Sejujurnya kisah gadis ini pernah membuat penulis bergenang air mata. Kagum betul dengan semangatnya, biar tak mudah namun Siti Nurhikmah Razlan, 22 tahun, melalui kehidupan ini dengan tenang dan senyuman.
I tak mampu nak adakan satu mata lagi you, tapi later i belajar jadi yang terbaik okay… @hikhokkkk
Ciapan di atas pernah tular sekitar hujung tahun lepas disamping beberapa foto selfie-nya. Seorang gadis muda bertudung ayu, Hikmah namanya, tersenyum manis dengan hanya sebelah mata kanan.
Kekuatan itu bagai memanggil penulis menjejaki akaun Hikmah di Instagram @hikmahrazlan. Bermula di situlah perkenalan kami, Hikmah yang kini masih menuntut jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Sistem Pejabat di Kuantan rupa-rupanya seorang yang mesra dan mudah didekati.
“Sebenarnya sejak lahir lagi memang asal dah macam ni. Ramai ingat (hilang satu penglihatan) sebab kemalangan tapi bukan. Mungkin itulah rezeki Allah untuk Umi dan Abah saya serta dugaan untuk mereka.
Sejak kecil lagi saya selalu tengok Umi bersusah payah dengan Abah cari rezeki, mereka juga sanggup bersusah ulang-alik ke hospital untuk bagi rawatan terbaik untuk saya,” cerita gadis dari Utara itu.
Tambahnya, “Umi saya, Puan Diana Hussain, tak penah penat nasihat kami supaya jadi manusia terbaik. Dia taknak anak-anak dikeji atau menjadi orang tak berguna, lebih-lebih lagi dengan keadaan saya yang istimewa ni.
Sejak berjauhan dengan Umi kerana menuntut ilmu, saya rindu sangat bihun goreng dia. Rindu nak jumpa Umi dan dengar bebelan manjanya, meriah sangat! Kebetulan hari ni adalah hari jadi Umi yang ke-44, jadi saya teringin nak ucapkan ‘happy birthday and I love you, Umi!’.
Doa saya supaya Umi selalu sihat, dapat tengok kejayaan anak-anak, dimurahkan rezeki dan dipanjangkan umur. Saya nak jadi macam Umi, seorang wanita yang kuat tapi penuh kasih sayang.
Saya juga selalu doa supaya Allah kembalikan semua yang Umi penah hilang dulu dia akan dapat balik satu hari nanti, insyaAllah.”
Kenangan paling sukar dilupakan tentang Umi? Soal penulis.
“Ada satu momen ni takkan saya lupakan sampai bila-bila. Masa tu saya dapat join satu brand ni dan telah diminta #OOTD dengan tudung tersebut.
Dengan perasaan teruja, saya pun dimekapkan oleh Umi. Umi cuba pakaikan eyeliner dekat sebelah mata saya yang takde ni, tapi nampak pelik sangat. Lepas tu tahu dia buat apa? Umi sapu buang balik eyeliner tu dan cakap dengan lembut, ‘Isy anak bertuah Umi ni’. Sampai sekarang kalau teringat momen tu, saya akan nangis sebab terlalu sebak.
Satu lagi bila saya nak exam, Umi selalu akan minta semua orang doakan kejayaan saya. Alhamdulilah, mungkin kerana doa Umi dan semua orang, saya mampu berada di sini sekarang.
Terapi Mekap
Dulu saya langsung tak pandai mekap. Saya cukup segan bila nak bersiap lawa-lawa. Takut orang cakap, ‘Budak tu dahlah macam tu, ada hati nak lawa-lawa.’ Jadi sebab kurang keyakinan diri, saya tekad belajar sendiri je.
Satu benda yang paling saya ingat, masa pertama kali belajar pakai kanta lekap. Sebelum ni saya takut sebab mata saya sebelah je, dan selalu tertanya-tanya boleh ke pakai sebelah mata? Punyalah curious sampai pegi tanya sorang akak di kedai cermin mata. Rupa-rupanya boleh.
Saya makin seronok bila dapat belajar mekap sikit-sikit walaupun yang ringkas. Ada sekali tu, Umi pakaikan eyeliner kat mata saya sebab saya fikir macam mana nak pakai sendiri kan? Kalau kita garis mata tentu kena tengok guna sebelah mata lagi.
Satu hari, saya try garis sendiri. Ya Allah, boleh sebenarnya! Kalau teringat perasaan saya masa tu, boleh menangis tau. Bukan sebab sedih, tapi sebab bangga dah boleh buat sendiri,” katanya sambil tertawa.
Positifkan Diri Sendiri
Sebagai wanita istimewa, Hikmah tentunya mempunyai cara tersendiri hingga jadi berani dan selamba ke tahap ini. Paling utama, dia boleh bergaul dengan semua pihak tanpa rasa segan, malah menginspirasikan pula orang lain.
“Saya rasa rugi kalau wujud perasaan down. Rasa membazir masa je nak sedih-sedih. Kalau dengar benda negatif, selalunya saya cakap dengan diri saya, jangan benci orang tu, boleh jadi kita pula jadi sumber kekuatan mereka satu hari nanti, atau sebaliknya.
Cukuplah saya selalu gembirakan orang lain walaupun dengan perkara yang ringkas. Itu pun dah buat saya jadi happy bila mudahkan orang lain. Saya juga harap masyarakat akan lebih terbuka dan beri peluang sama rata kepada golongan istimewa macam kami. Kita semua tak sempurna, bukankah Allah bagi ujian yang berbeza untuk hamba-hamba-Nya?”
Mengakhiri perbualan, Hikmah turut menyatakan penghargaan pada rakan-rakan sebayanya yang selalu ada dari dia kecil sampai dewasa. “Selain Abah dan ahli keluarga saya, terima kasih juga untuk kawan-kawan sebab tak pernah malu ada kawan ‘kurang sempurna’ macam saya. Terima kasih sebab selalu ada dan terima kasih sebab ‘tolong bangunkan’ saya bila down.”