Pelajar cemerlang kelahiran Kuching, Sarawak, Adriana Karim ini wajar dijadikan contoh dan inspirasi terutama di kalangan anak muda.
Mesra disapa sebagai Adriana, gadis berusia 20 tahun ini merupakan seorang pelajar cemerlang yang meraih 9A+ dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Adriana merupakan pelajar Kolej Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan dan penerima Biasiswa Program Pertukaran Pelajar Yayasan Sarawak.
Pada Disember 2022, Adriana memperoleh surat tawaran belajar ke University Cornell. Kemudian, pada 10 Januari 2023 lalu, dia medapat pula tawaran ke Oxford University! Seperti kita tahu, kedua-duanya universiti terbaik dunia.
Memetik perkongsian Adriana kepada TVS, dia bagaikan tidak percaya apabila diterima untuk meneruskan pengajian dalam jurusan Sains Bumi di kedua-dua universiti berprestij itu. Setakat ini, Adriana belum memutuskan untuk melanjutkan pengajian sama ada di Oxford atau Cornell.
“Sekarang apa yang perlu dilakukan ialah belajar bersungguh-sungguh untuk A-Level dan mengharapkan yang terbaik.”
Katanya, jika dia memilih untuk menyambung pengajian di Amerika Syarikat, dia akan mengambil jurusan Sains Bumi dan Atmosfera, Program Ijazah Sarjana Muda Sastera atau Sarjana Muda Sains dengan Kepekatan Geologi selama empat tahun.
“Jika saya memilih untuk pergi ke UK, jurusan ditawarkan adalah Sains Bumi, Sarjana Bersepadu Ijazah, selama empat tahun juga.”
Pada mulanya, Adriana yang merupakan pelajar biasiswa Shell Malaysia itu mendedahkan bahawa dia berminat untuk menyambung pengajian dalam jurusan kejuruteraan kimia.
“Namun, selepas setahun mempelajari subjek Matematik Lanjutan A-Level, saya telah mengambil mata pelajaran yang lebih diminati iaitu Marin Sains.
“Itulah saatnya saya mempelajari sebahagian kecil Sains Bumi yang memfokuskan pada Oseanografi.”
Adriana turut menasihati golongan muda agar tidak mudah berputus asa dalam mencapai impian dan sentiasa mempunyai masa untuk berehat walaupun dalam kesungguhan belajar.
“Akan ada banyak cabaran yang tidak berkesudahan sewaktu belajar. Semua ini adalah sebahagian daripada perkembangnan dan ia tidak semestinya akan menjadi satu perjalanan yang indah.
“Satu tip yang boleh saya kongsikan, sentiasa memberikan ganjaran apabila berjaya menyiapkan sesuatu tugasan. Selalunya, saya akan menghargai diri selepas seharian belajar dengan menonton cerita di Netflix terutamanya pada malam Sabtu,”
ujarnya.Setelah berjaya menamatkan pengajian, beliau akan kembali ke Sarawak untuk membantu memberi sumbangan kepada negeri kesayangannya.
“Walaupun kedengarannya agak klise, saya ingin membalas budi kepada komuniti setempat kerana seseorang itu tidak akan berjaya tanpa bantuan orang di sekelilingnya.”
Sumber: TVS
Majalah Nona ada juga di Telegram. Mudah nak akses artikel menarik dan video-video terkini di sini. Follow kamii sekarang di https://t.me/majalahnona
This website uses cookies.