
Masakan Cina memang terkenal dengan aneka ramuan yang unik. Pendek kata, bahan-bahan yang digunakan dalam masakan jarang dipraktikkan untuk penyediaan juadah tradisi Melayu mahupun India.
Mengambil resipi Stir Fried Lotus Root, Honey Bean & Wolfberries dari Dynasty Restaurant di Renaissance Kuala Lumpur Hotel, ada banyak manfaat di sebalik resipi ini sebenarnya.
Jom, semak khasiat akar teratai, sengkuang Cina dan cendawan telinga kera berikut.
(a) Akar teratai
Mengandungi vitamin C untuk melindungi serangan jangkitan atau kanser, mengurangkan risiko serangan jantung, stres dan sakit kepala daripada kandungan vitamin B kompleks, mencegah sembelit di samping mengawal kadar kolesterol daripada khasiat serat dan melancarkan tekanan darah.
(b) Sengkuang Cina
Antara khasiat yang ada pada sengkuang cina adalah penawar bronkitis, menurunkan tekanan darah tinggi, mengurangkan selesema, batuk atau demam selain banyak digunakan di kalangan ibu hamil untuk mengelak bayi daripada terkena jangkitan jaundis.
(c) Cendawan telinga kera
Ia dapat merawat penyakit kardiovaskular iaitu memecahkan darah beku dalam jantung manusia di samping turut menurunkan tekanan darah, mengawal paras kolesterol dan membantu mengurangkan berat badan.
Resipi Stir Fried Lotus Root, Honey Bean & Wolfberries
Bahan-bahan utama:
- 113 gram kacang pis madu
- 113 gram akar teratai
- ½ sudu besar buah goji beri
- 4 biji sengkuang Cina (dikupas & dipotong separuh memanjang)
- 2 biji cendawan telinga kera
- ½ sudu makan bawang putih (dihiris halus)
Bahan-bahan perasa:
- ½ sudu teh garam
- ¼ sudu teh gula
Bahan-bahan untuk membuat sos:
- 4 sudu besar air
- 4 sudu besar jus abalone
- ¼ sudu teh garam
- ¼ sudu teh gula
- 1 sudu teh minyak bijan
- ½ sudu teh tepung jagung
Cara membuat:
Cuci dan bersihkan kacang pis. Kemudian, tos dan goreng sehingga empuk. Angkat dan ketepikan. Seterusnya, kupas kulit akar teratai dan dipotong bulat. Rendam buah goji beri dan cendawan telinga kera hingga lembut. Masukkan kedua-duanya dalam air mendidih. Bubuh ½ sudu teh garam dan masak seketika sebelum diangkat.
Sesudah itu, panaskan kuali berisi minyak dan goreng bawang putih dengan api perlahan sehingga naik bau. Masukkan akar teratai, cendawan telinga kera dan sengkuang Cina. Goreng semuanya.
Sementara menunggu bahan tadi masak, sediakan bahan membuat sos dengan mencampurkan jus abalone, air, minyak bijan, tepung jagung, garam dan gula secukupnya. Tuang ke dalam masakan sebelum diletakkan kacang pis dan buah goji beri. Kacau sebati dan hidangkan.
Resipi: TERIMA KASIH PENGURUS PERHUBUNGAN AWAM RENAISSANCE KUALA LUMPUR HOTEL, NOR AIZAN ABDUL HAMID
Hilangkan Stres Dengan Menikmati CREPE Istimewa Ini!

Pencuci mulut dalam bentuk crepe semakin mendapat tempat di hati rakyat Malaysia kerana ia mudah untuk dinikmati di samping filling yang telah dipelbagaikan. Bagi penggemar hidangan seperti lempeng nipis ini, ia bertambah menyelerakan apabila ramuan tambahan disertakan di dalamnya seperti hirisan strawberi, taburan cip coklat, hirisan pisang, krim dan sebagainya.
