Hadiahkan Teres 1 Tingkat Untuk Ibu Bapa, Hajat WAWA ZAINAL Tinggal Berhampiran Keluarga Tercapai!

Murah rezeki Wawa Zainal! Usai menerima penganugerahan NONA Online Entreperenuer Award di NONA Superwoman Award 2022 lalu, Wawa Zainal berkongsi momen indah melalui posting video di Instagram miliknya yang merakamkan detik pengubahsuaian kediaman untuk kedua orang tuanya yang akan menetap di Kuala Lumpur.

Aktres itu menyentuh hati ramai apabila berkongsi video memberikan kejutan kepada ibu bapanya, Mariam Hashim dan  Zainal Abidin Sulong dengan membelikan sebuah rumah teres setingkat hasil titik peluhnya.

Menariknya, aktres berusia 32 tahun juga mengubahsuai  kediaman yang dibelinya itu sehingga ia kelihatan mewah dan selesa untuk didiami oleh ibu bapa tersayang. Menjengah konsep yang diketengahkan, pasangan suami isteri yang sememangnya kreatif dan mempunyai citarasa dalam bidang dekorasi ini memilih konsep kediaman moden minimalis untuk kediaman satu tingkat ini.

“Perancangan awal kami ingin membeli rumah dua tingkat tetapi bila difikirkan mereka sudah berusia dan tinggal berdua, kami ubah fikiran membeli teres satu tingkat.

Walaupun ia bukanlah rumah yang baru dan memerlukan proses pengubahsuaian dan pembaikan secara menyeluruh, tetapi kami bersyukur @aqi_74 mampu merealisasikan impian untuk menjadikan kediaman ini seperti baharu. Hasilnya, memang amat berpuas hati!,”ujar Wawa.

Ibu bapa Wawa, Mariam Hashim dan Zainal Abidin Sulong memanjatkan rasa syukur di atas pemberian dari anak tersayang.

Sementara itu, Wawa sempat menitipkan ucapan istimewa buat ibu tersayang yang menyentuh hati.

“Kepada mak ku syg yg lahirkan wawa di dunia. Walaupun wawa tidak membesar dgn mak. Mak kena tahu wawa syg dgn mak bapak dunia akhirat”- Wawa Zainal.

Meskipun tidak dibesarkan oleh ibu kandung, Wawa tetap memberikan kasih sayang sepenuhnya buat ibunya. Setelah sekian lama memujuk si ibu untuk menetap di Kuala Lumpur, akhirnya hajat Wawa Zainal untuk tinggal berhampiran dengan ibu dan bapanya sudah dimakbulkan.

Semoga terus berbakti kepada ibu bapa kerana ia adalah kunci rezeki dalam apa jua bidang yang diceburi!

 

Share
Published by
Rosmah Idayu