Malam sudah larut, jarum jam juga sudah tiba ke angka 2. Terasa masa bergerak begitu perlahan walaupun dengkuran para penghuni rumah seperti saling bersahutan. Fatimah puas menukar posisi berbaring namun mata tetap sukar dipejamkan. Masalah yang dialami sejak dua minggu lepas ini benar-benar mengganggu fikirannya malah tumpuan terhadap keluarga dan kerjaya turut terjejas.
Mengalami masalah kecelaruan tidur dapat mempengaruhi kitaran tidur anda setiap malam. Banyak penyebab yang menjadi punca masalah ini sehinggakan tanpa disedari, membahayakan nyawa dan orang-orang di sekeliling anda. Masakan tidak, anda berisiko untuk terlibat dengan:-
- kemalangan jalan raya,
- prestasi kerjaya merudum,
- kecederaan di tempat kerja,
- menderita penyakit jantung, obesiti dan diabetes,
- masalah ingatan serta
- mood yang tidak menentu.
SIMPTOM
- Rasa mengantuk yang melampau pada waktu siang.
- Masalah untuk tidur atau tidur yang singkat.
- Berdengkur atau nafas tersekat semasa tidur.
- Dorongan untuk menggerakkan kaki selalu atau rasa tidak selesa di kaki pada waktu malam.
Terdapat dua peringkat tidur yang biasa kita lalui iaitu REM dan Non-REM. REM membawa maksud rapid eye movement dan ia sering dikaitkan dengan waktu bermimpi. Manakala baki masa sebanyak 75% lagi diluangkan untuk fasa Non-REM yang diwakili oleh tidur ringan (peringkat 1) sehingga tidur nyenyak (peringkat 4). Penghidap kecelaruan tidur pula tidak mengalami semua peringkat ini sehingga menjejaskan maksud ‘berehat’ yang sebenar.
Keperluan tidur berbeza daripada satu individu ke satu individu yang lain. Kanak-kanak contohnya, memerlukan waktu tidur sepanjang 16 jam, golongan remaja sepanjang 9 jam dan orang dewasa pula sekitar 7-8 jam. Sesetengah dewasa juga ada yang memerlukan masa tidur yang singkat dan ada pula yang lebih panjang. Bergantung pada keperluan serta tahap keletihan mereka pada siang hari.
INSOMNIA
Segelintir individu memang mengalami masalah tidur untuk sesekali tapi bagi yang mengalaminya hampir setiap malam berkemungkinan menderitai insomnia. Penghidap insomnia sukar untuk tidur beberapa jam sebelum tertidur, bahkan jika mereka terjaga susah pula untuk tidur semula. Punca insomnia dikenal pasti berasal daripada sikap gemar meminum kopi pada waktu petang atau malam, merokok, makan malam yang berat dan tidur pada waktu yang tidak menentu.
Insomnia boleh berlaku kepada wanita hamil, terutamanya sewaktu trimester pertama dan ketiga. Selain itu, wanita yang menopaus dan golongan lelaki atau wanita melebihi usia 65 tahun juga berisiko mengalaminya. Gangguan terhadap jam tubuh yang mengawal waktu tidur, produksi hormon dan fungsi tubuh juga boleh terjadi kepada pekerja syif atau mereka yang selalu berada dalam penerbangan.
PENYAKIT AKIBAT INSOMNIA
- Artritis
- Pedih ulu hati
- Penyakit kronik
- Asma
- COPD
- Kegagalan jantung (kerana masalah pernafasan)
- Penyakit tiroid
- Gangguan neurologi (strok, Alzheimer dan Parkinson
Kecelaruan tidur juga boleh hadir dalam masalah selain insomnia seperti apnea (nafas terhenti atau tersekat sewaktu berdengkur), dihantui sindrom kaki gelisah, narcolepsy (rasa mengantuk yang ekstrem sewaktu siang) dan berjalan dalam tidur. Langkah terbaik untuk mengatasi kecelaruan tidur sebegini ialah dengan berjumpa doktor dengan segera dan hadkan aktiviti anda sebelum waktu tidur. Jika ada ubat-ubatan yang dikenal pasti menjadi punca anda sukar melelapkan mata, berbincanglah dengan doktor anda untuk menukar rawatan tersebut dengan segera.ROSMAH IDAYU ABU SAMAH