Ke mana tumpahnya kuah kalau tidak ke nasi! Itu perumpamaan tepat bagi menggambarkan minat anak Diva Indonesia, Krisdayanti. Mewarisi bakat nyanyian daripada ibu tersayang, Ariannha Amora Lemos atau mesra dengan panggilan Amora Lemos kini turut mengikut jejak langkah Krisdayanti sebagai penyanyi.
Baru menginjak usia 11 tahun pada September lalu, Amora cukup bertuah kerana minatnya disokong keluarga tersayang. Malah Krisdayanti menerusi media sosial turut berkongsi suasana ketika majlis pelancaran single anaknya.
“Hari ini (12 Disember 2022) mendampingi Amora Lemos menjadi artis penyanyi masa depan, bersama Lulu Lala Indo dan Sony Music Indonesia.
Terima kasih atas hadirnya. Semua teman media. Terima kasih keluarga Sony Music Indonesia atas pelukan hangatnya untuk Amora.”
Difahamkan single Amora tersebut berjudul Buku Mimpiku yang mula disiarkan kepada umum pada 9 Disember lepas.
Menjengah ke ruangan komen, rata-rata peminat mengucapkan tahniah atas kejayaan tersebut di samping mengakui bakat gadis ini yang memiliki suara merdu.
Bakat seni Amora turut diasah apabila dia turut menjadi suara latar untuk video cerita, The Lady In The Veil.
Untung Amora diberi peluang mencungkil bakat dalam bidang seni pada usia muda. Semoga Amora dapat menjadi bintang terkenal seperti ibunya pada masa depan.
Krisdayanti mendirikan rumah tangga dengan Raul Lemos pada 20 Mac 2011 dan hasil perkongsian hidup mereka dikurniakan Amora Lemos dan seorang anak lelaki iaitu Kellen Alexander Lemos.
“Kuman Sudah Merebak Ke Seluruh Badan, Jantung Boleh Berhenti Bila-Bila Masa” Pengurus ROHANA JALIL
April lalu penyanyi popular era 80an yang juga juara Bintang RTM 1980, Rohana Jalil dilaporkan kritikal dan dimasukkan ke unit Rawatan Rapi (ICU) akibat kebocoran usus.
Terkini, keadaan kesihatannya dilaporkan terlalu lemah dan masih memerlukan pemantauan pakar. Rohana sedang menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz (HCTM) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Selangor sejak April lalu.
Memetik perkongsian Mstar, pengurusnya yang mahu dikenali sebagai Jepun memaklumkan Rohana atau nama sebenarnya Dara Abdul Jalil yang kini berusia 68 tahun berada dalam keadaan stabil namun keadaan tubuhnya dilaporkan terlalu lemah.
“Keadaan dia sangat lemah tetapi masih stabil. Kebocoran usus yang dialaminya masih belum sembuh lagi.
“Sekarang ini doktor tidak boleh buat apa-apa kerana keadaannya terlalu lemah dan kalau nak buat prosedur rawatan seterusnya pun agak susah.
“Rohana tak boleh makan atau minum. Hanya bergantung kepada antibiotik untuk sembuhkan usus yang bocor itu,” katanya.
Dalam pada itu, Jepun mendedahkan Rohana tidak lagi menerima rawatan di unit Rawatan Rapi (ICU) kerana penggunaan mesin rawatan sudah tidak mampu merawat Rohana.
Tambah Jepun, kuman akibat kebocoran usus itu telah merebak ke beberapa organ utama seperti paru-paru dan buah pinggang.
“Dia sudah tidak boleh dirawat di ICU kerana penggunaan mesin-mesin rawatan semuanya tidak lagi memberi kesan terhadapnya.
“Disebabkan usus telah bocor, kuman-kuman semua telah menyerang ke organ-organ seperti paru-paru dan buah pinggang.
“Apabila kuman dah merebak ke organ utama, doktor berkata ada potensi untuk jantungnya berhenti pada bila-bila masa kerana dia pun sudah tidak kuat untuk melawan penyakitnya itu,” ujarnya yang turut mendedahkan punca sebenar masalah kesihatan yang dialami penyanyi lagu Rayuanku itu adalah kerana pernah menjalani pembedahan bariatrik dua tahun lalu bagi merawat masalah gastrik.
Rawatan itu dibuat susulan mendapat khidmat nasihat doktor, namun semuanya bertukar menjadi lebih rumit akibat kesan yang dialami pada usus.
Sementara itu, Jepun memberitahu sebelum ini pihak hospital menyarankan agar Rohana tidak menerima pelawat selain ahli keluarga bagi mengelakkan terkena jangkitan kuman.
Bagaimanapun, melihatkan keadaan Rohana yang semakin tenat, penyanyi itu dibenarkan untuk menerima pelawat.
