Hamil dan berhadapan situasi pendemik yang mengancam dunia. Itulah situasi yang terpaksa dilalui oleh Dr Tengku Ezulia Binti Tengku Nun Ahmad.
Ads
Bertugas sebagai Pakar Bedah dan Pensyarah Perubatan, Telinga Hidung Tekak Surgeri Kepala & Leher Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) membuatkan dirinya tidak terlepas dari tugas dan tanggungjawab merawat pesakit dalam apa jua situasi. Apatah lagi Pusat Perubatan Universiti Malaya merupakan salah sebuah hospital untuk merawat pesakit Covid19.
Ketika diminta menceritakan pengalaman hamil kali kedua ini, Dr Tengku Ezulia berkata pengalaman dan cabaran hamil kali kedua dalam situasi pendemik sememangnya di luar jangkaan kerana banyak perkara yang perlu diberi perhatian apatah lagi apabila dia mendapat tahu kehamilan kali ini merupakan kehamilan kembar.
“Hamil kali ini sememangnya mencabar kerana saya hamil kembar dan hospital tempat saya bertugas merupakan salah sebuah hospital yang merawat pesakit Covid,” ujar Dr Tengku Ezulia memulakan bicara.
Tambahnya lagi, pengalaman hamil dan berhadapan situasi pendemik ini merupakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang 12 tahun bergelar doktor.
“Bertugas sebagai Doktor Pakar Bedah Telinga, Hidung, Tekak, saya berhadapan risiko yang tinggi kerana pesakit-pesakit selalu datang berjumpa saya kerana ada masalah demam, selsema, batuk,sakit tekak dan sukar bernafas.
Jika dilihat, gejala-gejala ini turut mempunyai persamaan simptom Covid 19. Malah, prosedur yang setiap hari saya lakukan adalah melibatkan pemeriksaan dan “scope” hidung, tekak, peti suara yang mana transmisi virus Covid-19 juga melibatkan struktur pernafasan yang sama,” ujar Dr Tengku Ezulia menerangkan rutin sehariannya sebagai Doktor Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak.
“Walaupun sedang sarat hamil kandungan kembar, saya terpaksa memakai Personal Protective Equipment atau PPE sepanjang hari di klinik, bilik bedah, wad dan ruang kecemasan. Tidak kira dalam situasi apapun, tugas-tugas seharian sebagai doktor pakar bedah tetap berjalan seperti biasa tetapi kami memberi keutamaan kepada kes-kes kecemasan,” ujar ibu kepada sepasang kembar lelaki dan seorang puteri berusia 1 tahun 9 bulan.
Ads
“Tidak dinafikan, walaupun PPE menjadi sebahagian daripada prosedur di bilik bedah, namun begitu apabila terpaksa memakainya pada jangka masa yang lama akan membuatkan petugas menjadi rimas dan sebagainya. Namun apabila sudah biasa dengan norma baharu, ianya menjadi satu rutin walaupun panas,”sambungnya lagi.
Ketika ditanya mengenai pengalaman bertugas sebagai frontliner dalam situasi sarat hamil, Dr Tengku Ezulia menganggap ia sebagai pengorbanan yang dilakukan oleh seorang wanita bergelar doktor, isteri dan ibu. Dia bersykur kerana sepanjang proses kehamilan kembar kali ini, dia diberikan kesihatan yang baik, tidak berhadapan dengan masalah alahan dan dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sebaik mungkin.
Ads
“Kekurangan doktor dan staff kerana ramai rakan-rakan yang silih berganti menjalani kuarantin apabila ada di antara mereka terdedah dengan pesakit Covid-19 merupakan cabaran terbesar yang terpaksa kami hadapi sebagai petugas di barisan hadapan.
Malah ada juga di kalangan rakan-rakan yang terpaksa dipindahkan ke jabatan kecemasan untuk membantu membuat “screening” pesakit Covid19. Walaupun sedang hamil, saya tetap menjalankan tugas saya untuk sama-sama menbendung pendemik ini.” ujar Dr Tengku Ezulia yang selamat melahirkan cahayamata kembar lelaki pada penghujung September lalu dan kini sedang menjalani tempoh berpantang di kediamannya.
