Hamil dan berhadapan situasi pendemik yang mengancam dunia. Itulah situasi yang terpaksa dilalui oleh Dr Tengku Ezulia Binti Tengku Nun Ahmad.
Bertugas sebagai Pakar Bedah dan Pensyarah Perubatan, Telinga Hidung Tekak Surgeri Kepala & Leher Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) membuatkan dirinya tidak terlepas dari tugas dan tanggungjawab merawat pesakit dalam apa jua situasi. Apatah lagi Pusat Perubatan Universiti Malaya merupakan salah sebuah hospital untuk merawat pesakit Covid19.
Ketika diminta menceritakan pengalaman hamil kali kedua ini, Dr Tengku Ezulia berkata pengalaman dan cabaran hamil kali kedua dalam situasi pendemik sememangnya di luar jangkaan kerana banyak perkara yang perlu diberi perhatian apatah lagi apabila dia mendapat tahu kehamilan kali ini merupakan kehamilan kembar.
“Hamil kali ini sememangnya mencabar kerana saya hamil kembar dan hospital tempat saya bertugas merupakan salah sebuah hospital yang merawat pesakit Covid,” ujar Dr Tengku Ezulia memulakan bicara.
Tmbahnya lagi, pengalaman hamil dan berhadapan situasi pendemik ini merupakan pengalaman yang tidak boleh dilupakan sepanjang 12 tahun bergelar doktor.
“Bertugas sebagai Doktor Pakar Bedah Telinga, Hidung, Tekak, saya berhadapan risiko yang tinggi kerana pesakit-pesakit selalu datang berjumpa saya kerana ada masalah demam, selsema, batuk,sakit tekak dan sukar bernafas. Jika dilihat, gejala-gejala ini turut mempunyai persamaan simptom Covid 19.
Malah, prosedur yang setiap hari saya lakukan adalah melibatkan pemeriksaan dan “scope” hidung, tekak, peti suara yang mana transmisi virus Covid-19 juga melibatkan struktur pernafasan yang sama,” ujar Dr Tengku Ezulia menerangkan rutin sehariannya sebagai Doktor Pakar Bedah Telinga, Hidung dan Tekak.
“Walaupun sedang sarat hamil kandungan kembar, saya terpaksa memakai Personal Protective Equipment atau PPE sepanjang hari di klinik, bilik bedah, wad dan ruang kecemasan. Tidak kira dalam situasi apapun, tugas-tugas seharian sebagai doktor pakar bedah tetap berjalan seperti biasa tetapi kami memberi keutamaan kepada kes-kes kecemasan,” ujar ibu kepada sepasang kembar lelaki dan seorang puteri berusia 1 tahun 9 bulan.
“Tidak dinafikan, walaupun PPE menjadi sebahagian daripada prosedur di bilik bedah, namun begitu apabila terpaksa memakainya pada jangka masa yang lama akan membuatkan petugas menjadi rimas dan sebagainya. Namun apabila sudah biasa dengan norma baharu, ianya menjadi satu rutin walaupun panas,”sambungnya lagi.
Ketika ditanya mengenai pengalaman bertugas sebagai frontliner dalam situasi sarat hamil, Dr Tengku Ezulia menganggap ia sebagai pengorbanan yang dilakukan oleh seorang wanita bergelar doktor, isteri dan ibu.
“Kekurangan doktor dan staff kerana ramai rakan-rakan yang silih berganti menjalani kuarantin apabila ada di antara mereka terdedah dengan pesakit Covid-19 merupakan cabaran terbesar yang terpaksa kami hadapi sebagai petugas di barisan hadapan.
Malah ada juga di kalangan rakan-rakan yang terpaksa dipindahkan ke jabatan kecemasan untuk membantu membuat “screening” pesakit Covid19. Walaupun sedang hamil, saya tetap menjalankan tugas saya untuk sama-sama menbendung pendemik ini.” ujar Dr Tengku Ezulia yang selamat melahirkan cahayamata kembar lelaki pada penghujung September lalu dan kini sedang menjalani tempoh berpantang di kediamannya.
Hasil perkongsian hidup dengan suami tersayang, Prof Dr Mohd Zulkifli Abu Bakar, pasangan ini dkurniakan seorang anak puteri, Ally dan pasangan kembar yang diberi nama Nik Areq Al-Birran dan Nik Arez Al-Birran. Selain bertugas sebagai pakar bedah hidung, telinga dan tekak, Dr Tengku Ezulia juga merupakan seorang social influencer yang terkenal.