Tidak ramai lelaki yang terbuka untuk bercerita tentang kanser, apatah lagi melibatkan kanser prostat. Selepas diberi ‘peluang kedua’ sebaik bebas kanser prostat, Dato’ Sri Mohamed Nazir Razak tekad membantu orang lain lebih-lebih lagi kaum lelaki agar tidak malu berkongsi cerita seandainya menghidap kanser prostat.
Dari seorang lelaki yang sangat aktif bersukan dan terlalu kuat bekerja di zaman mudanya, Dato’ Sri Nazir juga menjelaskan ketidak seimbangan ini mungkin menjadi penyebab ‘hadirnya’ kanser dalam tubuh. Niat untuk membeli produk insurans akhirnya membawa kepada satu berita yang memeranjatkan beliau dan seluruh ahli keluarga, lebih-lebih lagi isteri tersayang, Dato’ Azlina Aziz.
“Dek kerana tertarik dengan satu produk insurans yang diperkenalkan, salah satu syarat yang perlu dilakukan adalah pemeriksaan keishatan. Jadi dari situ keputusan diterima menunjukkan paras bacaan sangat tinggi pada cancer marker.
Dari situ, doktor menyarakan agar saya melakukan ujian MRI (Magnetic Resonance Imaging) dan diketahui memang ada tumor pada prostat. Selepas itu, saya melalui ujian biopsi dan tumor yang dikesan adalah kanser yang agresif.
Mendengar perkataan kanser, tentunya saya sangat terkejut. Bersama isteri, saya bertemu doktor sekali lagi untuk mengesahkan keseluruhan ujian. Dua perkara yang dikatakan doktor; pengesahan kanser prostat dan sifat agresif kanser tersebut. Isteri terus menggenggam tangan saya seraya berkata “we will fight this”. Itu kata-katanya,” ujar beliau.
Memang benar, kanser prostat bukan penyakit yang mudah untuk diuar-uarkan. Dato’ Sri Nazir sendiri sukar menyampaikan berita ini kepada anak-anak, apatah lagi keluarga dan teman-teman. Hanya teman rapat diberitahu, itupun dengan syarat untuk menyimpan rahsia.
“Kanser prostat yang saya alami masih di stage 2. Alhamdulillah, pembedahan tersebut berjalan dengan lancar. Oleh kerana saya melalui pemeriksaan awal, kanser tersebut masih dalam keadaan terkawal dan terhad pada kawasan prostat. Jadi barah tersebut dapat dikeluarkan. Dalam masa beberapa bulan, saya pulih sepenuhnya,”katanya lagi.
Melihat tubuh ahli lembaga Tabung Amanah Kanser Urologi, di bawah naungan Fakulti Perubatan, Universiti Malaya ini, tentunya kanser mengubah gaya hidup beliau.
“Saya mengambil keputusan untuk berhenti merokok dan lebih kerap bersenam. Saya cuba mengambil makanan lebih berkhasiat dan mengurangkan makanan berlemak tinggi. Saya juga bersenam sekurang-kurangnya tiga kali seminggu, tidak kira di rumah ataupun di luar apabila bermain golf.
Kanser prostat ini sangat berbahaya kerana ia tidak mempunyai simptom. Saya hanya tahu kehadiran kanser ini apabila hendak membeli insurans. Bila sudah pulih sepenuhnya, saya rasa saya patut tolong orang lain terutamanya lelaki. Ada teman saya yang menghidap penyakit sama merahsiakannya daripada pengetahuan keluarga.
Saya bertuah diberi peluang kedua untuk hidup dan saya harap ramai lagi orang yang bertuah seperti saya. Kanser ini sangat mudah untuk dirawat jika dikesan awal. Kita perlu keluar dan bercakap mengenainya kerana jika dibandingkan di UK, mereka lebih terbuka berbicara tentang kanser prostat.”katanya.
Semoga dengan pendedahan ini, rakyat Malaysia dapat dididik dan disedarkan mengenai kanser prostat, risiko dan gejalanya. Untuk menonton video penuh temubual bersama Dato’ Sri Nazir Razak, anda boleh klik DISINI
Kredit foto peribadi: Instagram Dato’ Sri Nazir Razak
This website uses cookies.