Hasil perkongsian hidup dengan suami tersayang, Prof Dr Mohd Zulkifli Abu Bakar, pasangan ini dkurniakan seorang anak puteri, Ally dan pasangan kembar yang diberi nama Nik Areq Al-Birran dan Nik Arez Al-Birran. Selain bertugas sebagai pakar bedah hidung, telinga dan tekak, Dr Tengku Ezulia juga merupakan seorang social influencer yang terkenal.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Perjalanan kerjaya seni pelukis cat minyak dan digital negara, Amy Hashim, sentiasa diatur kemas langkahnya. Meskipun sedikit lesu menjelang pandemik COVID-19, namun beliau tetap meneruskan niat membuka sebuah galeri seni di Bukit Damansara, baru-baru ini.
“Saya baru membuka Art Realm Gallery (ARG) yang terletak di Plaza Damansara, Jalan Medan Setia 1. Pembukaan ini selari dengan perkembangan dan kemajuan seni di galeri Amy Hashim Arts di Subang Jaya. Kebetulan suami pun dah bersara dan dia pun ingin menceburkan diri dengan lebih aktif.
ARG mempunyai tiga komponen utama iaitu ruang pameran dengan satu feature wall yang boleh berputar 360 darjah; art store yang menampilkan hasil-hasil karya seni yang diolah ke dalam bentuk skarf, alat tulis, pelitup muka, kalendar dan sebagainya; serta classroom untuk peserta kelas seni.
Alhamdulilah ARG berjaya dibina dalam masa kurang 40 hari, iaitu pada bulan Oktober dan November tahun lepas,” terang Amy Hashim panjang lebar. Selain ARG, ibu kepada tiga orang anak ini juga turut mengusahakan jenama AHA (Amy Hashim Arts) iaitu koleksi barangan seperti skarf daripada hasil karya seninya.
Amy Hashim atau pemilik nama penuh Amy Hashmida Hashim ini merupakan anak kelahiran Negeri Cik Siti Wan Kembang. Berusia 50-an, wanita hebat ini sering dijemput mengadakan pameran lukisannya di Amerika Syarikat.
Paling membanggakan, impian beliau untuk memiliki sebuah galeri seni seperti ARG pernah dikongsikan kepada Majalah Nona pada tahun 2017 (klik pautan) dan kini akhirnya tertunai pada tahun 2021.
Cabaran sewaktu PKP… “Kami akur dengan pelaksanaan PKP 2.0 bagi bersama-sama memutuskan rantaian COVID-19. Jadi kami ubah sikit cara buat pameran iaitu secara virtual art online. Hanya dengan menonton video di rumah, anda boleh ‘datang’ ke Art Realm Gallery dan melihat lukisan sebenar yang dipamerkan.”
“Sebagai pemilik galeri, saya harap dengan sokongan Kementerian dan agensi-agensi kerajaan seperti Balai Seni Lukis Negara dapat membantu karyawan tempatan menaik tarafkan Malaysia sebagai sebuah negara maju seni,” ujarnya.
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Bertemu empat mata dengan Dr Fauziah Mohd Hassan yang merupakan ahli lembaga pemegang amanah Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), penasihat Rose2Rose dan ahli jawatan kuasa Pusat Pertubuhan Ikram Malaysia. Sudah lama sebenarnya beliau bergiat aktif dalam bidang kemanusiaan ini namun namanya menjadi popular sejak Oktober tahun lalu kerana ekspedisi keamanan Women’s Boat to Gaza yang ditawan oleh tentera Israel sebaik sahaja memasuki perairan Gaza. Video petisyen beliau yang meminta mereka dikeluarkan dari negara haram Israel menjadi viral serta merta.
Mendekati pakar perunding O&G di Hospital Ampang Puteri ini, keperibadiannya yang sangat keibuan membuatkan penulis berasa senang sepanjang sesi fotografi dijalankan. Dalam setiap jawapan yang diberikan ternyata beliau punya semangat juang yang tinggi dan tidak pernah menyerah kalah. Semoga kisah perkongsian ini menjadi satu iktibar dan juga teladan kepada semua pembaca Nona untuk melibatkan diri di dalam bidang kemanusiaan kelak.
PENGLIBATAN
Sudah sibuk dengan kerjaya sebagai seorang doktor kemudian bergiat aktif didalam bidang kepamusiaan pula. Apakah faktor yang membuatkan anda seorang individu yang aktif untuk membantu keamanan sejagat? “Saya rasa ia adalah sebahagian dari diri ini. Sebagai seorang doktor sememangnya sudah menjadi tugas hakiki saya untuk membantu orang. Apabila terdengar krisis kemanusiaan yang semakin menjadi-jadi saya terpanggil untuk turut menghulurkan bantuan, namun ketika terdetiknya niat itu saya masih belum jumpa cara bagaimana hendak membantu sehinggalah pada tahun 1999 apabila Tan Sri Jamilah mengajak saya menyertai misi perubatan Mercy. Sejak itu saya banyak menyertai misi kemanusiaan antaranya di Kosovo, Maluku, Afghanistan, Aceh, Pakistan dan Gaza. Semua misi ini saya ikuti ketika bersama dengan Mercy Malaysia. Kemudian apabila Aqsa Syarif ditubuhkan pada tahun 2010, alhamdulillah saya telah diberi kepercayaan untuk menjawat kerusi timbalan pengerusi dan kini saya turut bertindak dan berkhidmat sebagai seorang ahli lembaga pemegang amanah untuk Humanitarian Care Malaysia atau lebih dikenali dengan nama MyCARE.”
