Gaya Hidup Mewah Pewaris SWAROVSKI, Gaun Kahwin Je Lebih USD1 Juta & Bertatah 500 Ribu Swarovski!

4424

Wow, terkedu bila dapat tahu betapa mewahnya gaya hidup pewaris empayar Swarovski ini! Mana tidaknya, Victoria Swarovski bukan hanya mampu memiliki pelbagai barang mewah dari hujung rambut ke hujung kaki. Bahkan majlis dan gaun perkahwinannya turut menjadi bualan dan tersenarai antara perkahwinan termahal di dunia setaraf perkahwinan diraja Putera William dan Kate Middleton!

Baru meniti usia 26 tahun, Victoria Swarovski merupakan penyanyi pop terkenal kelahiran Austria. Meskipun memegang status pewaris Swarovski namun sejak dari kecil wanita cantik ini sudah dididik untuk belajar berdikari. Pada awal pembabitan Victoria dalam industri muzik, dia cuma menggunakan nama gelaran ‘Victoria S’ hanya kerana mahu menyembunyikan status diri sebagai legasi jenama kristal mewah berkenaan.

IKLAN
IKLAN

“Kalau saya menggunakan nama (Swarovski), pasti mereka akan kata ‘Oh budak perempuan kaya itu, apa yang dia buat? Dia bukan berbakat pun.’ Ia akan menyukarkan lagi perjalanan seni saya dan sukar untuk saya tonjolkan kebolehan diri.

Ibu dan ayah saya banyak mengajar tentang bagaimana untuk menjalani kehidupan normal dan ada kewangan yang stabil. Mereka selalu mengingatkan bahawa apa yang dimiliki hari ini boleh hilang sekelip mata dan disebabkan itulah saya membina kerjaya sendiri,” ujar Victoria yang mula menandatangani kontrak bersama Sony Records ketika berusia 15 tahun dan merakam lagu The Chronicles of Narnia : The Voyage of the Dawn Treader dalam versi Bahasa Jerman.

Selepas berjaya bertapak kukuh dalam industri, pada tahun 2014 barulah Victoria berani tampil dengan nama keluarganya, Victoria Swarovski. Apa yang mengejutkan ialah lagu duet Victoria bersama penyanyi rap terkenal Jerman mendapat sambutan menggalakkan yang seterusnya menjadi kemuncak kerjaya Victoria hingga kini.

Selain menyanyi, anak perempuan Paul Swarovski dan Alexandra Swarovski ini juga sebenarnya seorang pengacara, penulis lirik, model dan pereka fesyen. Ibunya, Alexandra pernah menjadi model dan wartawan. Terbaru, Victoria dikenali sebagai hos bagi program hiburan popular, Let’s Dance. Hasil kerja kerasnya dalam bidang seni… Victoria pernah menerima anugerah Deutscher Fernsehpreis – Best Primetime Entertainment Show.

Victoria bersama adiknya, Paulina Swarovski (kiri)
Di samping ibu tersayang, Alexandra Swarovski

Kerap berkongsi momen percutian ke seluruh pelusuk dunia di media sosial, Victoria dilabel wanita yang bijak bergaya dan mempunyai cita rasa fesyen mewah. Jika diteliti beg tangan yang dijinjing… kebanyakannya dari jenama terkemuka, Hermes. Pelbagai saiz, warna dan bentuk beg tangan Hermes ada dalam simpanan Victoria. Begitu juga koleksi beg Chanel, Christian Dior dan sebagainya yang dimiliki wanita bertuah ini. Itu belum lagi aksesori cermin mata hitam, jam dan kasut yang dipakai!

Selain gemar berkunjung ke tempat percutian eksklusif dan menikmati percutian mewah di atas kapal, Victoria juga dilihat sering menaiki jet peribadi untuk ke satu-satu destinasi. Dia kerap meluangkan masa bersama adik perempuannya yang juga seorang model iaitu Paulina Swarovski.

Menyentuh kisah cinta Victoria, wanita kelahiran Austria ini akhirnya bertemu jodoh dengan jejaka pilihan yang juga seorang ejen hartanah, Werner Murz. Mereka berdua mula mengenali melalui persahabatan bapa masing-masing. Khabaranya hubungan istimewa yang terjalin di antara Victoria dan Werner sudah berlanjutan selama beberapa tahun sebelum mereka memutuskan untuk berkahwin pada tanggal 16 Jun 2017 di Trieste, Itali yang hanya dihadiri 250 orang tetamu.

Paling menarik perhatian dunia ialah perkahwinan mereka yang cukup eksklusif dan mewah. Gaun yang dipakai Victoria adalah ilham pereka terkenal Dubai iaitu Micheal Cinco yang pernah menghasilkan busana untuk selebriti antarabangsa seperti Jennifer Lopez, Beyonce, Rihanna, Naomi Campbell dan Lady Gaga.

Menurut Daily Mail, gaun perkahwinan Victoria sepanjang 8 meter dianggarkan mencecah nilai lebih USD 1 juta yang diperincikan dengan 500, 000 butir kristal Swarovski dan seberat 46 kilogram atau hanya 15 pound lebih ringan daripada berat badan Victoria ketika itu. Selain gaun, kasut yang dipakai iaitu Jimmy Choo turut mempunyai ukiran namanya. Harga minimun bagi sepasang kasut tinggi Jimmy Choo dianggarkan bermula dari USD2 ribu.

Pada malam perkahwinan pula, Victoria menyediakan tiga pasang gaun lagi. Salah satunya berwarna merah yang terletak cantik di tubuh rampingnya ketika majlis tari-menari. Sementara gaun putih tanpa lengan digayakan Victoria sewaktu upacara memotong kek perkahwinan berlangsung. Fuh, memang luar biasa mewah majlis perkahwinan Victoria Swarovski!

Victoria merupakan generasi kelima empayar Swarovski yang diasaskan oleh nenek moyangnya iaitu Daniel Swarovski pada tahun 1985. Masih berpaksikan kepada perniagaan keluarga turun-temurun, syarikat ini dilaporkan meraih pendapatan bernilai USD4.2 bilion pada tahun 2017.

 

 

Sumber: Hello Magazine, Business Insider & Money