Siapa yang tidak terkejut bila tiba-tiba saja diri anda dikaitkan sedang hangat bercinta dengan bekas suami orang! Itulah situasi yang dialami usahawan jelita, Datin Syahida Arifin ketika ini apabila gambar dan maklumat tentang dirinya ‘dicuri’ individu tidak bertanggungjawab di Instagram. Bukan sekali, tapi sudah beberapa kali pesalah siber tersebut menceroboh laman media sosial milik ibu kepada dua orang anak ini.
Berselindung di sebalik akaun palsu yang menggunakan nama Dato’ Hannah Fisha Abdullah… Datin Sya menjelaskan dia mula sedar tentang perkara tersebut hasil maklumat rakan-rakan pada tahun lalu. Meskipun laporan polis dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) telah dibuat… tapi hingga ke saat ini tiada tindakan susulan dilakukan agensi terlibat.
Kesannya, si pelaku menggunakan butiran Datin Sya berkali-kali tanpa rasa bersalah. “Saya tak tahu-menahu pun tentang hal ni sehinggalah satu hari, dalam tahun lepas… ada orang direct message (DM) saya. Kebanyakan yang maklumkan tu lelaki-lelaki Melayu ‘sado’ dan mereka minta saya tengok satu akaun Instagram ni yang dikatakan guna gambar saya untuk menyamar.
Bila diminta bukti, mereka hantar screenshot akaun palsu tersebut dan terkejut saya dibuatnya bila tengok semua gambar yang ada dalam akaun itu adalah gambar saya. Pandai pula tu letak nama yang dekat-dekat dengan nama betul saya. Start dari situ, makin ramai pula yang DM beritahu perkara sama termasuklah kenalan yang ada dalam friend list.
Yang peliknya, akaun Instagram saya tu private. Macam mana orang boleh sewenang-wenangnya ambil gambar saya? Bila difikirkan balik, mesti orang tu antara followers saya yang ada di Instagram,” terang Datin Sya yang mempunyai hampir 15 ribu followers.
Enggan dipergunakan selain bimbang si pelaku menggunakan maklumat dirinya ke arah yang tidak baik, Datin Sya segera buat laporan polis dan SKMM di Putrajaya. Malangnya, tiada maklum balas dari pihak terlibat sehingga kini. Kongsi Datin Sya, dia hanya mampu meminta bantuan rakan-rakan untuk membuat laporan kepada Instagram untuk removed akaun tersebut.
‘Kejayaan’ itu hanya bertahan beberapa bulan saja dan pada awal tahun ini Instagram Datin Sya kembali dihujani bermacam-macam DM. “Alhamdulillah, pihak Instagram memang beri kerjasama untuk delete akaun palsu tu. Tapi awal tahun saya dapat tahu, ada akaun baru pula. Kali ni dia buat akaun guna nama Dato’ Hannah Syahida.
Sakit hati dan takut itu memang ada. Sampai saya takut jugalah nak upload gambar. ‘Orang ni’ memang licik sebab dia akan blocked saya supaya saya tak tahu agenda dia! Paing menakutkan bila seorang perempuan mesej saya dan beritahu bekas suaminya tengah angau bercinta dengan orang bernama Dato’ Hannah yang dia ingatkan itu ialah saya.
Enam bulan jugalah bekas suaminya tu ditipu. Peliknya walau cuma berhubung dalam telefon dan tak pernah berjumpa pun, lelaki tu mudah terpedaya. Bila bekas isteri beritahu yang dia dah kena tipu… masih tak percaya. Sampai gambar curi saya tu dijadikan wallpaper handphone bekas suami tadi. Tak lama lepas tu, barulah lelaki tadi sedar.
Ada juga lelaki-lelaki lain yang DM cakap pemilik akaun palsu berkenaan mudah ramah dan tabur macam-macam janji dekat mereka. Apa yang saya perasan, target dia ialah lelaki bertubuh tegap. Saya sendiri pun tak tahulah apa motif dia dan siapa sebenarnya dia… lelaki ke atau perempuan.
Saya harap si pelaku kena tangkap dan perkara ini dapat diselesaikan segera sebelum sesuatu yang lebih buruk berlaku. Saya mahu masyarakat sedar tentang bahayanya perkara ini yang memang beri kesan kepada mangsa media sosial seperti saya. Tolong viralkan hal ini supaya golongan ini tak terus berleluasa membuat aktiviti haram mereka dengan berselindung di sebalik identiti orang lain.”