Terasa macam baru saja pelakon cantik, Fasha Sandha melahirkan anak ketiganya yang comel. Rupanya pejam celik bayi perempuan yang diberi nama Aisha Amaira binti Mohd Aidil sudah berusia dua bulan. Aisha yang membawa maksud Bahagia dan Cantik Selamanya ini telah dilahirkan pada 7 Ogos 2020.
Bagi yang mengikuti perkembangan Fasha Sandha pasti sudah tahu bahawa wanita ini pernah melalui pengalaman keguguran. Coret Fasha Sandha di media sosialnya, “Aisha adalah anak ke-5 ibu dan ayah tau. Lagi 2 anak ibu ayah dah dalam syurga Allah. Ibu pernah 2 kali keguguran sebelum dapat Aisha.
Tapi ibu dan ayah Aisha kuat, tak pernah putus asa dan tak putus doa. Al-Fatihah untuk kakak dan abang Aisha di syurga. Kepada ibu-ibu yang pernah melalui nasib yang sama dengan ibu ayah Aisha, jangan putus asa, Allah is the best planner,” tulis Fasha Sandha.
Ramai wanita yang beranggapan setelah memiliki anak, seorang ibu tidak perlu menjaga penampilan dan cukup hanya memikir tentang keselesaan. Lebih-lebih lagi apabila mempunyai anak yang masih kecil. Apabila diutarakan tentang persoalan adakah peningkatan usia atau mempunyai anak-anak yang masih kecil menjadi penghalang dalam berfesyen kepada wanita yang bijak bergaya ini, Fasha Sandha bersetuju dengan pandangan tersebut.
“Memang benar apabila memiliki anak-anak yang masih kecil masa kita agak terhad dalam bergaya. Namun, sebagai wanita kita tidak boleh terus meminggirkan soal penampilan ini, namun biarlah kena tempat dan masanya. Tak kan nak menghadiri majlis berprestij hadir dengan t-shirt dan jean sahaja, itu tidak menghormati majlis namanya. Kekangan dalam saya menjaga anak dengan keluarga adalah salah satu faktor tambahan pula saya tidak mempunyai pembantu untuk menguruskan anak-anak.
Saya turut melihat perkembangan fesyen sekarang semakin maju dan setaraf dengan antarabangsa. Ramai pereka fesyen tempatan juga dapat menghasilkan fesyen yang setanding dengan antarabangsa.
Saya sendiri seorang yang simple. Cukuplah jeans dan baby T untuk pakai harian. Saya percaya pada less is more. Cuma apabila saya bertugas dalam lakonan atau perlu menghadiri sebarang majlis berprestij, saya harus menggayakan macam-macam gaya fesyen.
Bagi saya bereksperimen dengan fesyen ini terpulang pada individu, ianya sangat subjektif. Saya tidak kisah apa saja yang dikatakan masyarakat atau netizen kerana saya akan buat apa yang selesa,” jelas Fasha Sandha menjadikan Fazura dan Scha AlYahya sebagai ikon fesyen di dalam serta Angelina Jolie dan Charlize Theron sebagai ikon fesyen di luar negara.