Terkini, penggemar hidangan pencuci mulut ini usah ketinggalan mengunjungi Marion Crepe, salah sebuah jenama yang begitu popular di Harajuku, Jepun. Membuka ruang perniagaannya di Plaza Mont Kiara, lebih 60 variasi filling boleh dipilih mengikut citarasa anda, sama ada manisan mahupun savory.
Umum sedia maklum akan ketelitian masyarakat Jepun dalam menghasilkan hidangan, Marion Crepes juga tidak terkecuali dari memberikan persembahan hidangan yang bukan sahaja menarik, tetapi memastikan kualiti bahan yang digunakan adalah pada tahap terbaik.
Menurut Ketua Pegawai Operasi Marion Crepes, Tsutomu Yumoto, Marion Crepes amat mementingkan kualiti bahan utama dalam penyediaan crepe yang enak. Dengan pilihan sebanyak 60 perasa asli dan unik yang ditawarkan, sudah pasti penggemar hidangan ini wajib berkunjung ke Marion Crepes untuk menikmati sendiri keenakan hidangan yang jenamanya telah 40 tahun berada di pasaran Jepun.
Pelanggan boleh memilih crepe berasaskan variasi buah-buahan seperti strawberi, pisang, aprikot, mangga, blueberi dan sebagainya. Di samping itu, lengkapkan crepe dengan topping yang terdiri daripada krim, sos karamel dan banyak lagi.
Jadi, usah berlengah lagi. Jika teringin hidangan yang menghilangkan stres, crepe boleh dijadikan pilihan.
Teroka Keunikan Masakan Thailand Cara Fizo Omar & Mawar Karim. Memang Terlajak Sedap!

Kalau anda pernah singgah ke restoran Fizo Mawar Kitchen di Seksyen 8, Bangi pasti terpikat selera dengan menu yang ada di sana. Mula beroperasi pada awal Januari tahun lepas, restoran ini mengetengahkan sajian dari Thailand dan Kelantan dengan harga yang cukup berpatutan.
Selain menggemari kuih tradisi Akok, Nona juga tertarik dengan penyediaan hidangan Miang Kam. Ringkas dan sedap. Sementara menu Tom Yam pula penuh dengan hidangan seafood segar. Jika tak berpeluang untuk ke sana lagi, apa kata cuba resipi yang dikongsikan Fizo ini.
Selamat mencuba!
MIANG KAM
Bahan-bahan sos miang kam:
- 8 gram bawang merah
- 5 gram bawang putih
- 60 gram halia
- 2.5 gram cili padi
- 1 batang serai
- 250 gram gula padi
- 4 keping gula kabung
- 17 gram garam
- 2.5 gram ajinamoto
- Air asam jawa
Bahan-bahan miang kam:
- 20 helai daun kaduk
- Halia
- Cili padi
- Lengkuas
- Limau nipis
- Bawang merah
- Kelapa parut (digoreng)
- Kacang tanah (dipanggang)
- Udang kering (dipotong halus)
Cara membuat:
Kisarkan semua bahan membuat sos kecuali gula dan air asam jawa. Masukkan semuanya ke dalam periuk sehingga mendidih. Seterusnya, masukkan gula bersama air asam jawa. Bubuh garam dan ajinamoto secukup rasa. Kacau hingga pekat dan sejukkan seketika. Hiris nipis cili padi, lengkuas, halia, limau nipis dan bawang merah. Panggang kacang tanah dan goreng kelapa parut hingga keperangan tanpa menggunakan minyak. Untuk menikmati miang kam, ambil daun kaduk dan letakkan bahan-bahan yang diperlukan ke atasnya. Kemudian, tuangkan sos yang telah siap dan digulung. Sedia untuk dinikmati.
TOM YAM
Bahan-bahan:
(untuk 4 orang makan)
- Pes tom yam
- 4 batang serai (ditumbuk)
- 4 biji tomato
- 2 inci lengkuas
- 3 helai daun limau
- 12 tangkai cili padi
- 4 ekor sotong
- 8 ekor udang
- 280 gram isi ayam
- 24 ekor lala
- 80 gram cendawan
- 3 biji bawang Holland
- Air limau
Cara membuat:
Masukkan air rebusan ayam dan udang yang telah direbus di dalam kuali. Seterusnya, masukkan pula serai, lengkuas, daun limau, cili padi, bawang dan cendawan. Kemudian, masukkan 6 senduk pes tom yam yang telah siap. Kacau hingga sebati dan mendidih. Selepas itu, masukkan sotong, udang, lala dan isi ayam. Akhir sekali, masukkan empat sudu air limau. Siap untuk dihidang.
