Nama Aisyah Hijanah Azhari, 25 tahun, sekali lagi diperkatakan. Kali ini bukan sebagai pempengaruh dakwah, isteri, ibu atau usahawan fesyen, sebaliknya kisah kekuatan beliau rela dimadukan ketika sarat hamil menyentuh hati ramai wanita.
Berkat kerja keras, usaha Aisyah yang kini berusia 25 tahun pernah diberi pengiktirafan. Antaranya Certificate of Excellence menerusi kategori Young Entrepreneur In Islamic Business.
Ibu kepada Khadeeja dan Hassan Syarif itu juga seorang usahawan dan pengasas kepada butik dan jenama Hijanah. Beliau juga mengusahakan Hijanah Books, seorang yang berpendidikan malah cukup pandai membawa diri. Aisyah memiliki Sarjana dalam bidang Psikologi dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).
Mengimbau kenangan temu bual Hijabista bersama Aisyah sedikit waktu lalu, masih terngiang-ngiang katanya yang terpaksa struggle menggalas banyak tanggungjawab dalam satu masa.
Bergelar isteri pada usia yang muda iaitu 19 tahun, Aisyah mengakui tidak mudah namun segalanya akan jadi senang jika kita sandarkan sepenuhnya harapan pada Yang Maha Esa.
“Saya berkahwin awal di atas permintaan ibu. Sebenarnya cita-cita saya mahu menjadi doktor seperti arwah ayah. Namun, saya percaya apabila kita mengikut permintaan ibu, pasti Tuhan akan memberi yang lebih baik seperti yang terkandung dalam Surah An-Nur ayat 32.
Kadang kala ada juga perasaan ingin berseronok dengan teman-teman tetapi alhamdulillah, saya dikurniakan seorang suami yang sangat memahami dan tetap memberi keizinan untuk saya meluangkan masa bersama rakan-rakan.
Percayalah, aturanNya itu yang terbaik apabila kita redha dengan ketentuan Ilahi.” Aisyah
IBU BAPA
Walaupun masih muda, pembawaan dirinya yang matang membuatkan ramai yang tidak menyangka usia sebenarnya. Anak sulung daripada dua beradik itu ternyata ada kisah tersendiri yang menarik untuk dikongsikan bersama.
“Sebenarnya, ayah saya meninggal sewaktu saya masih kecil lagi. Ibu saya pula menghidap kanser tiroid sewaktu zaman belajarnya di luar negara. Jadi apabila dia melakukan pembedahan di sini, doktor secara tidak sengaja terputuskan urat suara ibu.
Semenjak daripada itulah saya yang menjadi ‘suara’ buat ibu memandangkan dia sudah tidak boleh bercakap. Kami duduk menumpang di rumah nenek dan tiada kenderaan untuk bergerak dan hanya menggunakan teksi sebagai pengangkutan untuk ke mana sahaja.”
Petah berbicara, isteri kepada Aliff Teega ini mengakui sememangnya suka melihat dan meniru aksi ustazah yang memberi ceramah di kaca televisyen sejak dari kecil lagi. Malah dia juga akan mengambil sejadah dan Al-Quran kemudian melakonkan semula di hadapan cermin di rumahnya.
Sememangnya bukan mudah menjadi terkenal kerana mudah terpalit kecaman orang ramai terutama sekali pengguna media sosial. Pernah rasa tertekan apabila video yang dimuat naik di laman Instagram disalah tafsir oleh netizen, namun Aisyah cepat bangkit daripada kesedihannya.
“Apabila dikecam, ia sangat susah kerana mereka di luar sana tidak tahu hal yang sebenar. Saya pernah juga menangis, rasa menyesal hingga mahu menutup akaun media sosial. Tetapi disebabkan belajar dalam bidang psikologi, ia membuatkan saya mudah untuk memahami perangai masyarakat dan keadaan sekeliling. Mereka mungkin tiada niat sebegitu untuk mengecam saya.
Saya juga akan memikirkan dari sudut sebagai seorang usahwan yang mana kita tidak perlu melayan perkara yang tidak penting dan hanya tertumpu pada matlamat dan anggap mereka memberi pemasaran percuma pada kita.
Seterusnya, saya akan fikirkan daripada sudut sebagai seorang manusia biasa. Tidak mengapalah, mungkin ini ujian daripada Tuhan. Mungkin Allah mahu diri kita ini ubah sesuatu dan sentiasa ingat padaNya dan kerana itulah Dia datangkan kesedihan ini,” jelas pelajar di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) ini.
Sumber: Hijabista