Tahniah buat anak selebriti, Nurul Najihah Kamarozaman yang berjaya tamat pengajian peringkat ijazah sarjana muda baru-baru ini.
Sejak tersebarnya foto-foto konvokesyen Najihah di media sosial, ramai peminat yang baru mengetahui pelakon veteran Kamarool Yusoff ini ada anak perempuan yang bukan saja cantik malah bijak dan berbakat.
Pelakon lelaki yang pernah membintangi filem Gila-Gila Remaja dan Rock Oo! tersebut dikenali dalam kalangan peminat seni tanah air dengan gelaran watak ‘Cik Man’ dan ‘trademark’ tersendiri.
Hadir meraikan hari bermakna anakanda tersayang di samping anak lelaki dan isteri di Majlis Konvokesyen ke-60 Universiti Sains Malaysia (USM) Pulau Pinang, Najihah ialah siswazah Ijazah Sarjana Muda Sains Kemasyarakatan.
Bersandarkan status anak selebriti, Najihah tidak terlepas tempias dunia glamor daripada peminat ayahnya yang mahu mengenali anak ‘Cik Man’ ini dengan lebih dekat.
Apatah lagi, kisah kejayaan Najihah melanjutkan pengajian sampai ke menara gading memang patur diberi perhatian buat generasi muda hari ini dan mencetus inspirasi.
Anggun berhijab dan berpenampilan sopan, Najihah yang berusia 24 tahun bukan saja berjaya menggenggam ijazah. Lebih membanggakan, dia juga menerima sijil latihan Kor Sukarelawan Siswa Siswi (SUKSIS)!
Kongsi Najihah di media sosial miliknya, “Selepas empat tahun akhirnya dapat juga sarung jubah konvo ungu ini. Alhamdulillah dua sijil dalam masa belajar iaitu Tauliah SUKSIS dan ijazah sarjana muda.”
Kagum semangat Najihah yang tidak hanya cemerlang dalam bidang akademik tetapi juga badan beruniform!
Dalam pada itu, pujian turut patut diberikan kepada kedua-dua ibu bapa Najihah kerana berjaya mendidik anak perempuan mereka sampai ke tahap ini. Tahniah!
Dari Berniaga Car Boot Sale, Usahawan Cantik Ini Dah Ada Butik & Produk Kosmetik Sendiri!
Tumpang bangga melihat kesenangan hidup yang diraih wanita muda ini dalam bidang perniagaan. Mana tidaknya, baru berusia 30 tahun Siti Nabilah Dol Bahrin atau lebih mesra disapa Kak Nab semakin maju mendaki puncak kerjaya. Bahkan dalam usia yang masih muda juga dia sudah mampu memiliki rumah besar, kereta mewah dan perniagaan yang semakin berkembang maju. Alhamdulillah.
Tidak menyangka keputusan berhenti kerja kerana mahu mengusahakan perniagaan sendiri membuka pintu rezeki yang luas buat dirinya dan keluarga, Kak Nab bagaimana pun enggan mendabik dada. Sebaliknya, lebih selesa menjadikan pencapaian tersebut sebagai pencetus semangat buat kaum wanita lain untuk berjaya dalam bidang perniagaan.
Dalam masa sama, anak kelahiran Alor Setar, Kedah ini tidak lupa berbagi rezeki dengan insan memerlukan. Baginya, tiada istilah tunggu duit banyak baru bersedekah kerana percaya rezeki lebih melimpah ruah apabila selalu ‘memberi’.
“Jujur saya katakan, saya bukanlah berasal dari keluarga kaya. Masuk dunia bisnes ini pun sebab minat. Minat dengan barang-barang yang cantik dan suka tengok orang nampak cantik dengan barang jualan saya. Terdetiknya mahu berniaga sekitar tahun 2014. Dengan modal RM500 dari kawan lelaki yang sekarang dah jadi suami, saya gigih jual tudung dekat Pasar Tani, Pasar Malam termasuk Car Boot Sale.
Sebelum ini saya pernah bekerja di sektor perbankan. Pagi kerja di bank, sebelah malam pula saya berniaga di pasar. Memang letih tapi puas. Alhamdulillah, saya sentiasa dapat support daripada keluarga dan kawan-kawan. Seronoknya berniaga sebab kita boleh rancang masa sendiri, tambahan pula bila dah ada anak. Sebab itu jugalah saya berhenti kerja dan serius berniaga.
Kira-kira dua tahun kumpul duit jualan tudung barulah saya mampu buka butik dengan kos RM15,000. Itulah detik awal pembukaan Nabella Butik! Dulu butik ini berkonsepkan vendor, tapi bila dah ada modal lebih.. barulah saya bawa masuk barang sendiri seperti baju, tudung, handbag, kasut dan macam-macam aksesori.
Bila dah dapat ramai customer dan orang mula kenal bisnes saya, saya cuba kembangkan perniagaan dalam bidang kosmetik pula. Produk pertama yang saya keluarkan di bawah jenama Averly Cosmetics ialah Beauty Oil,” telus content creator ‘Ohh Mudahnya Makeup By Kak Nab’ ini penuh semangat.