Resipi: TERIMA KASIH FIZO OMAR, RESTORAN FIZO MAWAR KITCHEN, 7 & 9 JALAN 8/1 SEKSYEN 8, BANGI, SELANGOR
10 Hotel Sekitar Kuala Lumpur Jadi Pilihan IFTAR. Anda dah Cuba Ke?

Masuk hari ke 16 berpuasa, pasti ramai yang mencari alternatif untuk berbuka puasa. Pilihan berbuka puasa di hotel juga menjadi sebahagian gaya hidup untuk meraikan sahabat serta rakan perniagaan. NONA senaraikan 10 hotel yang boleh dijadikan pilihan untuk berbuka puasa. Selamat mencuba!
1.KONSEP JEMPUT MAKAN DI SUNWAY RESORT HOTEL & SPA
Sunway Resort Hotel & Spa’s buat julung kalinya mengetengahkan konsep Jemput Makan untuk bufet Ramadan tahun ini di The Resort Café. Setiap malam, para tetamu bakal disajikan dengan lebih 400 hidangan tradisi yang disediakan oleh Chef Mohamad Yatim Supaat, seorang Sous Chef Tournant The Resort Café yang mempunyai pengalaman di lebih 20 hotel terkemuka.
Sepanjang Ramadan, pelanggan bakal disajikan dengan hidangan secara bufet di bahagian dalam serta luar kafe dengan konsep bazaar-style stations serta masakan secara terbuka. Ia bermula dari 6 Mei hingga 4 Jun 2019, bermula jam 6.30 petang hingga 10.30 malam.
The Resort Café yang terletak di tingkat lobi Sunway Resort Hotel & Spa menawarkan bufet Ramadan pada harga RM188 nett dan RM98 untuk kanak-kanak berusia 6 hingga 12 tahun. Jika anda datang menikmati hidangan dari 6 hingga 9 Mei, pihak hotel memberikan 40 peratus diskaun untuk dewasa dan kanak-kanak.
Hubungi: +603 7495 2009
2.JALAN-JALAN BUFET RAMADAN SIME DARBY CONVENTION CENTRE
Sime Darby Convention Centre meraikan kedatangan Ramadan dengan menampilkan promosi Jalan-Jalan Ramadhan Buffet. Bersesuaian dengan tema kali ini, hidangan kali ini dihidangkan oleh Pastry Chef Mohd Nordin Bin Abdullah.
Hidangan bufet pula merangkumi menu istimewa seperti Udang Sambal Tumis Petai, Bubur Lambuk Berherba dan sebagainya. Terdapat juga 30 buah gerai yang menghidangkan pelbagai hidangan autentik seperti Sup Berempah, Laksam Kelantan, Masakan Kawah, Lidah Bakar dan sebagainya.
Tidak dilupakan minuman seperti teh tarik dan Nescafe tarik, sirap selasih, jambu asam boi, cincau, air jagung, air tebu, dan sebagainya. Lebih istimewa, harga yang ditawarkan amat berpatutan iaitu RM99++ setiap seorang manakala kanak-kanak dan warga emas boleh menikmati diskaun sebanyak 25 peratus. Bufet Ramadan ini boleh didapati dari 6 Mei hingga 2 Jun 2019.
Hubungi: 03-20893799
3.NOSTALGIA DESA DI THE MILL CAFÉ
Kedatangan Ramadan pastinya istimewa dan penuh dengan sajian menyelerakan. The Mill Café Grand Millenium Kuala Lumpur tidak terkecuali meraikan kedatangan Ramadan dengan mengetengahkan gaya hidangan kampung yang menggamit kenangan.