“Kami memang menghadkan pelawat untuk datang menziarah Rohana atas nasihat doktor juga kerana bimbang dijangkiti kuman.
“Tapi melihatkan keadaannya sekarang, saya sudah mula meminta rakan-rakan baiknya untuk datang melawat.
“Cuma saya mohon maaf kerana tidak boleh beri izin semua datang melawat kerana terlalu ramai. Jadi, mana-mana rakan artis yang baik dengan Rohana, mereka boleh datang melawat,” katanya.
Majalah Nona juga ada di Telegram tau. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Jemput sertai sekarang –> https://t.me/majalahnona
Usah Terlalu Teruja, Kawal Nafsu Makan Sepanjang RAMADAN. Ini Cadangan Menu Sihat Untuk Berbuka & Sahur
Salam Ramadan buat semua yang beragama Islam. Sedia maklum, tahun ini kita sekali lagi menjalani ibadah puasa dalam norma baharu. Walau ada bazar Ramadan secara fizikal dan dapat bersolat tarawih berjemaah di masjid namun kita perlu mematuhi SOP yang telah ditetapkan
Sebut tentang bazar Ramadan, selalunya ia umpama ‘pesta’ menjual makanan. Begitu meriah dengan pelbagai jenis kuih-muih, lauk-pauk dan minuman manis. Apa pun bijaklah berbelanja, jangan lupa matlamat utama kita untuk beribadah. Kekalkan amalan pemakanan sihat sepanjang berpuasa.
Kenapa perlu makan secara sihat sepanjang bulan Ramadan? Ini adalah penting untuk mengelakkan beberapa masalah kesihatan seperti sembelit, makanan tidak hadam, kembung perut, kandungan gula rendah dalam darah dan sebagainya. Jika masalah ini berlaku boleh mengganggu tumpuan kita yang sedang berpuasa.
MAKAN SECARA SIHAT
Makan pelbagai jenis makanan secara sederhana dan seimbang walaupun di bulan puasa. Semua kumpulan makanan perlu diambil mengikut Piramid Makanan Malaysia iaitu nasi, roti, bijirin dan hasil bijirin, buah-buahan dan sayur-sayuran, ikan, ayam, daging dan kekacang, susu dan produk tenusu serta sedikit minyak, lemak, gula dan garam. Selain itu, ambil air secukupnya sama ada dalam bentuk minuman atau sup.
HIDANGAN SIHAT BERBUKA PUASA
Rata-rata gemar berbuka puasa dengan minuman dan kuih-muih manis. Bagi mengelakkan makan secara berlebihan, ambil makanan ringkas terlebih dulu ketika berbuka puasa. Ini juga mengelakkan ketidakselesaan sistem penghadaman. Mengikut sunnah, lebih afdal mengambil kurma sebagai makanan pertama ketika berbuka. Kurma kaya dengan tenaga dan serat.
Pengambilan makanan pedas dan berempah juga tidak digalakkan ketika berbuka puasa. Ini dikhuatiri menimbulkan ketidakselesaan perut di siang hari. Berikut contoh cadangan menu yang bagus diambil sepanjang Ramadan:
BERBUKA | 3 biji kurma, ½ cawan jus buah-buahan, 1 cawan sup sayur atau ½ cawan bubur lambuk dan 1 keping kuih. |
MAKAN MALAM | 1½ cawan nasi, 1 ketul ikan atau ayam, 1 cawan sayur campur dan 1 biji buah. |
MAKAN LEWAT MALAM (MOREH) | Snek ringkas seperti roti, biskut, sandwich, kuih-muih, kacang atau buah-buahan. |
SAHUR
Amalan bersahur penting semasa berpuasa bagi membekalkan tenaga sepanjang waktu berpuasa di siang hari. Sebaik-baiknya, waktu bersahur setengah jam sebelum waktu imsak. Bersahur awal atau sahur sebelum tidur tidak digalakkan.
Semasa bersahur digalakkan mengambil makanan berasaskan karbohidrat kompleks seperti nasi, roti atau oat. Pengambilan makanan tinggi serat seperti roti tinggi serat atau roti mil penuh serta oat pula dapat mengurangkan rasa lapar. Jangan lupa mengambil buah-buahan dan air yang mencukupi ketika bersahur.
