Nama Ummi Hafilda Ali bukan suatu yang asing lebih-lebih lagi buat mereka yang mengikuti perkembangan politik negara. Berkesempatan untuk bertemu dengan figura ini umpama orang mengantuk disorong bantal.
Walau pertama kali bertemu nyata wanita yang berkulit putih ini mudah mesra. Jauh meleset dengan anggapan anak ke-6 dari 7 beradik ini sombong. Malah lebih teruja apabila Ummi Hafilda tidak lokek berkongsi tentang kisah peribadinya.
Pasti ramai yang ingin tahu apakah status wanita yang berani ini. “Status saya? saya akui telah berumahtangga pada tahun 2013, tetapi rumahtangga itu tidak kekal lama. Mungkin tiada jodoh saya tidak dapat bertahan lama dan saya telah berpisah,” tutur Ummi Hafilda jujur tanpa berselindung.
Namun daripada raut wajahnya, jelas terpancar riak bahagia yang bersarang dari dalam. “Doakan yang baik-baik. Of course sebagai seorang manusia sentiasa kita mengharapkan yang baik-baik.
Semoga apa yang berlaku lepas adalah lepas. Insyaallah doakan yang baik-baik,” jelas Ummi Hafilda yang menggambarkan hatinya telah dimiliki oleh seorang pemuda dari luar.
Bercerita tentang perkembangan terbaharunya pula wanita yang menjadikan Oprah Winfrey sebagai idolanya ini begitu bersungguh. “Pencapaian saya telah lalui fasa yang luar jangkaan di peringkat global.
Saya telah berjaya melancarkan jenama Ummi Prestige di pentas yang paling berprestij di dunia iaitu di New York Fashion Week pada 7 September tahun lepas,” terang Ummi Hafilda sambil meneguk secawan kopi.
Menurut Ummi Hafilda selepas ini jenama Hafilda Prestige akan dilancarkan di 7 bandar besar dunia seperti New York, London, Paris, Tokyo, Jakarta, Dubai dan akhir sekali Kuala Lumpur.
Bukan calang-calang jenama boleh diperagakan di pentas berprestij yang menjadi tumpuan seluruh dunia ini. Tambah Ummi Hafilda lagi. “Ekoran daripada pentas tersebut ramai nama besar di sana mahu bekerjasama dengan saya.
Salah seorang darinya adalah Presiden kepada TV Stesyen Kedua Terbesar di Amerika Syarikat dengan jumlah tontonan seramai 60 juta orang menawarkan saya satu peluang dan platform yang baik untuk saya mengetengahkan fesyen saya di kalangan warga Amerika,” ucap Ummi Hafilda penuh semangat.
Nampaknya rezeki Ummi Hafilda terbuka luas lagi apabila diberi peluang sekali lagi untuk menampilkan jenamanya di pentas fesyen berprestij tersebut. Namun kali ini Ummi Hafilda telah menetapkan target buat dirinya.
“Untuk minggu fesyen tahun ini saya menetapkan target dan menyasarkan nama-nama besar seperti Melanie Trump atau Kim Kardashian akan memakai koleksi saya,” kongsinya.
Apabila ditanya kenapa memilih Amerika Syarikat dan bukan di tanah air sendiri untuk melancaran jenamanya, jawabnya, “Saya mengutip inspirasi dari Datuk Jimmy Choo yang berjaya melancarkan jenama di luar negara walaupun ketika itu orang Malaysia tidak tahu tentang jenamanya.
Namun apabila Princess Diana memakai kasut jenama Jimmy Choo, tiba-tiba satu dunia meletup dengan nama besar Jimmy Choo.
Saya nak buat konsep yang sama biar jenama Hafilda Prestige terkenal di kalangan nama-nama besar di Amerika Syarikat terutamanya di White House dan akan merebak ke Asia dan seterusnya Malaysia, insyaallah,” ucap Ummi Hafilda.
Nampaknya Ummi Hafilda bukan seorang yang boleh duduk diam. Rupa-rupanya wanita mudah mesra ini dalam diam mula berjinak-jinak dalam perniagaan carigali minyak. “Saya juga terlibat dalam bisnes oil & gas.
Walaupun ini bukan bidang saya buat permulaan tetapi saya mengambil cabaran dan raih peluang yang hebat ini. Insyaallah akan ada suatu kerjasama yang besar dengan sebuah syarikat carigali minyak di Indonesia nanti,” ujar Ummi Hafilda yang wajar dijadikan inspirasi buat wanita lain yang ingin berjaya dalam perniagaan.
Terpancar keikhlasan dalam hati wanita ini apabila berbicara tentang hasratnya untuk berbakti kepada negara dan bangsa. Tutur Ummi Hafilda, “Saya menyimpan impian untuk menjadi antara orang terkaya di Malaysia dan Asia, bukan untuk saya tapi untuk give back to the society.
Tak guna kita sorang saja kaya tetapi orang lain menderita. Impian saya untuk mengagihkan kekayaan demi pembangunan ummah dan Islam,” kata Ummi Hafilda mengakhiri perbualan.
View this post on Instagram