Baru-baru ini tular satu video apabila seorang usahawan wanita berasal dari Terengganu dikenali sebagai Attyra Saari menghadiahkan sejambak bunga duit ‘gergasi’ sempena harijadi suaminya, Zuraidin Shahrulrizal Zainuddin yang ke-37 tahun.
Lebih menarik lagi ianya bukan sekadar jambangan bunga biasa kerana turut diselitkan sejumlah wang kertas RM100. Setiap satunya digubah menjadi kelopak bunga yang sangat cantik!
Kombinasi warnanya juga menarik perhatian sekaligus menampakkan jambangan itu sangat mahal, semahal cinta Attyra buat suami tercinta. Bertuah betul suaminya!
Menerusi perkongsian ekslusif bersama majalah Nona, Attyra atau nama sebenarnya Atira Mohd Saari, 29, merupakan pengasas produk kecantikan DAURA BEAUTY LEGACY. Sebelum bergelar usahawan, Attyra merupakan seorang suri rumahtangga sepenuh masa.
“Sebenarnya plan dah sebulan sebelum birthday, dan bouquet duit tu pun tempah sebulan sebelum birthday. Surprise planner ambil masa yang lama juga untuk siapkan kerana saya minta kalau boleh bouquet tu saiznya lebih besar daripada suami.
Terdetiknya idea untuk beri hadiah duit tu sebab saya tak tahu nak bagi apa. Lagi pun suami bukan jenis yang suka meminta sepanjang perkahwinan. Suami banyak berkorban. Jadi kali ini saya bagi jumlah yang istimewa sikit untuknya.
Mulanya suami agak terkejut juga sebab besar sangat nilainya. Suami juga ingat dinner biasa saja sebab dia dah minta tak mahu surprise atau hadiah. Alhamdulillah bila lihat suami gembira, saya turut merasa gembira.
Dari segi berapa jumlahnya tu biarlah rahsia. Ia simbolik daripada suami sendiri. Saya tidak mahu orang akan kata menunjuk-nunjuk. Mulanya memang tak terlintas pun akan viral apatah lagi dikecam. Kebanyakan followers saya yang setia memang dah kenal saya sejak dulu.
Saya memang suka berkongsi rezeki dengan orang lain. Bukan dengan suami saja malah kepada followers, rakan-rakan dan keluarga pun saya berikan hadiah setiap kali birthday atau hari biasa.
Jadi bila tiba-tiba viral terpaksalah saya telan kecaman netizen. Tapi tidak mengapa, saya jadikannya sebagai semangat untuk lebih maju. Segalanya menjadi satu kenangan terindah buat saya. Yang penting saya dapat menggembirakan suami,” kongsi Attyra.
SUAMI BANYAK BERKORBAN
“Pengorbanan paling besar bila suami berhenti kerja 5 tahun lalu secara mengejut kerana saya jatuh sakit. Ketika itu suami kerja offshore. Tapi sebab fikirkan tak boleh tinggalkan saya, suami memilih untuk berhenti kerja. Suami nekad ambil risiko walaupun ketika itu dia sendiri tidak tahu bagaimana untuk menyara anak dan isteri nanti.”
Di sebalik video yang dikongsi, Attyra berterima kasih kepada suami atas pengorbanannya selama ini. Bagi Attyra segala pengorbanan itu tak mampu dibalas dengan wang ringgit.
Tulis Attyra di ruangan kapsyen: –
“Happy birthday suami, kawan baikku, musuh utamaku dan segalanya dalam hidupku. Insan terbaik yang pernah wujud dalam hidupku. Walaupun asam garam dalam rumahtangga ada hari gaduh, ada hari bahagia, ada hari jadi gila tapi aku tak boleh bayangkan macam mana kehidupanku jika aku kehilanganmu.
Semoga Daddy dipanjangkan umur dan dimurahkan rezeki selalu. Semoga dipermudahkan urusan Daddy di dunia dan akhirat. Semoga segala hajat dan impian tercapai. Dan paling penting semoga tetap ada untuk anak isteri sampai mati. Terima kasih untuk segala pengorbanan Daddy selama ini. Love you Daddy”
Menurut Attyra, mereka saling menjaga perasaan masing-masing agar tidak mudah merasa tertekan. Attyra juga gemar berjenaka bila berada di samping suami. Paling penting bagi Attyra ialah sentiasa mendengar nasihat dan tidak melakukan perkara yang tidak disukai suami.
RAHSIA CANTIK IBU ANAK 3
Kecantikan Attyra kekal terserlah persis anak dara biarpun telah memiliki tiga anak berusia 10 dan 5 tahun serta seorang bayi berusia 3 bulan. Kesemuanya adalah perempuan.
“Selain amalkan produk sendiri saya juga menjaga pemakanan. Saya gemar makan buah-buahan jadi dalam sehari mesti makan. Kalau makan nasi ‘wajib’ ada ulam. Selain itu, saya amalkan minum air kosong dan tak pernah ambil minuman berais.”
MULA BERNIAGA BERMODALKAN RM100
“Tahun 2016 saya mula berniaga dengan menjual tudung bermodalkan RM100 saja. Ketika ini saya tiada pengalaman langsung dalam berniaga, hanya minat sahaja. Inilah detik paling struggle. Stok pula bergerak perlahan. Memang sangat-sangat struggle. Namun alhamdulillah dengan rezeki berniaga, sekarang segala urusan dipermudahkan.
Kepuasan dalam berniaga ialah dapat bantu orang yang memerlukan. Selain itu, banyak waktu untuk diri sendiri dan keluarga kerana kerja tak terikat dengan sesiapa.
Nasihat saya buat yang terkesan dengan pandemik usah mudah putus asa dan tertekan. Bila kita mula berniaga harus enjoy. Cari ilmu sebanyak mungkin. Semua merasa kesannya akibat COVID-19 tapi jadikannya cabaran untuk kita berusaha lebih lagi untuk majukan perniagaan. Guna segala platform yang ada untuk perkenalkan perniagaan kita.”
Impian Attyra agar suatu hari nanti dia berpeluang untuk membawa kedua belah keluarga ke tanah suci Mekah. Semoga COVID-19 segera berlalu agar impian tersebut akan terlaksana, Insya-Allah.
Kredit Foto: Instagram @attyrasaari