Guna Isu Depresi Lancar Lagu Baharu, HAQIEM RUSLI Teruk Dihentam Rakan Artis Lain!

Walaupun baru berusia 20 tahun dan masih ‘setahun jagung’ dalam industri hiburan, nama Haqiem Rusli telah mendapat tempat di industri muzik tanah air dan hati peminatnya. Haqiem mula popular dengan lagu Segalanya selepas lagunya itu menjadi sajian halwa telinga pencinta muzik khususnya remaja. Malah, bakat mencipta lagu Haqiem Rusli juga menjadi bualan artis-artis senior dan ternyata berasa kagum dengan kebolehannya itu.

Namun, sekitar Jun lalu industri hiburan dikejutkan dengan keputusan penyanyi itu untuk berhenti menyanyi akibat tekanan yang dialaminya sehingga dia bertindak untuk delete semua gambar di Instagram miliknya. Haqiem turut mendedahkan dia sudah mengalami depresi sejak daripada awal tahun dan beberapa masalah sampingan lain hingga menyebabkan dia mengambil keputusan untuk berhenti menyanyi.

Bagaiamanapun dia mengambil masa sebulan untuk  mempertimbangkan semula keputusan tersebut dan meminta para peminatnya  untuk menunggu keputusan sehingga bulan Julai. Namun, tindakan Haqiem yang dikatakan menggunakan isu depresi untuk melancarkan singel terbaru beliau yang berjudul Selamat Tinggal Sayang mendapat kecaman pelbagai pihak termasuk netizen dan juga rakan artis sendiri.

Semalam, Haqiem bersama pihak FMC Music mengadakan sidang media tergempar mengenai isu ini untuk menjelaskan perkara yang sebenarnya selain meminta maaf secara terbuka.

“Salah faham mengenai pengakuan saya tentang kemurungan sebelum ini berlaku atas sebab saya menggunakan perkataan salah dalam menjelaskan situasi yang saya hadapi.

“Saya bukan orang yang pandai, ketika saya pakai perkataan kemurungan, mungkin saya salah pilih perkataan untuk menggambarkan situasi saya. Tetapi saya tak tipu mengenai keadaan yang saya alami,” katanya.

Tambah pemilik nama penuh Ridzuan Haqiem Rusli ini, dia mengalami kemurungan ringan kerana tekanan kerja, masalah tidak boleh tidur di waktu malam, berat badan tidak konsisten serta menerima banyak kecaman netizen.

“Saya tak tipu, takkanlah saya nak main-main dengan perkara ini. Saya menghadapinya dan menegaskan sekali lagi ia benar kerana saya menanggungnya seorang diri dan situasi ini bukan gimik untuk melancarkan single terbaru saya yang berjudul Selamat Tinggal Sayang,” jelasnya lagi.

Antara yang paling terkesan dengan isu ini adalah Ernie Zakri, Wany Hasrita dan Ara Johari kerana mereka rasa tertipu dan dipergunakan dalam satu rancangan temubual radio swasta baru-baru ini yang meminta mereka untuk memberi ‘sokongan’ kepada Haqiem tentang rancangan gimik dan depresi ini yang telah lama dirancang.

 

Turut yang tidak bersetuju dengan tindakan Haqiem Rusli ini ialah artis-artis senior seperti Akim, Faizal Tahir dan Adibah Noor yang turut menjelaskan isu depresi ini tidak seharusnya dibuat main dan digunakan untuk sekadar gimik atau strategi pemasaran.

 

 

Diharapkan perkara yang terjadi ini boleh dijadikan pengajaran kepada artis lain, terutamanya artis baharu yang ingin menapak dalam industri hiburan ni. Tidak semua perkara boleh dibuat main ya. Selain itu, hubungan bersama rakan artis yang lain juga harus dijaga, lagi-lagi kalau berada dalam satu syarikat rakaman yang sama. Tidak seharusnya syarikat rakaman mempergunakan artis untuk kepentingan artis yang lain.

sumber: astroawani.com

foto: twitter, instagram, facebook

Share
Published by
Elly Jalil