Senyumannya mesra, bahasanya juga tersusun manis. Tetapi di sebalik kecantikan Maya Hejnowska, kepintaran gadis berusia 21 tahun itu yang mengagumkan juri sewaktu berlangsungnya pertandingan Ratu Unduk Ngadau Borderless di Pesta Kaamatan 2021.
Sambutan Pesta Kaamatan yang diraikan masyarakat Kadazandusun di Sabah, tahun ini berlangsung dalam suasana berbeza berikutan PKP yang berkuat kuasa. Walau bagaimanapun, aktiviti Unduk Ngadau tetap dianjurkan oleh Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam norma baharu.
Hanya pusingan akhir dimana si cantik Maya Hejnowska dimahkotakan sebagai ratu saja dipentaskan di Shangri-La Tanjung Aru Resort dengan pematuhan SOP yang ketat.
She is a beauty with brains. Kemenangan Maya menewaskan tujuh finalis yang berentap dalam acara tahunan ini jelas berasas apabila dia bijak menguruskan masa antara pelajaran di universiti dengan aktiviti Unduk Ngadau 2021.
Merupakan pelajar jurusan Muzik di Universiti Malaysia Sabah (UMS), gadis berketinggian 165cm itu tampil memukau dalam persalinan tradisi kaum Kadazan Penampang.
Kelebihan darah kacukan yang mengalir juga memberi kelebihan kepada anak kedua dari tiga beradik itu. Kulit putih bersih, berhidung mancung dan bertubuh langsing melengkapkan lagi pakej Maya sebagai seorang ratu.
Memang terpesona melihat kecantikan Maya tanpa mekap. Cantik betul wajahnya, baby face! Berkali-kali pandang pun tak jemu, boleh ‘girl crush’ dibuatnya.
PEPERIKSAAN
“Syukur rasanya sebab tersenarai dalam Top 21. Bila sudah tersenarai itu cabarannya bermula apabila saya ada tugasan dan peperiksaan peringkat universiti.
Walaupun saya belajar secara online, tapi para pensyarah banyak memberikan kami tugasan yang mesti disiapkan pada satu-satu masa. Pada waktu yang masa, saya terpaksa juga meluangkan banyak masa untuk persediaan diri untuk pertandingan ini, antaranya mempelajari tentang budaya dan tradisi orang Kadazandusun, mendalami bahasa, belajar cara berjalan, pertuturan, serta banyak lagi.
Saya bergelut juga menguruskan masa agar emosi tidak terganggu. Mujurlah semua berjalan lancar dan dinobat ratu pula,” katanya kepada Astro AWANI.
Kata Maya, dia berasa sangat yakin apabila mengenangkan ketabahan, sokongan dan restu ibu tersayang.
“Ibu saya seorang yang sangat cekal. Dia wanita hebat, mampu membesarkan saya dan adik-beradik yang lain tanpa pernah mengeluh. Semua dibuatnya dengan baik.
Jadi apabila saya berdiri di atas pentas dan nampak dia, saya rasa mahu menangis.” Maya Hejnowska
Kecekalan dan semangat itu nampaknya tidak sia-sia apabila peserta Unduk Ngadau mewakili Dewan Undangan Negeri (DUN) Api-Api, Maya Hejnowska dimahkota Ratu Unduk Ngadau peringkat negeri 2021.
Maya menewaskan 21 finalis sekaligus membawa pulang hadiah keseluruhan bernilai RM66,830.
Manakala, tempat kedua dimenangi oleh peserta mewakili DUN Paginatan, Dianarin Vahidin yang membawa pulang hadiah kemenangan berjumlah RM45,280; sementara tempat ketiga dimenangi oleh Febby Angelica yang mewakili DUN Kundasang yang membawa pulang hadiah keseluruhan RM32,980.
This website uses cookies.