Buka Puasa Terpanjang di Timur Mesir, Pelajar Malaysia Dari Universiti Al-Azhar Kongsi Pengalaman Manis

Alangkah indahnya pengalaman menyambut Ramadan di bumi anbiya. Paling seronok bila melihat suasana berbuka puasa mahasiswa dan mahasiswi Malaysia di Universiti Al-Azhar, Mesir baru-baru ini. 

Bayangkan majlis berbuka yang dihadiri seluruh kampung, tikar dibentang di depan rumah, panjangnya jika disambung-sambung boleh mencecah 1km. Penduduk yang hadir pula mencapai 30,000 orang!

Itulah pengalaman manis yang tak bisa didapati di Malaysia. Tradisi berbuka puasa sebegini sememangnya pemandangan biasa di Timur Tengah, antaranya di Masjid Nabawi, Madinah setiap kali menjelangnya bulan Ramadan.

Dianjurkan pada 9 April 2022 atau bersamaan 10 Ramadan 1443H di daerah Al-Zanaqata, Luxor di Mesir, semua penduduk menikmati hidangan yang sama iaitu roti Arab, nasi Arab, daging rebus, ayam bakar, kuah mulkhiah dan jus anggur.

“Alhamdulillah kami mewakili mahasiswa Al-Azhar dan sukarelawan di Mesir telah dijemput berbuka puasa oleh pensyarah. Majlis ini merupakan antara majlis iftar terpanjang di Timur Mesir.”

 

Lebih membanggakan, kesemua mahasiswa dan mahasiswi iaitu seramai 9 orang dari Malaysia serta 2 orang dari Indonesia merupakan penuntut Jurusan Syari’ah Islamiah, Jurusan Bahasa Arab, Jurusan Usuluddin, Jurusan Dakwah Islamiah dan Jurusan Dirasat Islamiah.

Menurut salah seorang pelajar iaitu Ustazah Halimah Mesir, jemputan itu disampaikan melalui Syeikh Ahmad Murtadho untuk berbuka puasa bersama beliau dan masyarakat di kampungnya.

“MasyaAllah. 14 jam perjalanan dari Cairo – Luxor bukan sekadar untuk memenuhi jemputan, tapi kami juga menyampaikan amanah kalian yang berkongsi rezeki dalam projek Iftar Ramadan.” Ustazah Halimah

 

 

 

 

Selain berbuka puasa, turut dianjurkan beberapa aktiviti sepeti majlis selawat dan tazkirah bersama para masyaikh Universiti Al-Azhar.

Upacara penyerahan simbolik edaran wakaf Quran, Mesir melalui wakil MyFundaction Timur Tengah dan Afrika juga diadakan. Sesungguhnya pengalaman pelajar Malaysia yang turut menjadi sukarelawan NGO ini begitu berharga dan tidak boleh dijual-beli, tersemat di ingatan sebagai kenangan paling abadi.

Share
Published by
Norzalina