Gigih Buat Dua Tiga Kerja, Nur Ernawati Syukur Capai Rezeki 5 Angka Setiap Bulan.

Sebuah kejayaan itu bukanlah kebetulan. Harga untuk mencapai sebuah impian itu memerlukan kegigihan, kesungguhan, belajar dan belajar, pengorbanan dan rasa cinta yang mendalam. Nur Ernawati Mohd Nor, 34 tahun merupakan pengurus peribadi (Artist Management) kepada suami, aktor Zul Huzaimy. Beliau turut menguruskan kerjaya beberapa talent, stuntman dan pelakon muda lain. Tidak cukup dengan itu, wanita ini juga membantu perniagaan keluarganya dalam industri katering makanan.

Siapa sahaja boleh menjadi wanita yang kuat tetapi untuk terus bertahan dan percaya pada kemampuan diri itu, perlu disertakan dengan kesabaran dan kebijaksanaan. Nur Ernawati merupakan bekas penuntut Convent Kajang dan memiliki Ijazah Komunikasi Pengajian Media (Masscomm UiTM), Nur Ernawati mempunyai minat dalam bidang perniagaan yang mendalam untuk berjaya.


“Saya pernah berkhidmat di beberapa buah syarikat swasta sejurus selepas tamat pengajian. Saya juga menjalankan perniagaan fashion retail secara dalam talian (kecil-kecilan) dan akhirnya menyambung khidmat sebagai pengurus outlet bagi menyediakan katering hospital untuk para pesakit dan doktor di beberapa buah hospital swasta serta kerajaan.

Kemuncak kerjaya saya sekarang apabila berjaya mendapatkan sijil lulus MSQH (akreditasi audit hospital) dan kemudian menubuhkan syarikat pengurusan artis, selepas berkahwin dengan aktor Zul Huzaimy. Saya menjadi pengurus peribadinya dan membantu kerjaya artis baru yang lain,” jelas Nur Ernawati yang merupakan anak kedua daripada tiga adik-beradik perempuan kesemuanya.

Bagi Nur Ernawati, hidup kita ini jangan dibiarkan terlalu banyak ruang kosong, takut nanti terlalu banyak unsur negatif hadir. Hari-hari yang berlalu penuh dengan pelbagai aktiviti dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan. “Tanggungjawab saya setiap hari adalah membentangkan jadual klien selain mencari booking job baru untuk talent di bawah pengurusan saya. Segala urusan mengenai kontrak, projek, tour, sponsor, merchandise, pemasaran dan sebagainya termasuk sebagai representative yang berinteraksi dengan pihak ketiga diuruskan oleh saya sepenuhnya.

Dalam masa yang sama, saya sebagai pengurus syarikat katering bersama ibu tercinta terus menerima tempahan katering. Tugasan yang dipertanggungjawabkan kepada saya untuk memastikan segalanya berjalan mengikut perancangan dan pelanggan berpuas hati dengan tempahan yang dibuat.

Pada masa lapang, saya suka menyertai aktiviti kelab permotoran SPARK (NGO), seperti menghulurkan bantuan kewangan, makanan kepada pesakit di hospital dan membantu khairat kematian yang memerlukan. Aktiviti ini bagi menarik golongan muda belia untuk beriadah secara sihat tanpa terus terjebak dengan perlumbaan haram mahupun penyalahgunaan dadah. Setakat ini, aktiviti CSR kami sudah mencakupi seluruh Semenanjung serta Sabah dan Sarawak,” jelas Nur Ernawati yang mengakui aktiviti ini agak terhad sekarang.

GIGIH
Mengimbas kembali kegigihan berniaga, Nur Ernawati terus bercerita, “Sedari dari dulu saya sejenis yang suka mencabar diri saya untuk menceburi pelbagai bidang kerjaya. Sungguhpun aliran pengajian saya dalam bidang MassComm, namun minat yang sangat mendalam terhadap dunia perniagaan membuatkan saya belajar ‘from scratch’ tentang hospital catering/dietitic dan juga patient food services. Ternyata saya telah membuktikannya apabila memperoleh sijil akreditasi dan HACCP dalam bidang ini.

Pengalaman banyak mengajar saya untuk jadi lebih matang. Saya pernah berkhidmat di sebuah syarikat produksi tempatan dimiliki oleh Datuk Rosyam Nor di awal permulaan karier saya. Kemudian saya mendalami ilmu teknologi pengkomputeran dan selok-belok dunia perniagaan sepanjang bekerja dengan sebuah anak syarikat milik Touch Group Holdings yang dimiliki oleh YM Raja Dato’ Karib Shah Raja Shahruddin. Pengalaman kerjaya dalam pelbagai bidang inilah yang menjadi bekalan langsung melahirkan rasa untuk mengembangkan perniagaan kecil saya sendiri. Terkini, saya telah menjalankan perniagaan online fashion retail, selain daripada tumpuan sepenuhnya pada servis pengurusan suami dan talents di bawah pengurusan saya.

