Bukan calang-calang orang yang mampu pikul mandat, galas amanah sebagai anak sulung seperti Mila Jirin yang gigih cari rezeki untuk sara keluarga tercinta.
Mengakui jalan kehidupannya yang serba kekurangan sewaktu kecil, Mila Jirin yang kini menginjak usia 36 tahun bangkit membuktikan bakatnya sebagai juara program realiti Akademi Fantasia musim kelima (2007).
Sejak itu Mila melangkah terus melakar namanya sebagai penyanyi dan usahawan berjaya, malah hari ini, empayar Bizmilla Wedding Centre yang didirikan berdiri utuh sebaris gergasi bisnes lain di Malaysia.
Namun tak semuanya seindah yang dilihat. Bercerita hati ke hati kepada Nona di Bizmilla Garden Hall, Mila atau Noorsyarmilla Jirin tenang bercerita pengalaman hidupnya sebagai anak sulung.
“Saya datang dari keluarga yang susah. Lepas habis Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) umur 17 tahun saya sudah bekerja menyara dan bantu keluarga.
Saya menyaksikan mak ayah saya susahnya sampai tahap, kalau hujan turun, kami berlari-lari mencari bekas untuk menadah air yang masuk melalui atap bocor. Betapa daifnya kehidupan keluarga, tinggal pula dalam rumah yang hanya mempunyai 1 bilik,” cerita Mila.
ANAK SULUNG
Diminta berkongsi kenangan bersama ibu tersayang, jelas anak kelahiran Pulau Mutiara itu lagi, kenangan menaiki motosikal sewaktu kecil bersama syurganya itu menjadi kenangan yang cukup manis.
“Waktu itu, ibu mahu membawa saya ke hospital. Bayangkan, kami dua beranak terpaksa menaiki motor yang memakan masa sejam perjalanan dari rumah saya di kampung. Ketika itu, usia saya baru memasuki 15 tahun.
“Saya masih dapat membayangkan situasi ibu ketika itu kerana mahu memastikan saya selamat,” ceritanya.
Ibu kepada seorang cahaya mata lelaki, Mohd Arif Zikri itu tekad menjadikan kepayahan hidup yang dilaluinya dijadikan semangat untuk tetap berjuang demi menyara keluarga tercinta.
“Itulah yang menjadi sumber untuk saya mengejar cita-cita dan impian demi nak keluarkan keluarga saya daripada kesusahan. Alhamdulillah Allah rezekikan saya menjadi anak seni seawal usia 19 tahun, saya berhijrah ke Kuala Lumpur dan bawa mak ayah serta adik-adik.
Bermulalah episod menjadi ketua keluarga, di mana saya paksa mak ayah saya untuk tidak bekerja. Bila bercakap tentang menggalas amanah, ujian tu memang macam-macam tapi Alhamdulillah saya dapat atasi satu per satu.”
Selepas mendirikan rumah tangga dengan suami yang juga bekas pengurusnya, Ahmad Ailis Mohamed Mustapha pada November 2015, kehidupan Mila sekeluarga mula berubah.
Pada 2013, penubuhan Bizmilla telah menjadikan mereka muncul pelopor industri di bawah satu bumbung bagi majlis perkahwinan yang kini mempunyai rangkaian luas dalam industri berkenaan termasuk memiliki lapan dewan perkahwinan.
Artikel berkaitan: https://www.nona.my/kecil-kecil-cili-padi-dari-penyanyi-kini-mila-jirin-pemilik-majlis-kahwin-pelbagai-cabang-bisnes/
This website uses cookies.