Bertemakan Nostalgia Desa dari 6 Mei hingga 4 Jun 2019, Executive Sous Chef Razali Idris dan barisan chef professional akan mengetengahkan hampir 230 hidangan tradisi setiap malam untuk dijamu oleh para pelanggan. Pada harga RM 158 nett setiap seorang, nikmati hidangan hebat seperti soto ayam, sotong masak hitam, ayam panggang sri gadeb, gulai daging salai, ayam masak madu dan sebagainya.
Selain itu, hidangan pemanis mulut seperti bubur pengat pisang, pulut hitam, bubur serawa durian dan tapai pulut menanti untuk dinikmati. Untuk pelanggan korporat, Grand Millenium Kuala Lumpur turut menyediakan hidangan bufet di Millenium Ballroom pada harga RM140 nett setiap seorang.
Hubungi: 03-2117 4888
4.SELERA KAMPUNGKU DI TAMU HOTEL & SUITES KUALA LUMPUR
Menjadi kebiasaan tatkala ketibaan Ramadan, pelbagai juadah kampung pastinya menjadi pilihan. Hotel Tamu & Suites yang terletak di Kampung Baru Kuala Lumpur tidak terkecuali meraikan kedatangan Ramadan dengan menyajikan hidangan berasaskan selera kampung untuk para pelanggan.
Hidangan secara bufet dari aras 27 hotel dengan pemandangan indah Kuala Lumpur pastinya menjanjikan suasana buka puasa yang dikenang dalam ingatan. Sebanyak 100 hidangan istimewa bakal disediakan setiap malam dan menjanjikan hidangan tradisi seperti rendang, aneka sambal, asam pedas, masak lemak gulai itik dan sebagainya.
Buka puasa pada harga RM109 nett untuk para pelanggan dan separuh harga untuk kanak-kanak dan warga emas. Suasana berbuka puasa pastinya berbeza dengan suasana di awan biru dan pemandangan Kuala Lumpur nan mempersona!
Hubungi: 603 2603 1999
5.IFTAR WARISAN KAMPUNG CARA MOVENPICK KLIA
Terletak di kawasan berhampiran Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur atau KLIA, pelanggan yang mempunyai urusan di sekitar kawasan ini usah bimbang untuk mencari lokasi untuk berbuka puasa kerana Movenpick KLIA menjanjikan hidangan yang istimewa untuk berbuka puasa.
Kali ini, Movenpick KLIA mengetengahkan konsep hidangan warisan kampung yang menggamit selera setiap pelanggan yang datang ke sini. Aneka hidangan berasaskan sambal seperti sambal tempoyak, sambal belacan, aneka ulam-ulaman menjadi pilihan untuk pembuka selera. Disajikan pula dengan aneka lauk pauk kampung dengan keenakan bagaikan disediakan di dapur sendiri.
Hidangan istimewa dari harga RM119 nett untuk setiap seorang dan separuh harga untuk kanak-kanak menjadi tarikan utama untuk berkunjung ke Movenpick KLIA dan menikmati hidangan istimewa yang disajikan!
Hubungi: 03-86618661 (sambungan 8728).
6.JOM MAKAN DI HILTON PETALING JAYA
Ramadan menjanjikan pelbagai keistimewaan yang tiada tandingannya. Tahun ini, Hilton Petaling Jaya menyajikan keindahan Ramadan bertemakan Jom Makan di mana ia mengetengahkan budaya masyarakat Malaysia yang sememangnya tidak dapat dipisahkan dari makanan. Hilton Petaling Jaya menampilkan lebih 350 menu sajian tradisional di retoran ikonik Paya Serai untuk para tetamu.
Malah, hampir 35 tahun menjadi pilihan untuk sajian istimewa yang enak di Paya Serai, pastinya ia bakal mengembalikan nostalgia. Hilton Petaling Jaya juga bekerjasama dengan FAMA untuk mempromosikan buah-buahan tempatan di dalam diet seharian terutamanya sepanjang bulan Ramadan. Nikmati buffet Ramadan dari 5 Jun hingga 7 Mei pada harga RM169 nett untuk dewasa dan RM89 nett untuk kanak-kanak. Dari 8 Mei hingga 1 Jun pula, buffet Ramadan berharga RM189 nett dan 99 nett untuk kanak-kanak. Manakala dari 2 hingga 4 Jun, buffet Ramadan pada harga RM169 nett untuk dewasa dan RM99 nett untuk kanak-kanak.
