Graduan Komunikasi & Keturunan Thai-Amerika, MANITA FARMER Dinobat MISS THAILAND 2022!

Bukan hanya cantik tetapi Manita Duangkham Farmer juga bijak dan aktif dalam aktiviti sukarelawan. Tidak hairanlah wanita cantik ini berjaya dimahkotakan sebagai Miss Thailand 2022 pada 6 Februari lepas.

Berusia 25 tahun, Manita Farmer yang dilahirkan dan dibesarkan di Phuket memiliki darah keturunan Thailand-Amerika tersebut membawa pulang hadiah kemenangan bernilai 800,000 baht atau bersamaaan kira-kira RM101,533.

Tidak hanya bergelar graduan kelas pertama ijazah sarjana muda Seni Komunikasi dari Bangkok University International College, wanita sofistikated berjiwa prihatin dan berwawasan ini turut memanfaatkan masanya bekerja sebagai pengurus jualan di samping menjadi guru sukarelawan.

Bertitik-tolak daripada penglibatan Manita dalam pertandingan ratu cantik ini, dia bakal membawa suara wanita dan masyarakat Thailand, menyertai lebih banyak misi sukarelawanan, memartabatkan pendidikan terutamanya dalam kalangan kanak-kanak kurang bernasib baik selain menjadi bakal menjadi duta kebudayaan dan pelancongan Thailand.

Miss Thailand 2022 kali ini merupakan pertandingan ratu cantik edisi ke-53 bertemakan ‘Revival of the Original’ yang dahulunya dikenali sebagai Miss Siam yang diadakan sejak 1934.

Memetik laporan The Star, Manita mengalahkan empat finalis Thailand di peringkat akhir. Tempat kedua disandang Anphat Pitiprajakwat dari Nakhon Pathom, diikuti Vanida Rose (Bangkok), Athicha Rennie (Kanchanaburi) dan Sornson Wittayaruengsuk dari Bangkok.

Sementara itu portal The Phuket News pula mendedahkan Manita sebelum ini pernah menyandang tempat kedua dalam Miss Grand Phuket 2017 dan menyertai Miss World Thailand pada 2018. Dia berjaya menurunkan berat sehingga 40 kilogram daripada berat asal 90 kilogram semata-mata untuk memasuki pertandingan ratu cantik ini.

Share
Published by
Suzi