Apakah dorongan yang membuatkan anda memilih untuk bergiat aktif dalam bidang ini? “ Penderitaan wanita dan kanak-kanak Palestin menjadi satu sumber kekuatan untuk saya bergerak ke hadapan bagi menghulurkan bantuan. Kalau nak tahu, menurut laporan World Health Organization (WHO), kawasan Semenanjung Gaza yang selama ini menjadi kawasan panas yang diceroboh oleh Israel mungkin tidak lagi sesuai di diami pada tahun 2020 berikutan pelbagai jenis operasi ketenteraan dan juga sekatan yang berteruskan hampir sedekad lamanya.
Kalau bukan kita yang melakukan sesuatu, siapa lagi yang boleh? Dunia seakan lupa yang Gaza telah dikepung selama lebih 10 tahun. Untuk membantu, bukan hanya krisis-krisis di bahagaian Asia Barat sahaja yang perlu ditangani, malahan di Malaysia juga kita perlu peka terhadap mereka yang memerlukan bantuan. Ingatlah bahawa sekecil-kecil bantuan sangat bermakna daripada tidak berbuat apa-apa, kalau ada seringgit sumbanglah seringgit jangan pernah malu, kerana nilai yang sedikit itulah mampu mengubah kehidupan mereka yang memerlukan,” ujarnya penuh semangat.
PERJALANAN WANITA
Berita tentang ekspedisi Women’s Boat to Gaza yang ditawan tentera Israel membuka mata banyak pihak tentang perjuangan dalam menyedarkan dunia bahawa penduduk Gaza sudah lama ditindas. Untuk pengetahuan anda selain Dr Fauziah, terdapat 13 orang lagi wanita yang turut berada di atas bos tersebut dan mereka terdiri dari pelbagai warganegara, agama dan juga bangsa. Antaranya, dari negara Sepanyol, New Zealand, South Africa, Rusia, Australia, Norway, Sweeden, Ireland Utara dan Kanada.
Sebelum memulakan pelayaran misi ini, adakah sudah tahu bahawa yang misi ini pasti akan gagal dek sekatan kejam rejim Israel di perairan Semenanjung Gaza. Jawab wanita ini, “Memang kami tahu kami akan ditangkap, 99 peratus kami yakin kami akan ditangkap dan hanya satu peratus sahaja keyakinan kami bahawa kami akan selamat sampai. Walaupun sudah agak pasti bahawa keadaan tidak akan menyebelahi kami namun apa yang penting adalah mesej yang cuba kami sampaikan kepada seluruh dunia bahawa masyarakat Palestin di Semenanjung Gaza ditindas habis-habisan oleh rejim Israel. Sekurang-kurangnya apabila kami ditangkap sekalipun dunia sedar bahawa masyarakat Palestin masih ditindas dan diperlakukan secara tidak adil.”
Ketika askar rejim Israel menculik delegasi Women’s to Gaza, bagaimana anda mengikis rasa takut apabila berhadapan dengan situasi tersebut? “Saya menyerahkan segala-galanya kepada Allah SWT dan kepada Dia tempat saya bergantung. Saya sentiasa berdoa agar dipelihara keselematan oleh-Nya. Sebelum pelayaran lagi kami sebenarnya sudah dipersiapkan dengan simulasi dan juga latihan non-violence, bahkan ketika di atas bot pun kami berlatih berulang kali tentang reaksi apa yang perlu dilakukan apabila ditangkap. Tunjuk tangan kosong, muka tidak ada mimik marah dan bercakap dengan penuh diplomasi. Sebaik sahaja kami ditangkap saya berbisik kepada diri sendiri supaya tenang dan terus tenang. Ketika kami ditunda masuk ke kawasan haram Israel, kami menangis melihat Gaza kerana ia begitu dekat dan kami tahu banyak keluarga, kawan-kawan, ibu-ibu kecil bersama anak menunggu kami bersama kad kesihatan mereka. Suasana Gaza yang kami lihat sangat malap, gelap gelita dengan hanya ada empat kerlipan lampu.”
