Perkahwinan Datin Alyah bersama Maestro Muzik terkenal tanah air, Datuk Ramli MS bukan suatu rahsia lagi. Ramai yang mengusik Datin Alyah beruntung kerana suami boleh menjadi pengkritik tetapnya seumur hidup. “Memang ramai yang menelah saya sebegitu. Tetapi hakikatnya ketika kami di rumah saya menjalankan tanggungjawab sebagai seorang isteri dan Datuk Ramli melunaskan tanggungjawabnya sebagai seorang suami.
Di rumah kami masing-masing tidak pernah berbicara tentang kerja. Usai tugas Datuk sebagai pengkritik mana-mana program dia akan pulang ke rumah seperti biasa. Sebelum sampai ke rumah Datuk akan menelefon, apa menu masakan yang telah saya masak. Saya sayangkan rumah tangga dan kerjaya. Saya mahu memiliki kedua-duanya, jadi saya perlu bijak mengatur kehidupan. Benar kata orang ujian awal perkahwinan pasti ada kemanisan di akhirnya. Saya tidak mahu mempersia-siakan kebahagiaan yang dimiliki kini.
Saya juga tidak dapat lari jika orang bertanya tentang anak. Sebagai seorang isteri pasti mahu menjadi ibu sebaik sahaja Ijab dan Kabul, begitu juga saya. So far rezeki untuk menimang cahaya mata belum lagi. Namun, saya tidak pernah putus berdoa agar suatu hari nanti saya juga boleh bergelar seorang ibu.
Ramai yang menyarankan saya untuk membuat IVF setelah Dato’ Sri Siti Nurhaliza Taruddin membuat pengumuman, beliau mengandung melalui teknik tersebut. Secara jujurnya sebelum pengumuman Dato’ Sri Siti Nurhaliza itu lagi saya sudah bertanya-tanya dan mencari info tentang IVF ini. Tetapi, hasil kajian saya apabila membuat rawatan ini, pesakit dinasihatkan untuk mengurangkan sebarang aktiviti dan berehat di rumah sahaja. Saya tidak mampu berbuat begitu lantaran tugasan yang telah diaturkan sejak awal lagi. Doakan saya dipermudahkan untuk segera mendapat anak yang menjadi penyambung zuriat kami,” ucap Datin Alyah penuh kesungguhan dan kasih sayang.
Jadual Datin Alyah padat dengan aktiviti seni yang diperjuangkan sejak berusia 17 tahun lagi disusun dengan begitu rapi. Nyata percutian adalah salah satu caranya untuk merehatkan diri sebentar. “Saya akan sentiasa ‘mencuri’ masa untuk bercuti. Bercuti dapat merehatkan tubuh dan minda saya yang sentiasa sibuk dengan aktiviti seni.
Jika masa tidak begitu mengizinkan saya akan keluar bercuti dekat-dekat sahaja seperti Langkawi. Saya memang menikmati percutian pantai kerana panorama indah selain menghidu udara laut yang begitu mendamaikan. Jika saya mempunyai masa yang agak lama baharu saya merancang untuk bercuti ke luar negara.
Selain itu saya juga gemar menikmati pemandangan indah bangunan lama atau kota lama. Melihat seni bina yang dipertontonkan sangat menakjubkan dan menguja serta sering terfikir bagaimana orang dahulu melaksanakan tugas tanpa sebarang bantuan teknologi moden ketika itu. Hasil kerja mereka sangat teliti dan penuh keindahan.
Bukan itu sahaja saya kerap menghabiskan masa dengan bercuti di kawasan yang menerapkan konsep kampung dahulu kala. Salah satu tempat yang sering saya kunjungi adalah Keriang Hill, Kedah. Kawasan ini telah dibangunkan oleh Keriang Hill Resorts Sdn. Bhd. dan YAM Tunku Puteri Intan Safinaz Tuanku Abdul Halim Mu’adzam Shah selaku Pengerusi. Resort yang terletak di kaki Gunung Keriang itu mempunyai 15 pondok berkonsepkan rumah kampung dengan berlainan reka bentuk berlatarbelakangkan gunung batu kapur yang unik,” terdengar nada gembira di hujung suara Datin Alyah tatkala berbicara tentang percutiannya.