Biarpun tidak sampai dua tahun di pasaran, Averly Cosmetics sudah pun memiliki empat produk iaitu Beauty Oil, Foundation, Krim Jerawat dan Magic Gloss. Difahamkan sebelum Hari Raya, Kak Nab akan mengeluarkan produk terbaharu iaitu supplemen yang sesuai diamalkan untuk menurunkan berat badan. Sementara produk bengkung dan losen panas pula bakal dikeluarkan selepas Syawal nanti.
“Setelah puas mencari dan berbincang dengan suami, kami akhirnya sepakat memilih nama ‘Averly’ untuk rangkaian produk kosmetik kami. Nama ini diambil daripada perkataan Latin yang membawa maksud terus maju dan kami berpendapat nama tersebut sesuai untuk dikomersialkan.
Istimewanya Averly Cosmetics sebab kualiti yang setanding produk jenama mewah lain. Ia juga dihasilkan dengan menggunakan bahan-bahan premium dan walau dijual murah tapi sangat berbaloi. Sambutan yang diterima cukup memberangsangkan dan produk terlaris ialah foundation.”
Tujuh tahun membina legasi nyata bukan tempoh singkat. Sepanjang bergelar usahawan, pelbagai dugaan dialami Kak Nab termasuk mengalami kerugian RM20,000 akibat ditipu.
“Untung hasil jualan di butik, saya labur RM20,000 beli kain untuk koleksi raya. Waktu itu saya ambil khidmat orang tengah. Bila dapat sample, kain memang cantik dan kualiti pun ok. Sebaik saja kain sampai, saya terus hantar jahit tanpa periksa keadaan kain.
Tailor pula tak maklumkan apa-apa. Hampir 30 percent dah siap dan dihantar kepada saya untuk cuba, material kain tersebut mudah koyak dan pecah. Sudahnya, saya terpaksa juga bayar kos jahit dan buang semua kain sebab dah tak boleh pakai.”
Menjadikan Neelofa dan Vivy Yusof sebagai inspirasi dalam dunia perniagaan, ibu kepada dua cahaya mata ini memasang impian untuk memiliki wisma sendiri suatu hari nanti. Ditanya kenangan yang paling tidak dapat dilupakan selama tujuh tahun berniaga, isteri kepada Mohammad Ikhwan ini meluah rasa syukur kerana melalui perniagaan dia belajar erti kesusahan hidup.
“Sejak zaman universiti lagi saya dah mula berniaga kecil-kecilan. Saya jual barang-barang terpakai kepunyaan sendiri secara Door to Door. Ketuk pintu rumah orang untuk menjual sebab kawasan tersebut jauh dari kedai dan supermarket. Jadi, mereka dapatlah beli keperluan dengan mudah dan saya pula dapat jualan.
Sebenarnya sejak awal berniaga, untung yang saya dapat tak adalah banyak mana. Lebih kepada kepuasan dan bantu tampung perbelanjaan yang kurang. Sepanjang berniaga, kenangan paling tak boleh lupa masa saya pergi ke sebuah perkampungan di Bedong, Kedah. Waktu itu saya study di sana.
Niat untuk berniaga terus terkubur bila tengok keadaan penduduk yang hidup susah. Disebabkan modal saya pun tak tinggi dan waktu itu belum ada komitmen, saya beri je barang jualan kepada mereka. Kira macam buat community service. Mungkin sebab dah terbiasa, sampai sekarang pun saya masih buat perkara sama cuma tidaklah selalu sebab dah ada komitmen dan staf.”
Bersempena ketibaan Aidilfitri, Nabella Butik turut menghasilkan 30 koleksi baju raya eksklusif buat para pelanggan. “Tahun lepas kami tak dapat keluarkan baju raya sebab Covid-19. Tapi tahun ini kami keluarkan baju raya based on customer preference. Daripada pemerhatian saya, orang-orang di Kedah suka rekaan yang simple dan nampak eksklusif. Jadi untuk tahun ini, kami hasilkan 30 koleksi baju raya semuanya dan boleh di dapati di Nabella Butik.”
“Doakan Bumi Islam Kita” Kagum Semangat Raja Permaisuri Agong Pertahankan Al-Quds!
‘My name is Azizah. I’m from Malaysia & we stand with Palestine’.
Berani dan tegas, seperti begitulah ringkasnya pengenalan KDYMM Seri Paduka Baginda Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah ini bagi menyatakan solidariti terhadap isu kemanusiaan di Al-Quds.
Isu Palestin sekali lagi menyentuh jiwa rakyat Malaysia apabila rakyat di negara itu berterusan dianiaya musuh. Semakin hari, semakin remuk perasaan melihat nasib mereka, lebih-lebih lagi jika melibatkan golongan tua, wanita dan kanak-kanak.
