Teka teki selama ini akhirnya terjawab! Tiada kata-kata yang dapat diungkapkan selain rasa syukur apabila penyanyi nombor satu negara, Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin mengumumkan dirinya sedang hamil anak kedua. Usia kandungan kini mencecah 4 bulan.
Sang pelantun lagu Aku Bidadari Syurgamu dan Anta Permana ini turut berkongsi berita gembira ini di Instagram miliknya.
“Alhamdulillah! Di penghujung sesi TwoGether Launching Live Stream, saya dan suami membuat pengumuman rasmi mengenai kehamilan saya yang berusia 4 bulan. Terima kasih di atas doa kalian semua.
Tiada niat untuk berdiam diri selama beberapa bulan ini namun saya dan suami berfikir, apabila tiba waktu yang sesuai, kami tetap akan berkongsi berita ini dengan semua, terutamanya keluarga, saudara mara, sahabat handai, para peminat dan sesiapa sahaja yang mengenali kami.
Saya memohon doa kalian supaya saya dan bayi di dalam kandungan diberikan kesihatan, dipermudahkan hari-hari saya ke depan ini sehinggalah saat melahirkan nanti.
Live Stream sesi TwoGether Launching Live Stream ini juga dipancarkan secara langsung di Facebook Siti Nurhaliza & BeauSiti serta Instagram @ctdk & @beausitiofficial
“Syukur hari ini sangat bersejarah kerana saya dapat umum banyak perkara istimewa. Selain pelancaran Beautessence dan Beaunest, perlantikan Nabila Razali sebagai duta kempen produk Beautessence satu lagi pengumuman istimewa buat semua.”
CABARAN HAMIL DALAM USIA 41 TAHUN
Hamil anak kedua dalam usia 41 tahun semestinya memerlukan penjagaan yang rapi dari segi kesihatan mental dan fizikal. Ekoran daripada keputusan DS Siti Nurhaliza yang lalu untuk berehat seketika daripada industri hiburan telah menguatkan lagi spekulasi bahawa beliau kembali hamil.
“Untuk kehamilan kedua ini saya memang berserah kepada Allah SWT dan melalui proses yang sama iaitu IVF. Ketika itu saya hanya berserah dan bertawakal kerana mungkin saya pernah melalui kegagalan suatu ketika dulu. Dan Siti Aafiyah adalah satu rezeki terindah yang Allah SWT berikan kepada saya.
Untuk kali kedua ini, saya tertanya-tanya juga “Adakah Allah akan beri lagi?” Dan alhamdulillah Dia beri lagi rezeki. Saya bersyukur sangat bila dapat tahu keputusan IVF adalah positif, hanya Allah SWT saja tahu bagaimana perasaan saya ketika itu. Saya mula persiapkan diri dengan berehat.”
Melihat kepada hikmah di sebalik pandemik COVID-19, selain dikurniakan rezeki hamil buat kali kedua inilah juga masa paling sesuai untuk DS Siti Nurhaliza menjaga kandungan dengan sebaik-baiknya.
Alhamdulillah segalanya dipermudahkan, cuma kehamilan kali ini saya mudah rasa letih. Pengalaman kehamilan bagi setiap anak itu berbeza-beza. Ketika mengandungkan Siti Aafiyah dulu saya mengalami sedikit pendarahan. Mungkin juga faktor usia, tahun depan saya sudah 42 tahun. Selain itu, saya juga kini lebih emotional
.Dalam keadaan sekarang saya banyak duduk di rumah. Tidak ke mana-mana kecuali jika ada perkara yang memerlukan untuk saya untuk keluar. Doakan saya diberikan kekuatan dan kesihatan yang baik sehingga hari kelahiran.”
DS Siti Nurhaliza yang dijangka bersalin sekitar bulan April 2021 tidak terlalu memikirkan soal jantina bayi kedua yang bakal dilahirkan asalkan ianya sihat dan sempurna.
This website uses cookies.