Pengambilan minuman berkafein seperti teh atau kopi tidak digalakkan kerana boleh mengakibatkan kehilangan air dalam badan. Contoh makanan untuk sahur yang boleh diambil seperti berikut:
SAHUR | 1½ cawan nasi, 1 ekor ikan goreng, ½ cawan sup sayur campur dan tauhu, 1 biji pisang atau 3 biji kurma, 1 gelas air kosong dan 1 gelas susu rendah lemak Atau 1 cawan bijirin sarapan dengan ½ gelas susu rendah lemak dan kismis/hirisan pisang, 2 keping roti mil penuh dengan sedikit jem, 1 gelas jus oren dan 1 gelas air kosong |
Sumber: MyHEALTH Kementerian Kesihatan Malaysia
Bukan Sekadar Comel, Tapi Terungkai Mesej Di Sebalik Doa 4 Kanak-Kanak, “Merdekakan Kami Daripada Rasuah”
“Jika kami terpaksa berbuat jahat dan lakukan rasuah apabila besar nanti, harap tuhan jangan benarkan kami menjadi dewasa”
Itu antara doa yang disampaikan empat kanak-kanak cilik berlainan bangsa dan agama, ketika mereka memohon kepada tuhan masing-masing untuk dijauhkan dari dosa membuat rasuah dan kejahatan.
Ia merupakan sebahagian misi transformasi #NilaiMoralKarakterBangsa, dengan melancarkan empat video bertemakan ‘Merdekakan Kami Daripada Rasuah’.
Menurut Pengerusi Karangkraf, yang juga ketua inisiatif #RasuahBusters, Datuk Hussammuddin Yaacub, video-video berkenaan mengetengahkan Said Faleeq Mohd Fareez, Kimi Ng Yee Bin, Krishan Ganapathy and Dayna Leia Soliano Rozells sebagai anak-anak Malaysia yang mewakili perbezaan agama dan bangsa di negara ini.
“Rayuan anak-anak kecil dengan tulus memohon kepada Tuhan agar diri mereka dijauhkan daripada terlibat dengan najis rasuah dan mereka menyedari bahawa bahaya serta hukuman yang menanti akibat perbuatan keji tersebut amat besar dipaparkan dalam video empat bahasa itu.
Kesedaran yang ingin dipupuk melalui video itu bukan sekadar untuk menyambut ulang tahun kemerdekaan akan tetapi membawa erti supaya kemerdekaan itu perlu berterusan diisi dengan jiwa yang suci dan bebas daripada gejala rasuah,” katanya lagi.
Dalam video tersebut, Said Faleeq, yang dikenali sebagai ‘Amir’, melahirkan kehairanan mengapa orang dewasa sering mengingatkan golongan muda untuk mengamalkan nilai-nilai kehidupan yang baik, tetapi mereka sendiri tidak melakukannya.
“Amir tak fahamlah. Kenapa orang besar suruh kita jadi orang baik, rajin, jujur, tapi diorang sendiri tak buat. Ayah kata ada orang buat jahat, tak kena tangkap. Sebab dia upah orang sampai tak kena tangkap. Itukah rasuah?
“Amir takut, Amir taknak tipu, taknak mencuri, taknak jadi jahat bila besar nanti. Taknak masuk neraka. Ya Allah, jauhkan Amir dari rasuah. Aaminn,” doa si cilik itu lagi.
Mesej yang sama turut disampaikan oleh Kimi, Krishnan, dan Dayna Leia, dalam empat video berkenaan.
Hussamuddin dalam kenyataan itu menjelaskan, video yang menampilkan kanak-kanak itu walaupun santai tetapi memberi mesej yang jelas bahawa rasuah ditolak oleh semua agama.
“Rasuah juga merupakan sesuatu yang jijik dan anak-anak kita tidak mahu dibesarkan dengan najis rasuah, duit haram hasil rezeki yang kotor.
“Mereka adalah anak-anak kecil yang masih suci dan kita tidak patut membiarkan mereka dan masa depan mereka ditenggelami dunia rasuah kerana kita tidak menjalankan tanggungjawab pada hari ini.
“Saya berharap sebagai rakyat Malaysia yang berjiwa merdeka kita kongsikan video-video ini seluas-luasnya kerana kita inginkan anak-anak kita terdidik sejak kecil bahawa rasuah itu salah, hina dan perlu dijauhi,” katanya lagi.
Beliau berkata, karakter rasuah yang terbina sekian lama begitu sistemik dan kolektif menyebabkan cabaran menanganinya amat besar.
Justeru, Hussammuddin berkata, #RasuahBusters menyeru seluruh rakyat agar bangkit membina #MalaysiaTanpaRasuah dengan menghayati kembali semangat Rukun Negara dengan membebaskan diri dari penjajahan rasuah sebagai batu asasnya.
Tegasnya lagi, kestabilan dan demokrasi negara ini dengan sendirinya akan dapat dipulihkan jika setiap rakyat dan pemimpin kembali mengamalkan ajaran agama yang betul dan berusaha untuk hidup secara harmoni dalam kepelbagaian kaum dan agama di Malaysia.
Sumber: Astro Awani