Cukup suka dengan cara Cikgu Zack Kirana menyampaikan ilmu kepada masyarakat. Tak dinafikan, dia mempunyai strategi tersendiri memartabatkan Bahasa Melayu. Sekaligus menarik perhatian para pelajar menguasai bahasa kebangsaan.
Inisiatif Cikgu Zack Kirana atau nama sebenarnya Saliza Ibrahim menggunakan platform media sosial miliknya sebagai medium untuk memperbetul tatabahasa mahupun ejaan Bahasa Melayu wajar diberi pujian.
Apatah lagi, media sosial seperti Instagram, Facebook, Twitter dan Tik Tok sering menjadi rujukan generasi muda hari ini. Bukan hanya medium untuk berniaga dan berinteraksi secara alam maya tetapi juga menimba ilmu.
Terkenal dengan gaya ranggi, Cikgu Zack Kirana diketahui ramai sebagai guru selebriti yang mesra orangnya. Difahamkan dia mula menceburi bidang pendidikan kira-kira sembilan tahun lalu. Semuanya bermula kerana niat mendalam untuk menyampaikan ilmu kepada masyarakat khususnya dalam subjek Bahasa Melayu.
Bertugas sebagai guru di sebuah pusat tuisyen sejak tahun 2014, penglibatan Cikgu Zack sebagai pendidik bermula apabila dia diminta menggantikan rakannya yang mengambil cuti bersalin selama tiga bulan.
Sebelum menceburi kerjaya ini, Cikgu Zack yang mempunyai Ijazah Sarjana Pengajian Melayu dari Universiti Malaya pernah terlibat dalam industri radio namun terpaksa pulang ke kampung halaman menemani ibu selepas kematian ayah.
View this post on Instagram
Dia membantu ibu menguruskan perniagaan katering keluarga sehinggalah rakan baik memintanya jadi guru ganti selama tiga bulan di pusat tuisyen kerana cuti bersalin.
Sejak itu, minat Cikgu Zack terhadap bidang pendidikan semakin menebal dan tidak menyangka para pelajar menerima penampilannya yang lincah dan ranggi.
Jelas Cikgu Zack, dia selesa menjadi diri sendiri dan mengajar dengan cara sendiri yang berbeza daripada pembelajaran formal di sekolah. Katanya, ini antara pendekatan yang dilakukan untuk menarik minat pelajar berbilang bangsa mencintai Bahasa Melayu.
Baru-baru ini Cikgu Zack Kirana dmembuat laporan polis terhadap seorang individu yang didakwa cuba menjatuhkan maruahnya. Selain menghina dan mencercanya dengan kata-kata kesat di media sosial.
Terdahulu, Cikgu Zack Kirana menjadi tular selepas menegur kesalahan tatabahasa dalam lirik lagu popular, Casablanca.