Terserlah rasa cinta wanita yang berjaya merangkul anugerah Pelakon Wanita Terbaik dalam kategori drama dan filem di Anugerah Bintang Popular selama 6 tahun berturut-turut ini, ketika di tebak dengan pertanyaan anak-anaknya. Menurut wanita yang mudah memberi komitmen ini, demi rasa cintanya terhadap dunia lakonan dan demi membesarkan anak-anak dia perlu menyusun jadual kerja dengan sebaik mungkin.
Sebagai wanita yang bergelar ibu tunggal tentu mempunyai cabaran yang tersendiri tetapi berbeza dengan Fasha Sandha yang sentiasa optimis terhadap masa depan anak-anaknya. “Saya sama sahaja seperti ibu lain, saya tidak pernah menganggap gelaran ibu tunggal itu sebagai satu cabaran. Pada pandangan saya menjadi ibu tunggal adalah anugerah istimewa yang diberikan oleh Allah SWT.
Saya pasti setiap wanita yang bergelar ibu tunggal mempunyai rasa yang sama seperti saya. Ini kerana walaupun penat macam mana sekali pun, ibu tunggal juga akan mendapat kasih sayang dan manja berganda daripada anak-anak tersayang. Ianya bukan cabaran, malah anugerah terindah,” tutur Fasha Sandha yang kembali solo hampir dua tahun lalu.
Bekerja tanpa mengira had masa dalam dunia lakonan bukan suatu perkara baharu. Setiap warga kerja produksi sedia maklum tentang tuntutan tugas sebagai pelakon dan krew produksi. Wajah keibuan wanita ini jelas terserlah apabila berbicara tentang dua cahaya matanya yang comel itu. ketika diajukan pertanyaan bagaimana menghabiskan masa dengan anak-anak, jawabnya, “Memang jadual kerja saya tidak mengira masa. Kadang-kadang hari cuti pun saya terpaksa bekerja.
Namun, sesibuk mana sekalipun saya akan meluangkan masa bersama anak-anak. Sekurang-kurangnya saya akan menonton televisyen bersama-sama atau mempunyai sedikit masa kami akan keluar menonton wayang. Ini merupakan aktiviti wajib yang dilakukan bersama. Saya juga sering mengharapkan waktu kerja saya tidak melampaui waktu tidur anak-anak kerana sudah menjadi kebiasaan saya untuk membaca bedtime stories sebelum mereka tidur.
Saya juga suka berbual dengan kedua anak-anak kerana mereka petah kala bercakap. Ada sahaja cerita menarik yang keluar daripada bibir kecil mereka. Paling menyedihkan sebagai seorang ibu apabila saya terpaksa keluar bekerja dan melihat anak kedua, Putri Raysha Jemyma menangis mahu mengikut keluar bekerja. Namun saya yang menggalas tugas sebagai ibu dan bapa mereka perlu kuat dan cekal untuk meneruskan perjuangan hidup.
Ramai juga yang bertanya tentang komen saya jika suatu hari nanti ditakdirkan anak-anak menceburi bidang seni. Jika ditanya kepada saya, saya lebih bersikap terbuka tentang hala tuju anak-anak namun ayah mereka Rizal Ashram Ramli, tidak membenar sama ada Putra Rayfal mahupun Putri Raysha Jemyma terlibat dalam bidang seni. Full stop,” ulas Fasha Sandha.
Perkembangan media sosial yang berlari tanpa batasan membuat ramai ibu bapa mengalami dilema dalam meletakkan syarat penggunaan gajet terutama anak-anak yang masih kecil. Ramai ibu bapa dilihat membiarkan anak-anak yang masih kecil bermain gajet sebagai langkah untuk ‘mendiamkan’ mereka. Fasha Sandha juga seorang ibu mempunyai pendapat yang berbeza.
“Anak-anak saya tidak ada media sosial, mereka membesar normal sebagai kanak-kanak biasa dan tidak pernah diajar tentang media sosial. Hanya saya yang akan berkongsi gambar mereka di laman Instagram saya sendiri. Hendak menyekat terus penggunaan gajet terhadap anak-anak mungkin tidak releven dengan kehidupan mereka sekarang tetapi saya mengehadkan penggunaan gajet terhadap anak-anak kerana bimbang tentang penyalahgunaan. Apabila anak-anak sudah ketagih gajet sukar untuk meleraikannya,” tutur Fasha Sandha.
This website uses cookies.