerja perlu buat persiapan. KKM lebih lagi perlu buat persiapan.

Kempen habis-habisan norma baru yang sebenar supaya semua faham dan dapat praktikkan.

Tanggungjawab kerajaan memastikan rakyat faham dan bersedia. Rakyat kena patuh SOP yang ditetapkan.

Ingat, rakyat memainkan peranan besar demi memastikan keberlangsungan wabak ini. Rakyat adalah hero negara!

Dr Ahmad Samhan (2/5/2020)

 

Luahan ini turut disokong oleh rakan Dr Ahmad Samhan iaitu Cikgu Mohd Fadli Salleh (klik). Tersentuh rasanya hati saat beliau menyatakan disiplin kita mula hilang sedikit demi sedikit walhal hakikatnya kita masih belum menang (menentang COVID-19).

Kredit: Dr Ahmad Samhan & Mohd Fadli Salleh

Share
Published by
Norzalina