Ketika berada di dalam tahanan Israel apakah yang mereka lakukan kepada seluruh delegasi misi Women’s Boat to Gaza? “Semasa di atas kapal mereka geledah seluruh kawasan habis-habisan, tujuannya hendak mencari kamera tersembunyi dan juga senjati. Kami sememangnya sudah bersedia awal-awal telah membuang pelbagai jenis alat teknologi dan juga pisau ke dalam laut. Setelah kami ditahan, setiap langkah diawasi dan dirakam, ini adalah taktik mereka untuk menunjukkan bahawa mereka tidak mengasari wanita padahal mereka sebenarnya setiap hari mengganggu dan mengasari murabitat yang menjaga masjid Al-Aqsa, wanita-wanita dan kanak-kanak awam di Gaza. “
Penulis bertanya lagi, siapakah murabitat dan apakah peranan mereka di Masjid Al-Aqsa? Jawab beliau, “Untuk pengetahuan semua, murabitat adalah kelompok wanita yang bergilir-gilir duduk di Masjid Al-Aqsa supaya masjid tersebut tidak kosong. Memandangkan orang lelaki dewasa tidak dibenarkan ke sana jadi hanya merekalah harapan untuk memastikan bahawa masjid itu tidak kosong lantas memberi peluang kepada orang Israel untuk memasuki dan menguasainya. Mereka inilah golongan yang selalu dikasari oleh askar-askar rejim negara haram Israel.”
Mendengar kisah beliau membuatkan penulis berfikir seketika, apakah sumbangan diri ini yang sudah dihulurkan buat saudara kita disana, memang ia mengetuk pintu hati. Rasa sedih, kecewa dan marah menyelubungi diri, mengapa dan kenapa Palestin terus menerus di tawan? Sesungguhnya harga keamanan kini semakin mahal. Dalam rancak kami berbual, penulis bertanyakan kepada Dr. Fauziah mengenai sesetengah rakyat Malaysia yang memilih untuk memasuki Israel bagi melawat Masjid Al-Aqsa. Dengar-dengar aktiviti ini sebenarnya hanya mengundang kemajuan ekonomi Israel? Benarkah sebegitu?
“Soal ekonomi saya tidak boleh jawab, namun bagi saya apa yang terjadi hari ini adalah ramai yang mengambil kesempatan melawat Palestin dan Masjid Al-Aqsa ekoran perjanjian damai di antara Jordan dan Israel. Ini merupakan agenda normalisasi Zionis Israel untuk menunjukkan bahawa Masjid Al-Aqsa dan palestin berada dalam keadaan aman walhal ia tidak sebegitu. Hakikatnya kedua-dua tempat ini terus menerus dijajah! Kita perlu sedar bahawa ini adalah taktik licik israel, dalam dia sebenarnya mereka melumpuhkan semangat jihad umat Islam untuk menuntut kebebasan Al-Aqsa dan Palestin. Untuk pengetahuan semua, apa yang diperlukan oleh kedua-dua tempat ini adalah ia dibebaskan dan bukannya dilawati!” jawab beliau meluahkan pandangan peribadi mengenai hal ini.
CERITA TERKESAN
Pernahkah anda menitikkan air mata sepanjang menyertai misi kemanusiaan? “Kalau nak cakap soal kesedihan atau menyayat hati, saya bukanlah seorang yang senang menangis dan sangat penting untuk saya mempunyai mental yang kuat apabila menyertai misi kemanusian. Namun berbeza dengan misi kemanusiaan di Turki pada tahun 2014 yang mana saya membantu pelarian wanita dari negara Syiria yang sekian lama dipenjarakan di dalam penjara Bashar Al-Assad. Kisah dan juga trauma yang dialami oleh wanita-wanita ini membuatkan airmata saya jatuh, sedih! memang sangat menyayat hati. Wanita-wanita ini ditahan kerana suami mereka dituduh sebagai tentera pemberontak yang menentang Bashar Al-Assad.
Bayangkan sebelum mereka melarikan diri sepanjang dalam tahanan saban hari ada sahaja lelaki yang merogol mereka bukan setakat rogol malahan alat sulit mereka dirodok dengan kayu dan tikus dimasukkan ke dalamnya. Paling menyedihkan apabila mereka berkaya keluar dari penjara keluarga sendiri tidak dapat menerima keadaan diri mereka dan ada yang diceraikan seuami. Bayangkan betapa betapa kejamnya penderaan yang dilakukan. Apabila sampai di Turki para doktor terpaksa membaiki kemaluan mereka. Ada seorang wanita yang saya bantu, langsung tidak boleh melihat lelaki, dia akan menangis dan meraung akibat kesan trauma. Wanita-wanita yang dahulunya menderita ini sekarang sudah bekerja dibawah Syirian Women Association dalam membantu orang lain yang memerlukan pula.”