Nikmati hidangan istimewa termasuklah Bergedil Ayam Dan Kentang, Ikan Goreng Mamak, Daun Selon, Ulam Raja, Petai, Jering, Kerdas, Pucuk Pegaga, Jantung Pisang, Pucuk Gajus, Terung Telunjuk & Timun sebagainya.
Hubungi: 603 7955 9122
7.ICIP ICIP KAMPUNGKU DI EASTIN PETALING JAYA
Tidak lengkap menu Ramadan tanpa hidangan desa. Itulah nostalgia yang cuba dikembalikan oleh Eastin Hotel Petaling Jaya sempena kedatangan Ramadan kali ini. Bufet Ramadan Icip Icip Kampungku telah dipilih yang menjanjikan pelbagai hidangan tradisional untuk dinikmati ketika berbuka puasa.
Sememangnya hidangan tradisi Melayu tidak dapat dipisahkan apabila tibanya Ramadan. Siapa dapat menahan keenakan hidangan istimewa seperti aneka kari, gulai, masak lemak, ayam panggang, kambing golek dan sebagainya yang sentiasa menajdi buruan di meja buffet. Nikmati hidangan secara buffet pada harga RM115 nett untuk dewasa dan RM80 nett untuk kanak-kanak.
Hubungi: +60 3-7665 1111
8.SAJIAN IBUNDA BERJAYA TIMES SQUARE HOTEL
Ramadan yang bakal menjelang tiba disambut dengan penuh kesyukuran. Bulan ini masanya untuk keluarga dan rakan-rakan berkumpul bersama untuk menjamu selera. Bagi meraikan bulan yang penuh keberkatan ini, Berjaya Times Square Hotel, Kuala Lumpur menyajikan hidangan homecook, di mana mengingatkan resipi ibunda yang tiada tandingan untuk tetamu berbuka puasa di hotel ini.
Bagi menambah keceriaan di kala waktu berbuka puasa nanti, tetamu dihiburkan dengan persembahan Ghazal. Pelbagai menu terpilih bakal dihidangkan pada tetamu antaranya Nasi Kerabu, Paru-Paru Berlada, Pedal Hati Ayam Masak Cili, Tempeh, Acar Buah, Acar Rampai dan juga seleksi bufet antarabangsa.
Anda juga boleh memilih seleksi makanan dari gerai yang menggamit rasa seperti Kari Kepala Ikan Citarasa Bonda, Lempeng Pisang Kelapa Bidara, Pisang Goreng Keju Makmur, Aneka Sup Serantau, Rendang Daging Khatulistiwa, Popiah Basah Mahsyur, Kambing Golek Penawar Rindu, Nasi Lemak Lobster Tersohor, Otak-Otak Dibuai Rasa dan Sous Vide Burger Nusantara.
Tidak lengkap hidangan tanpa manisan. Antara seleksi buah-buahan segar, pilihan kuih-muih Melayu dan kek antaranya Mango Charlotte, Pandan Chiffon Cheese Cake, Chocolate Brownies dan lain-lain.
Bufet Ramadan bermula dari 8 Mei hingga 6 Jun dari jam 6.30 petang hingga 10.30 malam di tingkat 14. Pada minggu pertama 8-12 Mei dan minggu terakhir 29Mei-2Jun, harga untuk dewasa ialah RM48 nett. Sepanjang 13-28 Mei, harga untuk dewasa ialah RM128 manakala untuk kanak-kanak RM 58. Rebut harga early bird sekarang hanya RM98 nett untuk dewasa dan RM48 untuk kanak-kanak.