Pernah sekali saya terpaksa berniaga di konvensyen Singapura sewaktu anak pertama cuma baru berusia 6 bulan dan masih menyusu. Saya tidak boleh tinggalkan anak bersama pengasuh, sementara suami pula tidak dapat ikut serta ke Singapura disebabkan komitmen kerja di KL. Sambil menyusukan anak dan tidurkan anak di booth jualan itu, saya terpaksa lakukan urusan jual-beli sendirian kerana ketiadaan staf lain pada waktu itu. Ia merupakan pengalaman yang amat berharga dan merasakan pengorbanan yang saya sanggup lakukan ini, demi membuktikan bahawa anak kecil bukan halangan untuk saya serius berniaga,” jelas Nur Ernawati.

“Alhamdulilah, kalau dulu pada awal mula berniaga secara dalam talian saya cuma bermodalkan RM200 sahaja dan kemudian berkembang hingga menjadi ‘pop-up store’ di event besar serata tanah air. Manakala dalam perniagaan katering pula saya cuma mengambil gaji tetap setiap bulan dan ditambah pula dengan pendapatan servis pengurusan artis saya mampu capai 5 angka pendapatan bulanan. Syukur, alhamdulillah.

Sebagai seorang isteri dan juga ibu, saya harus bijak membahagikan masa secukupnya untuk keluarga memandangkan usia anak-anak masih kecil namun begitu saya bersyukur dikurniakan seorang suami yang sangat memahami dan kebanyakan kerja kami buat bersama-sama. Kami menolak sangkaan yang menyatakan suami isteri tidak boleh bekerjasama kerana dikhuatiri hubungan rumah tangga akan terjejas.

Ironinya, kami capai keserasian dengan kerjasama sehari-hari dan saya akui sikap timbang rasa itu sangat penting. Pengurusan masa untuk wanita yang bekerja adalah kunci utama kerana berbeza dengan lelaki, mereka tidak perlu melaksanakan tugasan rumah seharian seperti kita. Oleh itu, para wanita yang ingin menjalankan perniagaan samada kecil-kecilan mahupun suri rumah tangga harus bijak dalam menguruskan pembahagian masa,” pesan Nur Ernawati sambil tersenyum.

Apakah cabaran sebagai seorang peniaga dalam keadaan sekarang? “Cabaran peniaga dalam keadaan pandemik ini antaranya adalah kekangan dari segi supply dan juga limited movement. Namun begitu, trend jual beli dalam talian adalah lebih mudah dan meningkat sejak kebelakangan ini yang mempengaruhi peniaga untuk mempertimbangkan semula konsep jualan masing-masing.

Banyak faktor yang perlu diambil kira dalam melancarkan proses jualan online antaranya packaging, penyimpanan dan teknik pemasaran yang berkesan (mostly online) serta pelan strategi ‘return customer’. Apa yang penting adalah jangan mudah berputus asa dan sebagai peniaga selain harus kekal positif kita juga perlu produktif. Tiada usaha yang sia-sia dan tiada kejayaan tanpa usaha. Kebanyakan peniaga yang gagal selalunya apabila mereka cepat merasa give-up dan kurang refleksi diri. Berniaga perlukan kemahiran dan jangan segan untuk mempelajari sesuatu yang baru, sentiasa tambahkan skill anda dari masa ke semasa,” ujar Nur Ernawati yang mendapat sokongan penuh dari ibu dan suami tercinta.

Impian dan perancangan masa hadapan, “Saya jarang meletakkan harapan yang tinggi dan impian luar biasa, tapi saya percaya dengan praktikaliti. Saya biasanya akan tetapkan satu ‘target’ dengan jangka masa tertentu, contohnya ‘Dimana saya akan berada dalam tempoh 3 tahun lagi?’

Impian dalam masa jangka masa begini lebih mudah dan jelas untuk dicapai. Saya amat berharap agar perniagaan katering bersama ibu saya berkembang maju dan ingin menambah lagi aset tetap di masa hadapan. Saya juga berharap kerja-kerja NGO kami di kelab SPARK dapat memberikan impak besar kepada masyarakat dalam melahirkan kumpulan motor yang berhemat, insyaAllah.”

Share
Published by
KR