Nampaknya tahun ini beberapa selebriti tanahair memilih untuk meraikan Aidilfitri di luar negara. Pasangan selebriti Hairul Azreen dan Hanis Zalikha berkongsi foto sambutan Aidilfitri keluarga mereka dari kota London, United Kingdom.
Meskipun berada jauh dari tanahair, pagi 1 Syawal memperlihatkan pasangan ini menggayakan busana tradisional di mana Hairul dan Yusuf Iskandar segak mengenakan baju Melayu manakala Hanis dan Alisa Aisyah mengenakan baju kurung.
Menerusi perkongsian di media sosial, pasangan ini meluangkan masa bercuti di United Kingdom. Selain itu, Hanis turut memberikan kejutan buat suami tersayang sempena ulang tahun kelahiran Hairul Azreen ke 35 tahun di salah sebuah restoran di London.
Kejutan istimewa itu turut dikongsi oleh Hairul di laman Instagram miliknya yang nyata terharu dan bersyukur dapat meraikan sambutan hari lahir bersama keluarga serta beberapa kenalan yang menetap di sana.
Selain meraikan lebaran, keluarga ini mengambil kesempatan untuk bercuti sambil membawa anak-anak berjalan dan melawat ke beberapa destinasi pelancongan popular sekitar London. Antara lokasi yang dikunjungi termasuklah London Natural History Museum.
“Isi perut sangat penting sebelum jalan beribu langkah dalam London Natural History Museum nak tengok dinosaur. Mak-mak kena firm, ikutkan bapak dia kata cukup seketul croissant je dulu, nanti dah settle baru makan betul-betul”- HANIS ZALIKHA.
Perkongsian Hanis mengenai peranan seorang ibu dalam memastikan ‘keselesaan’ anak sentiasa terpelihara ketika menempuh perjalanan yang jauh sememangnya menarik perhatian para pengikutnya di laman sosial.
Mana tidaknya, sebagai ibu kepada dua orang cahayamata, sudah semestinya Hanis amat menitik beratkan soal keselesaan anak-anak terutamanya berkaitan dengan makanan untuk memastikan perjalanan percutian keluarga ini berjalan lancar dan anak-anak tidak meragam.
Pastinya percutian ini meninggalkan memori indah buat keluarga kecil ini apatah lagi dapat merasai suasana Aidilfitri di perantauan sambil bercuti untuk meluangkan masa bersama-sama. Selamat bercuti!
This website uses cookies.