Gara-Gara Terlalu Aktif Bersukan, UYAINA ARSHAD Pernah Disahkan Menghidap Komplikasi Jantung Sampai Bergantung Dengan Ubat

Beberapa tahun lalu pengacara dan pelakon cantik berusia 30an, Uyaina Arshad pernah disahkan menghidap komplikasi jantung.

Bertitik tolak daripada itu, biarpun kini tahap kesihatannya di tahap yang baik namun Uyaina tidak lagi dibenarkan melakukan aktiviti lasak yang sememangnya menjadi minat Uyaina sebelum ini.

AKTIF SUKAN

“Saya seorang yang workaholic and enjoy working. Saya juga sukakan aktiviti berlari. Ketika di bangku sekolah saya memang aktif dalam aktiviti sukan seperti hoki, lompat tinggi, lompat jauh dan bola jaring.

Kalau di tempat kerja lama dulu, waktu masuk pejabat pukul 9 pagi. Tapi saya akan sampai awal pukul 7 pagi dan akan pergi berlari dulu di kawasan sekitarnya.

Selesai berlari saya akan membersihkan diri dan bersiap seperti biasa. Saya masuk ke pejabat dengan badan yang sangat segar dan cergas.

Pada Mac 2019 saya didiagnos sakit jantung. Menurut doktor yang merawat, ianya berlaku kerana jantung ‘dipaksa’ untuk bekerja secara berlebihan.

Kebetulan tahun lalu saya terlalu bekerja keras, rehat pun kurang. Namun selepas kesihatan semakin baik saya betul-betul menjaga kesihatan termasuk pemakanan. Selain itu, saya turut amalkan gaya hidup sihat, minum air putih dan melakukan senaman ringan.

NASIHAT

Sesiapa saja atau berapa pun usia kita tetap berisiko diserang penyakit. Rajin-rajinlah membuat check-up kerana kita tak tahu apa yang berlaku dalam badan. Kadang-kadang badan dah bagi signal tapi kita tak sedar atau buat-buat tak sedar.

Ingat, badan kita bukan mesin. Sampai masa ia perlukan rehat secukupnya. Mungkin ada yang beruntung kerana bebas penyakit walaupun dah berusia. Tapi saya pula mengalaminya sekarang, masih muda. Dalam masa yang sama harus bekerja.

Maka ekstra usaha diperlukan untuk menjaga kesihatan. Saya tak anggap ia satu halangan walaupun banyak aktiviti lasak yang saya dah tak boleh buat lagi.”

Kesimpulannya sakit tidak mengira usia, siapa, bila dan bagaimana ia terjadi. Oleh itu, hargai kesihatan kerana ia adalah harta paling berharga selagi kita diberikan nikmat untuk bernafas di muka bumi ini.

Uyaina merupakan Juara Puteri Muslimah Asia 2018 dan kini sedang komited mengembangkan kerjayanya di Indonesia. Semoga Uyaina kekal sihat seterusnya berjaya menggapai apa yang diimpikan.

Kredit Foto: Instagram Uyaina Arshad

Share
Published by
Ermi Shuzila Mohammad