Gara-Gara ‘Kacang Tanah’, Guru Vokal Tersingkir! SARAH ISMAIL Akhiri Pentas Pencarian Nona Superwoman

“Saya rasa terlampau kecil di sini sebenarnya… tapi saya berpura-pura saya ok.” Itu luahan peserta Pencarian Nona Superwoman, Sarah Ismail sejurus namanya diumumkan tersingkir di episod 5 program realiti tersebut. Dua episod berturut-turut menduduki tempat dua terendah sebelum ini, akhirnya perjalanan Sarah terhenti di episod kelima bertemakan Business Grooming.

Akui Sarah atau nama sebenarnya Maisarah Ismail, dia turut rasa kurang yakin dengan kemampuan diri memandangkan tidak mempunyai pengalaman luas dalam bidang bisnes kerana kerjayanya lebih kepada servis sebagai guru vokal.

Ditemu bual selepas sesi penyingkiran yang berlangsung di The Four Seasons Kuala Lumpur, underground singer yang juga graduan Music National Academy of Arts Culture and Heritage (ASWARA) ini memberitahu, “Saya tak expect

langsung (tersingkir). Saya rasa this is the task that I boleh berfikir. You see my business pun not into this kind of persoalan (tugasan/soalan juri).

Dari minggu ke minggu, I have no experience at all. Untuk study dalam satu ke dua bulan memang tak cukup. So tidak semestinya I gagal di sini, I gagal di luar. No.

Kalau I gagal, dah lama gagal. Tapi saya masih berdiri di sini dengan perniagaan yang saya sedia ada.”

Menjelaskan lebih lanjut, “Cuma kekuatan saya lebih kepada servis muzik dan saya lebih berfikiran jauh dalam bidang saya. InshaAllah, banyak sangat saya belajar. Walaupun ia di luar pemikiran saya, inshaAllah saya akan gunakan sebaik mungkin.”

Sementara itu ditanya siapa pesaing terdekat dalam pertandingan berkenaan, tanpa berselindung Sarah mendedahkan, “Of course yang dipuji oleh juri seperti Syu Ramli, Fasz Faozi… I rasa semua. I rasa terlampau kecil di sini sebenarnya tapi I berpura-pura I

ok. I manusia, ada keluarga.. keluarga I berharap dan suami juga always waiting for me. It’s ok doakan I kat luar.”

Dalam cabaran episod kali ini, peserta Pencarian Nona Superwoman diminta membuat ‘business grooming’ mengenai barang yang diterima daripada juri. Mereka perlu memikirkan bagaimana untuk menginovasikan produk yang diberi dalam tempoh lima tahun akan datang.

Yang pasti, daya kreativiti peserta terus diuji apatah lagi mereka hanya diberi masa lima minit untuk membuat pembentangan.

Tiga jenis barang yang disediakan ialah kelapa, kacang tanah dan batik. Sarah yang menerima barang berupa kacang tanah tidak berjaya memenangi hati para juri. Sekaligus menduduki tangga terendah di samping dua orang lagi peserta iaitu Ana Najia dan Fazs Faozi.

Program yang diperkasakan oleh USANITA ini menampilan Datin Adzliana Dato’ Sri Dr Hassan iaitu Ketua Pegawai Eksekutif USANITA Sdn Bhd sebagai juri tetap bersama pengacara terkenal, Awal Ashaari.

Menariknya dalam episod 5 kali ini, peserta berpeluang menimba ilmu bisnes daripada usahawan berjaya yang juga Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Chatime, Aliza Ali sebagai juri jemputan.

Pencarian Nona Superwoman julung kali diadakan khusus buat usahawan B40 dan M40 yang terkesan akibat pandemik Covid-19. Matlamat program ini bagi menyuntik inspirasi dan memberi peluang baharu kepada para peserta agar bangkit memajukan empayar perniagaan memandangkan setiap daripada peserta ini memiliki latar belakang bisnes yang berbeza.

Terus setia mengikuti perjuangan peserta Pencarian Nona Superwoman dalam usaha mereka menjadi ahli perniagaan berwibawa dan berkarisma.

Pencarian Nona Superwoman bersiaran setiap hari Rabu jam 9 malam di Astro Prima yang dibawakan secara ekslusif oleh Majalah Nona dan Nu Ideaktiv Sdn Bhd serta diperkasakan oleh USANITA. 

 

 

Share
Published by
Suzi