Gigih Bisnes Meski Diuji Penyakit Kronik, Jururawat Ini Ligat Cari Pendapatan Sampingan!

“InsyaAllah, saya yakin tiba saatnya nanti saya akan sihat dan tersenyum dengan dugaan hidup yang saya hadapi,” jelas Nor Azura Baseri, 37 tahun. Mempunyai seorang cahaya mata berusia 6 tahun, Nur Adeleya Elfreda adalah kekuatan buat Nor Azura bangkit dan kuat menghadapi cabaran hidup.

Jangan sesekali kehilangan harapan kerana matahari akan terus menyinari kehidupan. Sentiasa mengumpul kekuatan melawan keperitan agar perjuangan hidupmu dapat dijadikan inspirasi buat wanita lain. Semoga keimanan dan kesabaran bersama mereka yang kuat.

“Saya menjual pelbagai koleksi pakaian wanita dan tudung. Tapi sejak dunia dilanda COVID-19, saya tidak lagi berniaga secara fizikal tetapi meneruskan jualan di media sosial. Pastinya saya bertanggungjawab mencari stok baru mengikut trend terkini untuk pelanggan kesayangan saya.

Namun tak dapat dinafikan, pendapatan berniaga online agak rendah berbanding berniaga di pasar. Mungkin kerana saya kurang mahir tentang teknik pemasaran secara online. Saya akan terus berusaha dan tidak akan berhenti untuk menuntut ilmu,” jelas Nor Azura.

Berkhidmat sepenuh masa sebagai seorang jururawat, Nor Azura mempunyai sijil kebidanan dan pada masa yang sama menghabiskan masa dengan berniaga kerana kecintaannya dalam dunia perniagaan.

“Saya mula menceburi dunia perniagaan ketika bekerja di sebuah kilang di Pulau Pinang, sekitar tahun 2004, sebelum menerima tawaran sebagai jururawat.

Ketika itu saya menjual kain pasang dan pakaian wanita kepada rakan staf lain bila ada masa terluang. Pada tahun 2008, saya terima tawaran sebagai jururawat dan terpaksa berhenti niaga seketika untuk memberi fokus kepada kursus kejururawatan.

Walaupun sekarang saya mempunyai pekerjaan tetap tetapi minat dalam bisnes tetap diteruskan. Bagi saya berniaga mempunyai cabaran tersendiri dan dengan pendapatan sampingan ini dapat juga membantu meringankan beban kewangan kami sekeluarga.”

Ketika rancak melaksanakan tugasan harian sebagai seorang jururawat dan berniaga, Nor Azura tidak terlepas dari ujian Allah SWT. “Pada tahun 2014, tahap kesihatan saya makin merosot. Pelbagai ikhtiar telah dibuat sehinggalah pada suatu hari, doktor telah mengesahkan saya mengidap penyakit pituitary tumor sebesar 4cm di bahagian otak.

Ketika itu, keadaan kesihatan dan emosi saya totally down. Alhamdulillah saya tidak keseorangan, suami dan keluarga sentiasa memberi sokongan moral. Fokus saya ketika itu hanya mahu dapatkan rawatan dan pulih sebaik mungkin.

Pada waktu itu, saya telah mempunyai sebuah butik pakaian EL ADELEYA BOUTIQUE. Tetapi disebabkan keadaan kesihatan yang tidak mengizinkan, butik tersebut hanya bertahan selama 6 bulan disebabkan halangan,” ujar Nor Azura.

Dalam meniti hari menghadapi dugaan Allah, Nor Azura tidak pernah berputus asa memperjuangkan kehidupannya.

“Alhamdulillah, berkat doa suami dan ahli keluarga saya bangkit dan berjaya menjaga kesihatan dengan baik. Saya berusaha untuk menjalani kehidupan seperti biasa, walaupun pada hakikatnya ketumbuhan tersebut masih tidak menunjukkan tanda-tanda positif sehinggalah sekarang dan semakin membesar.

Namun saya sentiasa kuatkan semangat dengan melakukan pelbagai aktiviti dan memberi tumpuan kepada perniagaan secara online. Bagi saya dugaan yang kita hadapi bukanlah alasan untuk terus kita jatuh, tetapi bagaimana kita cuba untuk bangun dan menghadapinya,” kata Nor Azura tegas dan percaya setiap penyakit itu pasti ada ubatnya.

Harapan dan impiannya, suatu hari nanti untuk mempunyai produk sendiri dan berjaya dalam dunia perniagaan. Semoga Nor Azura terus diberi kekuatan dan kesabaran dalam menghadapi dugaan yang dihadapi.

Share
Published by
KR