Hubungi:
03-2117 8000 (ext. 8133)
9.AYAM GOLEK ISTANA DI SOFITEL KUALA LUMPUR DAMANSARA
KETIKA menjejakkan kaki ke Restoran Kwee Zeen di Sofitel Kuala Lumpur Damansara, kesabaran seharian berpuasa sedikit tergugat apabila mata tertumpu pada deretan juadah berbuka yang disediakan dengan menarik sekali.
Melangkah sahaja masuk, Ayam Golek Istana yang tersergam indah seperti memanggil-manggil untuk disantap menambahkan lagi rasa tidak senang duduk menanti waktu berbuka puasa.
Hidangan itu istimewa kerana ia adalah resepi turun temurun oleh cef selebriti terkenal, Datuk Ismail Ahmad untuk Sofitel Kuala Lumpur Damansara. Cef Ismail turut menampilkan pelbagai hidangan Melayu klasik yang mengimbau memori seperti Ayam Masak Kicap Cuka, Gulai Semilang bersama Daging, Masak Lemak Nangka bersama Daging dan Udang Lemak Nenas.
Selain itu, lauk-pauk lain yang turut dihidangkan termasuk Ayam Percik Kelantan, Daging Salai Masak Lemak Cili Api, Asam Pedas Ikan Pari dan Telur Itik Masak Lemak Cili Api.
Cef selebriti itu turut menampilkan pelbagai jenis kerabu sebagai pembuka selera seperti Lawar Jantung, Rendang Pucuk Ubi, Kerabu Mangga Muda, Kerabu Taugeh dan Kerang serta Kerabu Daging Bakar.
Secara keseluruhannya, Sofitel Kuala Lumpur Damansara menyediakan lebih 180 hidangan termasuk makanan tradisi India, Cina, Jepun, Barat termasuk makanan laut segar.
Sebagai permulaan ketika berbuka puasa apa kata mulakan dengan pelbagai citarasa kuih-muih tradisional Melayu seperti Pulut Durian, Seri Muka, Ketayap atau pun boleh ke Live Station untuk mencuba Roti Bomb, Roti Canai, Roti John, Murtabak yang dimasak segar oleh cef… memang terangkat!
Bagi yang inginkan kelainan terdapat juga pilihan makanan di stesen untuk menu kegemaran masyarakat Cina dan India yang menunya adalah citarasa khas cef eksekutifnya sendiri.
03-2720 6688
10.BUKA PUASA HIDANGAN AUTENTIK MELAYU DI SUNWAY PUTRA HOTEL, KUALA LUMPUR
Masih tercari-cari lokasi berbuka puasa di tengah-tengah ibukota Kuala Lumpur? Jom nikmati hidangan istimewa yang disediakan oleh Eksekutif Chef Rossham Rosli dan team nya di Sunway Putra Hotel Kuala Lumpur. Nikmati hidangan enak dengan tema Dari Dapur Ummi dari 6 hingga 4 Jun 2019 di Coffee House, Tingkat 9, Hotel Sunway Putra. Antara hidangan yang disediakan termasuklah Kerabu Isi Kelapa Daun Selasih, Kerabu Inti Kelapa Pedas Kacang Botol and Pucuk Paku, Kerabu Kerisik Taugeh and Kacang Panjang, Kerabu Assam Limau Betik Muda & Kedondong and Kerabu Ayam Pedas. Selain itu, hidangan seperti ‘Ulam’, Rojak, Pasembor, Gado-gado turut tersedia. Pelbagai hidangan dalam bentuk stall dengan hidangan enak berasaskan Gulung-gulung rebus- rebus,bakar-bakar, celup-celup dan kukus-kukus.Pelbagai lauk pauk pastinya menarik selera anda termasuklah
ayam percik Seri Menanti, daging dendeng cili, kambing dalca mangga muda, ikan kembong asam rebus, ayam madu berempah, daging rendang Negeri Sembilan, udang masak lemak dengan belimbing buluh & bunga kantan, ikan tenggiri acar campur berempah, ayam masak kicap berempah, udang kalio dengan pucuk paku dan sebagainya.
Hubungi: 03-4040 9888.