Kali terakhir penyanyi ini ke Kuala Lumpur adalah sekitar 2017 untuk menjayakan konsert Once In A Lifetime bertempat di Dewan Plenary, Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Akhirnya, selepas lima tahun, Marcell Siahaan kembali lagi mengubati kerinduan peminat menerusi konsert Marcell Dua Dekade Live In Kuala Lumpur yang diadakan di Zepp Kuala Lumpur, Jumaat lalu. Anak kelahiran Bandung, Indonesia ini memukau menerusi 20 buah lagu yang menjadi halwa telinga para peminat yang hadir menyaksikan persembahannya itu.
Kemunculan figura Marcell kali ini tampak begitu istimewa. Tidak perlu gimik pembukaan yang melampau, cukup hanya memerlukan figura dirinya berada tuntas di tengah panggung. Aura yang ada pada dirinya sudah cukup membuat para peminat yang memenuhi segenap ruangan Zepp Kuala Lumpur menyerap aura yang bakal dipersembahkan dengan melodi-melodi indah yang melekat di kalbu!
Deretan VIP dan selebriti tempatan dilihat memenuhi segenap ruangan Zepp Kuala Lumpur menyaksikan persembahan bertenaga penyanyi yang berusia 45 tahun ini.
Membuka panggung dengan lagu Ketika Kau Menyapa, gemersik suara Marcell mengundang sorakan para peminat yang turun menyanyikan bersama. Persembahan pembukaan bertenaga diteruskan dengan lagu-lagu popularnya termasuklah Sudahlah, Kau Bisa Ku Bisa, Jangan Pernah Berubah, Peri Cintaku, Perih dan Sesuka Hatimu.
Diiringi pemuzik hebat yang dibawa bersama dari Indonesia, susunan muzik yang mantap tatkala digandingan dengan vokal Marcell yang bertenaga memberikan satu persembahan yang membuai rasa di kalangan para peminat. Malah, tatkala Marcell mencendangkan lagu Peri Cintaku, ada di kalangan para penonton dibuai rasa yang mendalam apatah lagi apabila menghayati bait liriknya yang indah.
Konsert Marcell Dua Dekade yang dianjurkan oleh The Jay Events & Media ini benar-benar memberi vibes hebat Marcell dari segi lontaran vokal dan pemilihan lagu-lagu yang dipersembahkan buat para peminat.
Pada pandangan mata kasar, persembahan Marcell nampak sederhana tetapi tatkala ia diterjemahkan ke telinga, ternyata lontaran suaranya tampak mewah dan padat untuk dijadikan memori indah buat para penggemarnya yang turut sama mengalunkan nada-nada indah bait lirik lagunya. Ternyata 2,000 peminat yang menyaksikan konsert pada malam itu terbuai dalam alunan suara Marcell yang gemersik dan sekaligus meninggalkan memori yang indah!
Sempat berbicara dengan para penggemarnya, Marcell mengambil kesempatan mengucapkan terima kasih kepada para penggemarnya di Malaysia kerana sepanjang 20 tahun berkarier, Malaysia selalui mempunyai jatah terbesar buat dirinya.
“Cuma saya belum bisa berbahasa Melayu dengan baik,” ujarnya yang hadir di Kuala Lumpur ditemani isteri tersayang, Rima Melati Adams.
Penyanyi berusia 45 tahun ini terus membuai emosi para peminat dengan lagu Rozana yang diberi garapan segar selain lagu yang menjadi kegemaran ibu mentuanya, Puteri Remaja yang dipopularkan oleh Jasni pada tahun 1953.
Memasuki segmen seterusnya, lagu Takkan Terganti yang dirilis pada tahun 2011. Marcell sempat mendedikasikan segmen ini khusus untuk Adibah Noor.
“Saya ini sangat mengagumi Adibah Noor. Tidak kesampaian di sini, namun pasti Allah menjaganya di sana,” ujatnya sambil mendendangkan lagu berkenaan dengan penuh perasaan.
Apabila memasuki segmen seterusnya, para peminat mula bersorak gembira tatkala hit Hanya Memuji didendangkan oleh penyanyi ini. Walaupun dinyanyikan secara solo, tetapi lagu yang dinyanyikan bersama Shanty itu ternyata menjadi siulan baik di Malaysia mahupun Indonesia! Ternyata karya Melly Goeslaw pada tahun 2000 itu malar segar sehingga ke hari ini!
Penonton mula bangun dan berdansa saat Mau Di Bawa Ke Mana dan Hanya Memuji mengambil tempat sambil Marcell bijak membawa peminat mengimbas memori lagu hit tersebut!
Menutup persembahan dengan lagu Firasat, Semusim dan Mendendam, ternyata gemersik suara Marcell hadir dalam jiwa setiap penonton yang menyaksikan persembahan hebatnya di Zepp Kuala Lumpur minggu lalu. Semoga 20 tahun akan datang Marcell akan selalu ada untuk menghiburkan peminat di Malaysia!
This website uses cookies.