*ARTIKEL INI DITERBITKAN DI DALAM NONA EDISI MAC 2017
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Empunya nama Farahannan Nabila Binti Ismail cukup obsess dalam dunia fesyen yang diceburinya. Walaupun mempunyai Ijazah Sarjana Muda dalam Pengurusan Hotel, Farahanna atau lebih mesra disapa Lala cukup yakin bidang fesyen yang kini menjadi hala tuju dalam kariernya mampu membawa satu mercu kejayaan. Pengalaman selama 5 tahun dalam perniagaan baju streetwear mengorak langkah wanita berusia 33 tahun ini untuk beralih ke peluang pekerjaan yang lebih kreatif iaitu sebagai Fashion Stylist. Kini Lala merupakan Senior Fashion Stylist di Fashion Valet dan sudah berkhidmat selama 3 tahun.
TREND FESYEN 2019 & STAIL WANITA MASA KINI
Saya melihat earth colour akan mendominasi pada tahun 2019 seperti shades of beige. Material pula berkemungkinan dari leather atau spandex. Ditambah dengan perincian feather, net atau fringe untuk menghasilkan efek dramatik. Di Malaysia, saya perhatikan kebanyakan golongan wanita lebih menggemari gaya santai dan loose. Wanita masa kini lebih suka memakai sneakers dimana ia mampu mencerminkan sisi feminin dan dalam pada masa yang sama tetap tampil sporty.
HIJAB & FESYEN
Mereka yang berhijab dapat bereksperimen dengan hijab untuk tampil lebih bergaya. Jika dibandingkan cara berhijab dahulu dan sekarang, ia mempunyai banyak perbezaan. Fesyen sekarang tidak tertumpu pada gaya yang lebih urban, malah pereka fesyen juga mendapat ilham untuk memperkembangkan lagi fesyen muslimah yang lebih sopan dan menutup aurat.Perkara ini menggalakkan lagi mereka yang ingin berhijab memulakan langkah awal untuk mengenakan hijab.
TREND TURBAN
Sebagai individu yang gemar memakai turban, ia merupakan gaya ringkas untuk kerja harian saya sebagai seorang Fashion Stylist yang perlu bergerak pantas dan sentiasa aktif. Turban juga boleh dipelbagaikan gaya dan sesuai dipakai untuk gaya santai atau ke majlis tertentu sebagai pelengkap gaya anda. Bagi saya, jika anda mahukan kelainan, tidak salah untuk mencuba sesuatu yang baru.
ELAK JADI MANGSA FESYEN
Ukur baju dibadan sendiri! Harus diingatkan setiap individu mempunyai personaliti yang berbeza. Cantik dimata kita belum tentu cantik dibadan sendiri. Anda perlu pasti apa gaya yang sesuai buat anda.
BINA GAYA
Saya selalu menekankan dan menasihatkan pelanggan saya apabila mereka mendapatkan khidmat nasihat saya sebagai perunding gaya. Soalan yang selalu saya ajukan adalah, samada mereka yakin atau tidak. Saya mungkin boleh mencipta pelbagai gaya dan merubah rupa pelanggan saya, tetapi jika mereka tiada keyakinan diri dengan look tersebut, saya akan berbincang dan kami akan sama-sama mencuba hingga mereka selesa dan yakin dengan gaya tersebut. Jadi kunci utama dalam membina gaya adalah keyakinan diri.
5. TIP TAMPIL TRENDY
1. Pakaian lama jangan dibuang dan revamp baju anda.
2. Mix & match, do layering!
3. Aksesori adalah wajib! Padankan statment earings, cincin atau headpiece buat gaya anda.
4. Kenal pasti warna yang matching antara top & bottom anda. Jangan takut bermain warna.
5. Pakai apa sahaja yang anda selesa dan sentiasa yakin!
Lubuk konten hanya untuk VVIP NONA. NONA kini di seeNI. Download seeNI sekarang!
Diam tak diam, perkahwinan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Paduka Seri Pengiran Muda ‘Abdul Mateen dan Yang Amat Mulia Pengiran Anak Isteri Anisha Rosnah Adam bakal menginjak usia setahun ...