Gegaran Suara, Jiwa ‘Kelate’ Di Washington, Pasangan Duta Besar Malaysia Ke AS Pupuk Persefahaman Dua Negara

Bayangkan persembahan wayang kulit dan tarian tradisional Pantai Timur dipuji warga asing… Liuk-lentok mempesonakan dan irama muzik Kelantan yang menggetarkan jiwa raih pujian sekaligus memupuk persefahaman dan hubungan antara dua negara.

Usaha pasangan Duta Besar Malaysia ke AS, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz dan Datin Seri Haflin Nazri Aziz dalam mengukuhkan hubungan Malaysia-Amerika Syarikat melalui acara unik ‘Cultural Diplomacy: Sounds and Soul of the East Coast’ menggamit perhatian.

Di tengah hiruk-pikuk Washington D.C, warisan seni dan budaya gemilang negeri Kelantan yang diiktiraf UNESCO mendapat tempat di sana. Antara yang dijemput diplomat, pegawai Kerajaan Persekutuan AS dan pakar industri pelancongan.

 

 

Program ‘Sounds and Soul of the East Coast’ yang berlangsung sepanjang 19 hingga 30 Oktober ini memperkenalkan serangkaian persembahan dan demonstrasi yang memukau.

Antaranya termasuk wayang kulit Kelantan yang menghidupkan legenda dan mitos, perubatan kerohanian Main Teri yang menenangkan jiwa, teater tradisional Mak Yong yang memukau, tarian Tari Inai yang mempesonakan dengan keindahannya, seni bela diri Silat Jawi yang menunjukkan kelebihan fizikal dan mental, serta persembahan muzik yang menghidupkan jiwa, Dikir Barat.

Persembahan dari wakil Akademi Seni, Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) diketuai Kamrulbahri Hussin yang diterbangkan khas dari Kuala Lumpur memukau setiap mata yang hadir di majlis yang gemilang itu.

 

Memetik sumber Astro Awani, acara ini berupaya memperkenalkan Malaysia di mata dunia menerusi seni budaya tradisi.

“Seni dan budaya berfungsi sebagai jambatan yang memupuk persefahaman dan hubungan antarabangsa.

Adat resam dan tradisi mempunyai kuasa tersendiri yang membolehkan kita mendalami intipati budaya yang berbeza, akhirnya membawa kepada pemahaman yang lebih baik tentang tentang sesuatu kaum dan negara.

Dan lebih penting kesenian dan kebudayaan juga mampu menjadi perantara diplomasi antara Malaysia dan negara lain seperti Amerika Syarikat.” Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz

 

 

Beliau percaya banyak lagi persembahan seni budaya tradisi dari Kelantan dan negeri lain di Malaysia sepatutnya mendapat pengiktirafan UNESCO supaya ia dapat dipelihara dan berguna untuk generasi akan datang.

‘Sounds and Soul of the East Coast’ adalah acara sulung dalam siri program diplomasi budaya yang akan diterajui oleh Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz sejak menggalas tugas sebagai Duta Besar Malaysia ke Amerika Syarikat.

Share
Published by
Norzalina