Perkara tersebut juga menjadi perhatian pemimpin-pemimpin dunia termasuk Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong Tunku Hajah Azizah Maimunah kebelakangan ini.
Seperti rakyat jelata lain, hantaran Raja Permaisuri Agong di atas jelas memberikan semangat serta asas yang kukuh terhadap perjuangan rakyat Malaysia dalam mencari keamanan ummah. Isu di Palestin cukup besar kerana ia membabitkan kiblat pertama dan masjid ketiga paling suci bagi orang Muslim.
Meninjau akaun rasmi Raja Permaisuri Agong, @airtangan_tunkuazizah, kini hanya hantaran berkaitan Palestin dan beberapa video masakan saja yang kelihatan.
“Sama-samalah kita semua doakan untuk orang Islam di Palestin… Bumi Islam kita!” Raja Permaisuri Agong
TUNAI SOLAT HAJAT
Raja Permaisuri Agong juga turut berkongsi doa sambil mengajak seluruh umat Islam di negara ini menyertai solat hajat untuk Palestin yang berlangsung semalam.
Seri Paduka berdua turut berkenan menunaikan solat sunat hajat di Surau Utama Istana Negara pada jam 7.30 malam semalam bagi mendoakan keselamatan rakyat Palestin.
Solat sunat hajat itu dipimpin oleh Penolong Pegawai Agama Istana Negara Mohd Zuhairee Mohd Yatim dan disertai 40 anggota jemaah yang terdiri daripada pegawai serta petugas Istana Negara.
Solat sunat berkenaan, selepas solat Maghrib berjemaah, dilaksanakan mengikut garis panduan ketat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) termasuklah penjarakan fizikal serta pemakaian pelitup muka ketika solat.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah menitahkan masjid dan surau seluruh negara, serta rakyat di kediaman sendiri, untuk mengadakan solat sunat hajat dan doa selamat bagi memohon ihsan daripada Allah SWT untuk memelihara kesejahteraan rakyat Palestin.
Pendirian Malaysia, seperti titah Seri Paduka Baginda, akan sentiasa bersolidariti bersama Palestin ke arah mencapai aspirasi negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan garis sempadan pra-1967, dengan Baitulmaqdis sebagai ibu kota Palestin.
Takbir Allahuakbar! Allahuakbar! Allahuakbar!
Masuk 50-an, Pelukis Muslimah Amy Hashim Capai Impiannya Miliki Galeri Seni Sendiri
Perjalanan kerjaya seni pelukis cat minyak dan digital negara, Amy Hashim, sentiasa diatur kemas langkahnya. Meskipun sedikit lesu menjelang pandemik COVID-19, namun beliau tetap meneruskan niat membuka sebuah galeri seni di Bukit Damansara, baru-baru ini.
“Saya baru membuka Art Realm Gallery (ARG) yang terletak di Plaza Damansara, Jalan Medan Setia 1. Pembukaan ini selari dengan perkembangan dan kemajuan seni di galeri Amy Hashim Arts di Subang Jaya. Kebetulan suami pun dah bersara dan dia pun ingin menceburkan diri dengan lebih aktif.
ARG mempunyai tiga komponen utama iaitu ruang pameran dengan satu feature wall yang boleh berputar 360 darjah; art store yang menampilkan hasil-hasil karya seni yang diolah ke dalam bentuk skarf, alat tulis, pelitup muka, kalendar dan sebagainya; serta classroom untuk peserta kelas seni.
Alhamdulilah ARG berjaya dibina dalam masa kurang 40 hari, iaitu pada bulan Oktober dan November tahun lepas,” terang Amy Hashim panjang lebar. Selain ARG, ibu kepada tiga orang anak ini juga turut mengusahakan jenama AHA (Amy Hashim Arts) iaitu koleksi barangan seperti skarf daripada hasil karya seninya.
Amy Hashim atau pemilik nama penuh Amy Hashmida Hashim ini merupakan anak kelahiran Negeri Cik Siti Wan Kembang. Berusia 50-an, wanita hebat ini sering dijemput mengadakan pameran lukisannya di Amerika Syarikat.
Paling membanggakan, impian beliau untuk memiliki sebuah galeri seni seperti ARG pernah dikongsikan kepada Majalah Nona pada tahun 2017 (klik pautan) dan kini akhirnya tertunai pada tahun 2021.
Cabaran sewaktu PKP… “Kami akur dengan pelaksanaan PKP 2.0 bagi bersama-sama memutuskan rantaian COVID-19. Jadi kami ubah sikit cara buat pameran iaitu secara virtual art online. Hanya dengan menonton video di rumah, anda boleh ‘datang’ ke Art Realm Gallery dan melihat lukisan sebenar yang dipamerkan.”
“Sebagai pemilik galeri, saya harap dengan sokongan Kementerian dan agensi-agensi kerajaan seperti Balai Seni Lukis Negara dapat membantu karyawan tempatan menaik tarafkan Malaysia sebagai sebuah negara maju seni,” ujarnya.