Hajat Nak Ambil Insuran Bertukar Mimpi Ngeri! Anak KAK KM Disahkan Menghidap Jantung Berlubang

Siapa yang tak kenal dengan Kak KM atau nama penuhnya, Liana Rosli. Seorang usahawan yang tidak pernah sunyi dengan kisah-kisah sensasi.

Dan baru-baru ini, usahawan kosmetik perniagaan Jamu Mak Dara yang juga anak kepada pelakon veteran Normah Damanhuri, Liana Rosli semalam mengumumkan perkhabaran sedih apabila anak ketiganya disahkan menghidap penyakit jantung berlubang.

Kak KM berkongsi kisah sedihnya di media sosialnya di mana asalnya dia ingin memohon insurans buat Rania dan perlu melalui pemeriksaan kesihatan namun keputusannya benar-benar mengejutkan dirinya.

“Baru-baru ini saya mahu mengambil insurans kesihatan untuk Rania tapi sebelum itu kami perlu membuat pemeriksaan kesihatannya terlebih dahulu. Lubang pada bahagian jantungnya sudah membesar dan terus dirujuk ke hospital. Jadi tanpa sebarang perlindungan insurans, saya perlu tanggung segala kos rawatan yang dibuat,” jelas Kak KM dalam videonya.

Dalam video yang dimuat naik, kelihatan Kak KM menangis teresak-esak selain memohon doa orang ramai agar kesihatan anaknya itu bertambah baik. Dia terpaksa menerima rawatan ujian tiub selama tiga jam dan kini sedang menunggu laporan doktor untuk rawatan seterusnya.

“Apa yang membuatkan saya sedih apabila doktor memberikan ubat bius dan dia terus tak sedarkan diri. Kaki saya terus rasa lembik macam nak pengsan.”

Difahamkan, semenjak Rania lahir, doktor telah memaklumkan bahawa dia mempunyai masalah injap jantung berlubang namun hanya menunjukkan simptom jelas seperti kesukaran bernafas apabila meningkat dewasa.

Sebentar tadi, Kak KM memaklumkan perkembangan terkini anaknya yang kelihatan lebih baik dan bersyukur serta berterima kasih dengan semua yang mendoakan kesejahteraan anaknya.

Share
Published by
Wan Firdaus